Ads Top

Tak Kisah Terlalu Kurus Demi Realisasi Watak Penagih Dadah

Pelakon Mimi Lana yang sememangnya sudah memiliki tubuh badan langsing tidak kisah untuk menurunkan berat badannya sehingga kelihatan terlalu cengkung dan kurus bagi menjayakan watak sebagai penagih dadah.

Menurut Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Roziana Zainal Abidin, 24, dia mengambil pendekatan itu kerana mahu menampilkan lakonan yang realistik menerusi wataknya sebagai Nur dalam filem seram lakonannya, Pusaka.

“Dalam filem Pusaka, saya membawakan karakter Nur yang mana tubuh badan Nur harus kelihatan kurus dan cengkung.

“Saya nak bagi nampak realistik dan tak nak harapkan kesan solekan semata-mata, jadi saya ambil inisiatif turunkan berat badan.

“Sebelum penggambaran berat saya 49 kilogram dan ia turun kepada 43 kilogram. Sekarang saya dah dapat balik berat 49 kilogram yang dulu.

“Berat badan saya memang jenis senang turun dan naik. Sekarang ini saya berazam nak capai berat ideal iaitu 55 kilogram pula,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Mimi ditemui pada majlis sidang media filem Pusaka yang diadakan di Restoran Subak, Sungai Penchala, baru-baru ini.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir warga net yang gemar ‘body shaming’ dirinya berikutan tubuh badannya yang kelihatan terlalu kurus, Mimi menjelaskan,” Saya tidak kisah ramai orang tegur saya kurus kerana memang saya kurus. Tetapi apa yang buat saya hairan, bila ada sesetengah netizen yang kelihatan bersungguh-sungguh seperti merayu apabila menegur berat badan saya.

“Mungkin mereka risau dengan berat badan saya yang kurus tapi keadaan kesihatan saya baik-baik sahaja, Alhamdulillah,” ujarnya lagi.

Pusaka merupakan filem bergenre seram thriller yang diarahkan Razaisyam.

Filem ini turut dibintangi Syafiq Kyle, Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Aloy Paradox. Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 31 Oktober ini. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.