Ads Top

Buat Salah Tapi Nasihat Orang Lain Untuk Buat Kebaikan?

“Kau pun buat salah, nak nasihat orang?”

Sekali imbas, pertanyaan itu kedengaran ada benarnya. Tidak dapat tidak ia mengurangkan rasa percaya dan rasa ingin mematuhi nasihat yang diberikan oleh si pengucap.

Namun dalam urusan agama, jika kita ingin menunggu diri bersih dari dosa dan kesalahan, maka tidak ada orang pun yang akan menyebarkan kebaikan. Jika ingin menunggu diri sendiri sempurna, tidak ada orang yang akan berusaha melakukan apa-apa.

Memang benar ada ancaman yang disebutkan dalam Al-Quran dan hadis tentang orang yang mengatakan sesuatu tetapi dia sendiri tidak melakukannya.

Usah Lupakan Diri Sendiri

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Surah Al-Baqarah 2:44)

Ayat ini diturunkan bagi menerangkan tentang sikap orang Yahudi yang mengingatkan orang lain untuk melakukan kebaikan sedangkan mereka melupakan diri sendiri – mereka tidak melakukan hal yang sama.

Begitu juga ancaman dalam sebuah hadis daripada Usamah. Beliau berkata:

“Aku mendengar baginda bersabda: Pada hari kiamat nanti ada seseorang yang dihadirkan, kemudian dia dilempar ke dalam neraka dengan isi perutnya keluar dan terburai.

Di dalam neraka orang tersebut akan berputar-putar seperti berputarnya seekor keledai yang menarik mesin penggiling (pengisar) gandum. Penduduk neraka berkumpul mengelilinginya seraya berkata;

“Wahai fulan, apa yang terjadi denganmu?. Bukankah kamu dahulu orang yang memerintahkan kami berbuat maaruf dan melarang kami berbuat munkar?”.

Orang itu berkata; “Aku memang memerintahkan kalian agar berbuat maaruf tapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan melarang kalian berbuat munkar, namun aku mengerjakannya”(HR Bukhari, no.3027 – Status Hadis Sahih)

Justeru peringatan-peringatan di atas berupa pesanan daripada Allah supaya melakukan dua usaha – memperbaiki diri sendiri dalam masa yang sama menasihati juga orang lain ke arah kebaikan.

Adakah Tidak Boleh Mengajak Orang Ke Arah Kebaikan Jika Masih Melakukan Dosa

Sebenarnya kita boleh mengajak orang lain ke arah kebaikan dalam masa yang sama mengajak juga diri sendiri untuk melakukan kebaikan yang sama.

Ia bukan nasihat kerana ingin mempermainkan hal agama, atau ingin mempermainkan orang lain namun peringatan yang jujur kerana tidak mahu seseorang itu terjatuh dalam kesalahan yang serupa.

Pemimpin yang masyhur dalam Islam, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz juga pernah menyebutkan hal ini ketika mengutuskan surat kepada wakilnya yang berada di pelbagai kota.

“Aku beri nasihat seperti ini. Padahal aku sendiri telah melampaui batas terhadap diriku dan pernah berbuat salah. Seandainya seseorang tidak boleh menasihati saudaranya sampai dirinya bersih dari kesalahan, maka tentu semua akan merasa dirinya telah baik (kerana tak ada yang menasihati, pen.)

Jika disyaratkan harus bersih dari kesalahan, bererti hilanglah amar makruf nahi mungkar. Jadinya, yang haram dihalalkan. Sehingga berkuranglah orang yang memberi nasihat di muka bumi. Syaitan pun akhirnya senang jika tidak ada yang beramar makruf nahi mungkar sama sekali.

Sebaliknya jika ada yang saling menasihati dalam kebaikan dan melarang dari kemungkaran, syaitan akan menyalahkannya. Syaitan menggodanya dengan berkata, kenapa engkau memberi nasihat pada orang lain, padahal dirimu sendiri belum baik.” (Penjelasan Ibnu Rajab dalam Lathaif Al-Ma’arif, hlm. 42-43)

Kesimpulan

Syarat utama untuk menasihati adalah tidak melupakan diri sendiri. Ia bukan satu jalan untuk berlepas diri dari sama-sama memperbaiki kelemahan yang ada.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.” (Riwayat Muslim)




No comments:

Powered by Blogger.