Plot Twist The Spirit Of Ramayana Rencah Terbaik Filem Ini!
Tajuk: The Spirit of Ramayana
Tarikh Tayangan: 12 September 2019
Durasi: 1 jam 35 minit
Genre: Seram
Pengarah: Chaiwat Sitalasai
Pelakon:Ausadaporn Siriwattanakul, Anusorn Maneeted, Jeffrey Benjakul, Thitikan Sitthisamphan
Klasifikasi: P13
Hampir memasuki ke bulan Oktober, pastinya filem-filem seram akan menghiasi pawagam berhampiran anda bersempena meraikan sambutan Halloween yang sinonim diraikan di negara Barat pada 31 Oktober setiap tahun. Terbaharu, filem seram Thailand, The Spirit of Ramayana bakal menghantui anda dengan paparan kisah yang padat dengan aksi seram dan mengerikan.
Permulaan filem penonton sudah disajikan dengan kelibat beberapa entiti misteri yang membuat penonton tertanya-tanya ke mana pnegarah mahu membawa penonton berlayar dengan karya penceritaannya.
Menggunakan tema tarian tradisional Thailand sebagai subjek utama filem ini, ia sedikit sebanyak dapat membawa penonton mendalami kepayahan dan kesukaran pelakon teater mendalami sesuatu karakter yang perlu dikuasai mereka selain hasad dengki beberapa rakan seperjuangan.
Pelakon utama, Ausadaporn Siriwattanakul berjaya membawakan peranannya dengan baik, lebih-lebih lagi babak di mana di ketika dia tidak menyedari dirinya telah dirasuk hantu. Lakonannya cukup mengesankan terutama sekali ketika dirinya mengejek salah seorang ‘musuh’ tarinya yang terlantar sakit di hospital.
Kesemua lokasi penggambaran yang dipilih juga sangat bersesuaian bagi membawakan mood seram dan kelam sekali gus menambahkan skala ketakutan buat sesiapa yang menonton. Walaupun terdapat beberapa unsur repetitif babak namun permainan sinematografi dan suntingan filem ini telah membuatkan penonton terus duduk terpaku dan tidak berasa bosan dengan perjalanan cerita.
Klimaks kepada The Spirit of Ramayana ialah apabila beberapa entiti seram muncul di saat-saat yang tidak kita jangka malah turut kedengaran jeritan kecil penonton yang terkejut dengan babak-babak seram itu terutama melibatkan hantu yang bergaya seperti penari tradisional namun dengan raut wajah yang sungguh jelik dan menyeramkan.
Kesan efek bunyi dan muzik sangat memainkan peranan yang penting, sekali gus berjaya menyempurnakan mood seram filem ini hingga ke akhir babak. Solekan hantu juga dilihat bertepatan untuk menggambarkan bagaimana dirinya diseksa sehingga mati dan ia menepati logik kita sebagai penonton. Malah, anda akan mula mengaitkan kenapa insiden paip bocor sering berlaku di pusat teater tersebut sehingga membawa kepada pembongkaran suatu misteri yang menakutkan.
Walaupun tiada sebarang unsur humor namun penonton tidak bakal bosan kerana perjalanan cerita yang menarik di samping kejelitaan para pelakon yang mampu memukau pandangan anda.
Yang menariknya, plot twist sesungguhnya menjadi kekuatan kepada filem ini dan buat penggemar filem seram di luar sana, The Spirit of Ramayana mempunyai sesuatu khas buat anda!
Sinopsis The Spirit of Ramayana:
Filem berkenaan mengisahkan Mintra, 24, seorang penari menghadiri sesi uji bakat watak idamannya iaitu Seeda dalam sebuah pementasan teater Ramayana.
Mintra sangat mendambakan watak tersebut agar dia dapat membuktikan kepada keluarganya bahawa minatnya terhadap dunia tarian sangat mendalam selain inign menampung kehidupan sehariannya.
Namun, Mintra tidak berjaya dalam uji bakat watak utama disebabkan karakternya yang terlalu baik. Peranan itu kemudiannya telah diberikan pengarah kepada musuh Mintra iaitu Gina.
Mintra hanya diberi watak pembantu dan perkara itu telah membuatkannya tidak berpuas hati, tetapi dia masih menerima watak yang diberikan.
Bagaimanapun, ketika menjalani latihan seorang hantu wanita telah berjumpa dan bercakap dengan Mintra. Hantu berkenaan mengatakan mahu membantu Mintra dan sebagai balasan Mintra juga perlu membantunya. Apakah kejadian misteri yang bakal menimpa Mintra di sepanjang penceritaan? Jangan lupa saksikan The Spirit of Ramayana di pawagam berhampiran anda pada hujung minggu ini! – KopiPlanet.com
The post Plot Twist The Spirit Of Ramayana Rencah Terbaik Filem Ini! appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: