Ads Top

Masjid Jami’, Delhi Dinamakan Sempena Hari Jumaat

Jika anda menyimpan hasrat dan cita-cita untuk melawat Taj Mahal dan beberapa bangunan unggul bercirikan seni bina Islam di India, pastikan Masjid Jama di Delhi termasuk dalam senarai lawatan anda juga.

Masjid ini dikenali dengan nama Masjid Jami’ atau Jama’ yang diinspirasikan daripada nama Jummuah atau hari Jumaat kerana pada hari ini, semua Muslim terutamanya kaum lelaki berkumpul di masjid bagi menunaikan ibadah solat Jumaat.

Nama lain bagi masjid ini juga ialah Masjid E-Jahan yang diberi nama sempena pemerintah pada masa itu, iaitu Sultan Shah Jehan, sultan dari Kesultanan Mughal. Masjid ini merupakan masjid ketiga yang telah dibangunkan semasa pemerintahannya selepas Taj Mahal.

Sultan Shah Jehan amat terkenal dengan zaman keagungan kesenian Islam kerana banyak monumen yang telah didirikan mengikut nilai Islam seperti Masjid Mutiara, istana, beberapa masjid di Delhi dan juga bangunan di dalam tembok Lahore.

Masjid ini telah dibina bermula pada hari Jumaat, tahun 1644, iaitu 10 Syawal 1060 H sehingga 1656 dan dikatakan antara yang terbesar di India sehingga mampu memuatkan seramai 2500 orang pada satu waktu.

Pembinaan masjid ini telah melibatkan seramai 5000 orang pekerja dalam masa tujuh tahun dan dikatakan memakan belanja sehingga 10 Lakh, iaitu RM4185,500.00.

Ia terletak di atas bukit di sebelah timur kawasan bekas ibu kota dinasti Mughal yang bernama Shahjahanbad.

Dua menara pada bahagian kiri dan kanan yang berketinggian sebanyak 40 meter dan juga kubah yang cantik dihiasi dengan batu pasir merah asli dan marmar putih adalah salah satu tarikan yang ada.

Dikatakan masjid ini juga menyimpan beberapa artifak bersejarah seperti lembaran Al-Quran, selipar serta tapak kaki Baginda SAW.

Imam pertama masjid ini ialah Syed Abdul Ghafoor Shah Bukhari yang dijemput secara khas oleh Sultan Shah Jehan bagi menghormati nama baik masjid tersebut dengan menginginkan seseorang yang mempunyai keperibadian yang tinggi.

Solat jemaah kali pertama dilakukan di masjid ini sebagai salah satu simbolik pembukaan masjid, iaitu Solat Sunat Hari Raya Aidil Fitri pada tahun 1066 Hijrah.

Buat anda yang ingin merasai sendiri pegalaman bersolat dengan diimami oleh imam-imam terkemuka dunia serta melihat bagaimana seni bina Islam pada masjid yang diinspirasikan oleh Sultan Shah Jehan, masjid ini merupakan antara pilihan terbaik yang boleh dilawati.




No comments:

Powered by Blogger.