Ebby Yus Ada Alasan Kukuh Lapan Kali Tolak Sertai MLM
Setiap pelawak pastinya mengimpikan untuk memasuki pentas pertarungan Maharaja Lawak Mega (MLM) namun hal ini berbeza buat pelakon dan pelawak Ebby Yus.
Menurut Ebby atau nama lengkapnya, Mohammad Yunus Abdul Rashid, 55, dia terpaksa menolak untuk menyertai MLM biarpun sudah lapan kali ditawarkan oleh pihak Astro kerana masalah kesihatan yang dihidapinya.
“Sebenarnya, dari musim pertama MLM lagi pihak produksi sudah tawarkan kepada saya untuk masuk namun disebabkan masalah kesihatan saya terpaksa menolak disebabkan enggan tertekan kerana bukan mudah untuk mencari bahan-bahan lawak yang boleh buat orang ketawa.
“Minat itu memang minat tapi saya terpaksa menolak dengan cara baik memandangkan masalah kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Saya masih lagi menjalani rawatan untuk penyakit buah pinggang tahap ketiga yang dihidapi sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Stand Up Comedy Otai yang berlangsung di Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain Ebby, 17 pelakon veteran lain yang mengambil bahagian dalam rancangan itu ialah Ebby Yus, Fauziah Nawi, Azlee Senario, Hamdan Senario, Saiful Apek, Wan Maimunah, Pak Ya Senario, Shamsul Ghau Ghau, Sathiya, Imuda, Datuk Shah Reza, Angeline Tan, Sheila Mambo, Salih Yaacob, Mr Rama, Jaafar Onn dan AR Badul.
“Saya sertai program ini sebab ia bersifat santai dan bukan merupakan satu pertandingan, sebaliknya sketsa sesama kami untuk berkongsi cerita sepanjang pengalaman bergelar anak seni dan ia pun dijalankan menerusi format rakaman,” katanya lagi.
Program Stand Up Comedy Otai akan bersiaran pada setiap hari Khamis bermula 5 Disember ini jam 9.30 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).
Pada setiap minggu, setiap pelakon berpengalaman ini akan diberi sebuah tema untuk dikongsikan menerusi sketsa yang akan diolah secara kreatif oleh masing-masing. – KopiPlanet.com
The post Ebby Yus Ada Alasan Kukuh Lapan Kali Tolak Sertai MLM appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: