Ads Top

Ihsan Terhadap Haiwan – Hukum Makan Sotong Hidup-Hidup

Kita mempelajari tiga konsep dalam islam, iaitu konsep Iman, Islam dan Ihsan. Islam tertegak di atas landasan yang kukuh melalui utusan Allah, iaitu Rasulullah SAW untuk mengajarkan kepada manusia.

Iman itu merupakan kepercayaan kepada Allah dan ciptaannya, manakala islam itu adalah dengan menyembah Allah dan tidak menyekutukannya dengan perkara lain.

Ihsan pula ialah dengan menyembah Allah seolah-olah kita melihatNya. Dalam erti yang lebih mudah ialah dengan melakukan kebaikan kepada sekeliling.

Baginda SAW menganjurkan umatnya untuk berbuat baik kepada manusia, haiwan dan juga sekeliling walaupun ia tidak bernyawa.

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Mafhum: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” (Surah An-Nahl, 16:90)

Berlaku ihsan terhadap haiwan termasuk dalam proses untuk mematikannya sama ada untuk menjadikannya sebagai sumber makanan atau tujuan lain juga adalah dikira sebagai kebaikan kepada mereka.

Antara contoh berlaku ihsan kepada haiwan ialah dengan menajamkan pisau atau alat penyembelihannya, tidak membakar haiwan atau memanggang haiwan tersebut secara hidup-hidup dan tidak menyeksa kematiannya.

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ؛ لِيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan utuk berbuat baik terhadap segala sesuatu. Apabila kalian hendak mematikan (binatang), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila kalian menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik. Hendaknya kalian menajamkan pisaunya dan mengistirehatkan sembelihannya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah, no. 2585)

Hukum Makan Haiwan Hidup-Hidup

Menurut Al-Mausu’ah Al-Fikhiyah, 5/131 menyebut bahawa, Imam Hanafi dan Imam Hanbali berpendapat bahawa makruh hukumnya makan makanan secara hidup-hidup atau yang tidak dimatikan lagi.

Hal ini kerana ia adalah termasuk dalam perbuatan menyeksa haiwan. Pendapat ini juga adalah dipersetujui dengan Imam Nawawi dan beberapa ulama’ yang lain seperti Ibn Qudamah.

Wujud pendapat kedua yang mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Ia merupakan pendapat oleh Imam Al-Ghazali melalui al-Majmu’ Syarh Muhadzab, 9/37.

Malah, jika binatang itu boleh menimbulkan mudarat, maka ia adalah sesuatu yang perlu dielakkan – sebagai contoh, terdapat beberapa kes mereka yang cuba memakan sotong kurita secara hidup-hidup, namun bahagian muka dan tangannya telah disedut oleh sotong tersebut sehingga tercedera.

Allah telah berfirman bahawa manusia itu perlu mencari makanan yang halal dan tidak memudaratkan manusia melalui kalamnya dalam surah Al-Maidah ayat 88.

Ia bukan sahaja untuk menjaga kesucian daging yang masuk ke dalam badan kita, malah untuk membantu kita menjaga kesihatan baik luaran mahupun dalaman.

Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengambil makanan dengan cara yang terbaik dan berlaku ihsan kepada haiwan tersebut agar tidak menyakitinya sekali gus tidak menimbulkan fitnah.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Ihsan Terhadap Haiwan

Rujukan:
Research Gate
Academia.edu
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.