Ads Top

Tragedi Ar-Raji – Mengingati Para Sahabat Dibunuh Dalam Bulan Safar

Umat Islam telah mula berkembang pesat di seluruh pelusuk tanah Arab sehinggalah kepada suku ‘Adhal atau juga dikenali sebagai ‘Udhul dan al-Qarahs.

Pada tahun keempat Hijrah dalam bulan Safar, beberapa orang wakil dari kaum ‘Adhal telah datang berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta diutuskan beberapa orang sahabat bagi mengajarkan ajaran Islam kepada mereka.

Oleh itu, Nabi Muhammad telah meminta beberapa orang wakil sahabatnya yang sukarela untuk berangkat kepada suku kaum di sana bagi memperluaskan lagi ajaran Islam.

Menurut beberapa pendapat mengatakan bahawa Baginda SAW menghantar 10 orang sahabatnya dan ada juga riwayat lain yang mengatakan bahawa terdapat enam orang sahabat.

Antara sahabat yang terlibat ialah Ashim bin Tsabit, Abdullah bin Thariq, Khubaib bin Adi, Khalid bin al-Bakir, Marstad bin Abi Abi Marstad dan Zaid bin Datsanah.

Walau bagaimanapun, ketika telah sampai di sebuah daerah Ar-Raji’, iaitu Huzail, mereka telah dikepung oleh bala tentera yang lengkap bersenjata.

Tentera tersebut menyarankan agar kumpulan Islam itu menyerah diri dan pulang ke tempat asalnya. Namun, Ashim bin Tsabit yang mewakili kumpulan itu sebagai ketua rombongan Islam tersebut memilih untuk tidak meninggalkan jalan dakwah tersebut.

Hasil daripada pertempuran itu, akhirnya sebahagian daripada mereka telah syahid di jalan Allah, manakala menurut riwayat terdapat tiga orang sahabat yang masih tinggal, iaitu Zaid bin Abi ad-Dasinah, Khuaib bin ‘Adi dan Abdullah bin Tariq.

Mereka telah dibiarkan hidup namun dibawa ke Mekah untuk dijual. Walau bagaimanapun, menurut beberapa penceritaan mengatakan bahawa, mereka berjaya melepaskan diri daripada menjadi tawanan tersebut. (Kitab Fathul Bari 7/473)

Apabila Baginda SAW mendengar perkhabaran ini, Baginda telah memulakan bacaan qunut selama satu bulan bagi mendoakan keburukan terhadap para pembunuh sahabat-sahabat.

عَن أنس أَن النَّبِي – صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم – قنت شهرا يَدْعُو عَلَى قاتلي أَصْحَابه ببئر مَعُونَة (ثمَّ) ترك ، فَأَما فِي الصُّبْح فَلم يزل يقنت حَتَّى فَارق الدُّنْيَا.

Maksud: “Dari Anas RA berkata: “Sesungguhnya Nabi melakukan qunut selama satu bulan, berdoa (untuk keburukan) kepada para pembunuh para sahabat Baginda di Bi’r Ma’unah, lalu Baginda meninggalkannya, akan tetapi qunut pada waktu Subuh tetap diamalkan sehingga Baginda wafat.’

Begitu hebat rintangan dan halangan yang telah diterima oleh para sahabat dalam usaha menyebarkan agama Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Walau bagaimanapun, Allah tidak akan pernah mensia-siakan usaha hambaNya kerana Allah akan mengganjarkan sesuatu yang lebih baik kepada mereka dengan ganjaran syurga kelak.

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّـهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلً

Mafhum: “Di antara orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Surah Al-Ahzab, 33:23)




No comments:

Powered by Blogger.