Ads Top

Keluar Album Baharu Tahun Depan, Rakam Semula Lagu Sudirman

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan dia bakal merakamkan album baharu yang bakal dikeluarkan pada Januari tahun hadapan.

Menariknya, album itu nanti juga bakal memperlihatkan Siti merakamkan semula lagu dendangan Allahyarham Sudirman, Teratai Menjelma bagi memberikan lebih banyak variasi genre dalam album itu nanti.

“Untuk album baharu yang kini dalam pembikinan, saya akan menyanyikan semula lagu Allahyarham Sudirman, Teratai Menjelma. Lagu itu dipilih bagi memartabatkan irama tradisional dan memastikan ia kekal relevan sampai bila-bila.

“Selain lagu itu, sudah ada beberapa lagu yang akan dirakamkan merupakan karya ciptaan Aubrey Suwito, Joe Flizzow dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Showcase Karya Agung Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Datuk Seri Siti Nurhaliza di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Selain Siti, konsert yang akan diadakan pada 14 dan 15 November ini di Panggung Sari, Istana Budaya juga akan diserikan dengan persembahan Syamel, Ernie Zakri, Asmidar dan Roger.

Mengulas mengenai konsert itu, Siti berkata dia akan menyanyikan koleksi lagu-lagu tradisional karya Pak Ngah yang sentiasa diingati dan malar segar sehingga ke hari ini.

“Sudah pastinya saya akan menyanyikan lagu Cindai yang merupakan antara karya agung Pak Ngah yang telah menaikkan nama saya dalam industri. Ia akan dibahagikan kepada dua slot iaitu lagu penuh serta segmen medley.

“Konsert ini sebagai membalas jasa Allahyarham yang sudah saya anggap seperti keluarga sendiri. Sehingga ke hari ini kenangan dan memori saya bersama arwah masih segar dalam ingatan,” ujarnya lagi.

Tiket berharga RM66 hingga RM566 boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com mulai Isnin ini (7 Oktober). – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.