Ads Top

Kematian Yang Sering Mengintai Kita

Bayangkan, ketika anda pergi ke hospital. Sampai-sampai sahaja di sana. Tiba-tiba, ayah anda memberitahu pada anda;

Pesakit yang duduk di katil depan itu, doktor cakap jangka hayatnya bertahan 3 minggu.”

Apakah perasaan anda bila dengar? Pasti terasa insaf. Saya bila dengar begitu terus terdiam. Terasa sebak di jiwa ini. Bekalan apa yang sudah saya sediakan untuk menuju kehidupan akhirat nanti?

Sudahlah saya tadi baru sahaja lepas membaca buku La Tahzan karangan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni tajuknya Biarkan Masa Depan Datang Sendiri.

Saya merasakan kita punya masa hadapan yang belum diketahui bagaimana. Apakah kita perlu tangisi, perlu meratapi dengan sangkaan di masa hadapan kita langsung tiada punya harapan untuk bahagia dan berubah.

Sebab itu, di dalam tajuk ini beliau ada menekankan supaya jangan terlalu risaukan dengan hari yang belum tentu kita dapat tahu masih punya kehidupan ataupun apa sahaja yang berlaku. Semua itu masih rahsia dan samar lagi.

Beliau mahu kita jangan terasa berputus asa dengan kehidupan yang belum tahu penghujungnya bagaimana. Jadi kehidupan yang hari ini perlu digunakan sebaiknya. Semaksimum mungkin. Begitulah.

Kita punya peluang dan ruang melakukan kebajikan untuk bekalan kita. Jangan terasa hilang harapan. Ada manusia yang mampu hidup setelah menerima berita ‘ tarikh’ kematian yang dijangkakan.

Ada pula yang sebaliknya. Mati setelah diberitahu yang dia sudah sihat sepenuhnya. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan umat islam di dunia ini dalam melakukan kebajikan.

Kemudian, sewaktu saya meneman Puan isteri di hospital dahulu, kami melihat berlakunya dua kematian yang berlaku di hadapan mata kami. Sangat dekat katil-katil mereka dengan isteri saya.

Sebenarnya terasa berat nak mengkongsikan suatu hal berkaitan kematian. Yelah, siapa akan rasa cukup ceria dan gembira apabila bercerita tentang kematian. Pasti timbul rasa takut dan mula rasa suram saja.

Baiklah, kematian yang pertama berlaku itu disebabkan sakit tua. Kematian kedua yang agak mengejutkan kami. Padahal pagi itu orang itu kelihatan masih sihat lagi cuma ada muntah-muntah.

Tengah hari pula saya melihat orang itu tertidur. Ada bangun sekejap rasanya. Mungkin sebab pening-pening.

Kemudian dia tidur semula, tiba-tiba pada waktu maghrib, dia sudah disahkan meninggal dunia. Apa yang akan bermain di dalam fikiran anda?

Sama, aaya masih lagi terdiam. Terkejut sangat. Tiada tanda kematian tapi sudah dijemput. Ketika itu, saya juga berfikir;

“Apakah aku sudah bersiap sedia untuk bertemu dengan Allah.”

Saya pula semalam ada mendengar ceramah di radio IKIM, satu hadith yang menyebut hidup orang itu sentiasa melakukan amalan ahli syurga tapi di akhir hayatnya pula beramal dengan amalan ahli neraka, sebaliknya begitu, ada orang yang mengamalkan amalan ahli neraka tapi di akhir hayatnya mengamalkan amalan ahli syurga.

Hadith ini ada dalam kitab hadith 40, Imam Nawawi. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيَدْخُلُهَا

“Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya dalam keadaan air mani selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah selama empat puluh hari, kemudian menjadi segumpal daging selama empat puluh hari. Kemudian diutus kepadanya malaikat untuk ditiupkan kepadanya roh dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara: Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga.”Riwayat Muslim 2643

Muhasabah diri kita ketika membaca hadith ini. Semoga jangan kita tidak tergolong dalam golongan orang ahli neraka di akhir kehidupan nanti.

Benarlah kata Rasulullah S.A.W ingat mati ini pemutus selera dunia. Tiada siapa akan merasa lazat dunia apabila perkataan mati itu dilaungkan, disebut dan disampaikan. Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Perbanyakkan mengingati pemutus kelazatan (iaitu kematian).”Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Janaiz, hadis no: 3069

Dinukilkan dalam kitab az-Zuhd oleh Imam Ibn al-Mubarak:

مَنْ أَكْثَرَ ذِكْرَ الْمَوْتِ قَلَّ فَرَحُهُ ، وَقَلَّ حَسَدُهُ
Sesiapa yang banyak mengingati mati, akan sedikit kegembiraannya, dan sedikit perasaan hasadnya.

Imam al-Qurtubi menukilkan dalam at-Tazkirah, ad-Daqqaq berkata:

و قال الدقاق : من أكثر من ذكر الموت أكرم بثلاثة أشياء : تعجيل التوبة و قناعة القلب و نشاط العبادة
Sesiapa yang banyak mengingati mati, akan dimuliakan dengan tiga perkara:

#1- Segera bertaubat
#2- Hati yang merasa cukup
#3- Kerajinan untuk beribadah.

و من نسي الموت عوقب بثلاثة أشياء : تسويف التوبة و ترك الرضى بالكفاف و التكاسل في العبادة
Sesiapa yang lupa kepada kematian, akan dihukum dengan tiga perkara:

#1- Menangguhkan taubat
#2- Meninggalkan rasa redha dan cukup
#3- Malas dalam beribadah.

Semoga kita sentiasa merenung diri ini, supaya sedar yang kita ini hamba Allah S.W.T. Jangan bongkak untuk tidak tunduk dan sembah kepadaNya.

Gunakan baki usia yang ada ini untuk kita kumpulkan bekalan buat kehidupan di akhirat sana.
Kita tak tahu dan tidak punya ketahuan tentang tarikh tepat kematian kita.

Banyakkan beristighfar dan bertaubat bersungguh-sungguh. Allah sentiasa memberi harapan untuk kita tidak berputusa asa dengan RahmatNya.

قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.Surah Az-Zumar:53

Rujukan :

1- Jangan Bersedih, Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni, Al-Hidayah, 2012
2- Facebook Dr. Rozaimi Ramle




No comments:

Powered by Blogger.