Ads Top

Diramal Bakal Hero Malaya Baru, Fad Anuar Tolak Dihimpit Kontroversi

Memiliki kriteria tinggi, hitam manis dan kacak menjadikan pelakon Fad Anuar antara pelakon baharu yang mendapat perhatian peminat hiburan seni tempatan.

Malah dengan ciri-ciri itu, jejaka kelahiran Terengganu ini juga diramal bakal bergelar hero Malaya baharu setanding aktor popular seperti Zul Ariffin dan Remy Ishak.

Mengulas mengenai perkara itu, Fad berkata, “Kalau penerimaan penonton sebegitu terhadap saya, saya tiada masalah dengan perkara itu (digelar hero malaya baharu). Kalau boleh saya nak orang kenal saya melalui kualiti lakonan saya. Saya tidak mahu orang kenal saya menerusi cerita-cerita kontroversi.”

“Walaupun masyarakat mahu membaca atau mendengar kontroversi mengenai artis, namun saya sendiri akan menolak sebaik mungkin daripada terpalit kisah-kisah kontroversi,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton filem Geran yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Menerusi filem arahan Areel Abu Bakar itu, Fad melakonkan watak seorang pemuda yang mempamerkan aksi-aksi seni silat seperti mana yang diperjuangkan oleh pengarahnya.

“Ini merupakan filem pertama lakonan saya selepas tiga tahun menceburkan diri dalam bidang seni. Bila ditawarkan watak dalam filem ini terus saya bersetuju sebab saya memang sukakan filem aksi lebih-lebih lagi saya memang tahu bersilat.

“Kalau boleh saya nak jadi ikon persilatan dalam Malaysia yang boleh berlakon dan berlawak. Selain itu, saya juga nak terus memperjuangkan seni silat yang menjadi warisan orang Melayu agar ia tidak terus ditelan zaman,” katanya lagi.

Filem Geran turut dibintangi Namron, Fieyna Tajudin, Aeril Zafrel, Azlan Komeng dan Taiyuddin Bakar. Ia bakal ditayangkan bermula 10 Oktober ini di 75 buah pawagam seluruh negara. – KopiPlanet.com

The post Diramal Bakal Hero Malaya Baru, Fad Anuar Tolak Dihimpit Kontroversi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.