Ads Top

Bagaimana Mengawal Marah Cara Rasulullah

Bagaimana diri anda ketika marah? Adakah anda akan mengamuk tidak bertempat dengan membaling-baling barang atau mungkin anda akan menghilangkan diri untuk mengambil ruang bersabar seketika saat hati sedang membara?

Marah merupakan salah satu emosi yang wujud dalam diri manusia dan biasanya ia akan mengakibatkan seseorang itu menjadi tidak terkawal.

Setiap orang mempunyai sifat marah dalam dirinya kerana ia adalah fitrah. Namun, bagaimana seseorang itu mengawalnya adalah perkara yang paling penting.

Apabila marah, degupan jantung dan tekanan darah akan meningkat, pernafasan menjadi cepat dan pendek. Otot juga akan menegang serta paras hormon meningkat hingga menyebabkan pergerakan badan bertenang.

Dari segi psikologinya, marah itu ialah perasaan yang perlu dilepaskan, namun melalui cara yang saluran yang betul serta terkawal.

Ia bukan sahaja untuk melegakan diri sendiri malah untuk mengelakkan daripada ada perasaan benci atau emosi negatif lain yang bersarang dalam diri sehingga boleh mengundang kepada perkara lain seperti penyakit darah tinggi atau mental dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, hati-hati dalam melampiaskan perasaan marah tersebut. Bimbang jika sehingga menimbulkan perasaan yang tidak selesa terhadap orang sekeliling apatah lagi yang seharian perlu berhadapan dengan anda.

لاَ تَغْضَبْ ÙˆَÙ„َÙƒَ الْجَÙ†َّØ©ُ

Maksud: “Janganlah kamu marah dan bagimu syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Malah, dalam Islam, marah yang terpuji ialah apabila ia dilakukan untuk membela diri, agama, kehormatan atau menolong orang yang dizalimi.

Wajib hukumnya ke atas seorang yang beriman untuk timbul perasaan marah apabila ia melihat ada kemaksiatan yang berlaku di hadapan mata. Itu merupakan salah satu bentuk iman dalam diri.

Namun, jika marah itu dilakukan atas dasar balas dendam atau keegoan diri sendiri atau sehingga ia mengganggu-gugat kehidupan orang lain, maka hati-hati kerana ia sebenarnya merupakan perasaan yang hadir dari hasutan syaitan dan itulah maksud marah yang dicela dalam Islam.

Jadi, bagaimana cara yang betul untuk menangani perasaan marah itu berdasarkan ajaran yang ditinggalkan Baginda SAW?

#1 – Bertenang Dan Cuba Selesaikan Pertelingkahan

Apabila marah, Baginda tidak terus menegur seseorang itu di hadapan umum kerana bimbang jika perbuatannya boleh menyinggung dan menjatuhkan maruah seseorang.

Sebaliknya, Baginda akan mencari masa yang sesuai berdasarkan situasi untuk menyelesaikan masalah tersebut sama ada menegurnya secara bersendirian atau menunjukkan perbuatan yang tepat.

Sebaiknya, anda tenangkan diri terlebih dahulu. Apabila marah, pemikiran seseorang itu cenderung untuk berfikir mengenai kesalahan atau masalah yang dilalui tanpa melihat kesan atau mengapa ia terjadi.

Jadi, cuba untuk tukar posisi anda pada waktu itu, tarik nafas dan bertenang. Kemudian, barulah anda akan kembali menjadi rasional dan masalah tersebut boleh dibawa berbincang tanpa situasi yang tidak terkawal.

#2 – Berwuduk

Cari sesuatu yang boleh menenangkan diri anda. Air ialah sesuatu yang menenangkan kerana ia menyucikan.

Marah itu datangnya dari syaitan dan ia adalah api. Air ialah salah satu sifat untuk memadamkan. Oleh itu, Baginda akan berwuduk setiap kali wujudnya perasaan tersebut.

Cuba lihat air yang mengalir. Bayangkan ia adalah masalah anda yang akan mengalir dan berlalu dengan baik. Itulah sifat air, ia menenangkan sesiapa sahaja yang melihatnya.

#3 – Meluahkan Bukan Memendam

Apabila marah, cuba luahkannya dengan cara yang betul dan rasional sama ada kepada orang yang anda marahkan atau mungkin juga kepada pendengar lain yang dirasakan boleh membantu anda menangani masalah tersebut.

Walaupun masalah itu tidak diselesaikan, namun ia sedikit sebanyak mampu membantu melegakan emosi anda daripada wujudnya perasaan yang terkumpul, bimbang ia boleh meletus pada bila-bila masa.

Malah, Baginda mengamalkan konsep syura, iaitu perbincangan bersama para sahabat untuk mendapatkan solusi bagi setiap perkara yang terjadi.

Kesimpulan

Tidak salah mempunyai perasaan marah kerana ia adalah satu bentuk emosi yang sentiasa wujud. Namun, bagaimana seseorang itu melepaskan amarahnya sangat ditekankan kerana ia bukan sahaja boleh mempengaruhi diri sendiri malah orang lain juga.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
Misteri Marah Antara Sains dan Al-Quran




No comments:

Powered by Blogger.