Ads Top

Hutang Masa, Antara Hutang Yang Sukar Dibayar

Jika anda punya hutang duit, sudah jelas dan nyata anda akan membayarnya dengan duit. Hatta, jika anda tidak punya wang sekali pun untuk membayar makanan yang anda makan di restoran mahal, anda pasti akan disuruh melakukan kerja-kerja yang setimpal mengikut harga makanan yang anda makan.

Jika anda punya hutang budi, anda yakin bahawa perbuatan anda itu perlu setimpal dengan apa yang telah dilakukan terhadap anda.

Sama ada seseorang itu telah membantu anda untuk belajar di universiti terkemuka atau menjaga anda ketika anda sakit, ia adalah hutang yang akan diingat sampai mati.

Malah, hutang budi ini ada disebut dalam pantun Melayu sebagai hutang yang paling sukar dibayar dan akan dibawa sehingga mati agar anda sentiasa beringat tentang kebaikan orang kepada anda.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Namun, bagaimana pula hutang masa? Adakah ia dikategorikan sebagai hutang yang boleh dibayar atau hutang yang akan dibawa sehingga mati?

Punya Waktu Yang Sama Namun Jadual Yang Berbeza

Setiap manusia, malah makhluk di muka bumi ini mempunyai 24 jam yang sama, bermula dari waktu pagi sehingga malam.

Namun, apa yang membezakan ialah rutin dan gaya hidup sehari-hari yang dilakukan oleh setiap orang. Masing-masing mempunyai jadual yang berbeza.

Ada yang memulakan hari dengan menguruskan rumah tangga. Ada pula yang terpaksa berlepas ke luar negara disebabkan urusan syarikat dan sebagainya.

Itulah rutin yang akan dijalani oleh makhluk di muka bumi ini dan setiap hari akan ada sahaja perkara yang perlu dilakukan.

Jika anda berurusan dengan manusia, pastikan anda menjadi manusia yang paling patuh dan menepati masa.

Jangan biarkan orang yang berurusan dengan anda menunggu seolah-olah kerja dan tugas mereka adalah untuk menunggu anda.

Jika anda terlewat satu jam – bayangkan dalam masa satu jam tersebut ia boleh melakukan banyak benda atau menyelesaikan perkara-perkara lain berkaitan rutin hariannya.

Jadi, bagaimana cara anda untuk mengganti semula satu jam tersebut? Adakah cukup dengan meminta maaf atau bolehkah dilakukan dengan membayar wang ringgit? Berapa pula nilai yang layak diberikan dengan satu jam tersebut?

Tiada, bukan? Susah untuk menentukan nilai masa seseorang kerana nilainya adalah berbeza bagi setiap orang.

As-Syahid Hassan Al-Banna mengatakan bahawa:

“Masa adalah sebuah kehidupan dan kehidupan itu adalah masa yang dia habiskan bermula pada saat kelahiran sehingga ke saat kematiannya.”

Masa Itu Ternilai Melebihi Emas

Kita sering mendengar pepatah Melayu yang menyebut – “Masa itu ibarat emas.” Ia membawa maksud masa itu sesuatu yang sangat berharga dan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.

Mengapa wujudnya peribahasa seperti itu sedangkan kita tahu bahawa emas itu mempunyai nilainya yang tersendiri.

Namun, masa merupakan sesuatu yang tidak ternilai harganya. Tiada jumlah wang ringgit yang mampu dibayar untuk membeli masa seseorang.

Sekarang, kita lihat pula potongan daripada sebuah syair Arab yang berbunyi:

الوَÙ‚ْتُ Ø£َØ«ْÙ…َÙ†ُ Ù…ِÙ†َ الذَّÙ‡َب

Maksud: “Waktu itu lebih berharga daripada emas.”

Emas sangat sinonim dengan sesuatu yang sangat mahal dan sukar dimiliki oleh orang-orang terdahulu. Hanya mereka yang benar-benar berharta yang mampu membelinya.

Mereka yang mempunyai emas pasti akan menjaga atau menyimpannya dengan elok, bimbang hilang atau dirompak orang.

Disebabkan itu, peribahasa Melayu meletakkan masa sebagai sesuatu yang sangat berharga seperti emas kerana nilainya yang begitu tinggi.

Sama juga dengan syair Arab tersebut. Ia adalah sesuatu yang tidak dapat dibandingkan dengan apa pun termasuklah emas.

Malah, beratnya perihal masa ini sehingga ia mempunyai surah khas di dalam Al-Quran, iaitu Surah Al-Asr (103) yang membicarakan mengenai orang-orang yang rugi jika masanya dibiarkan berlalu tanpa melakukan amal soleh.

Kesimpulan

Oleh itu, sebagai manusia yang berdisiplin dan muslim yang sentiasa mencuba untuk mengamalkan gaya hidup yang seimbang dengan orang sekeliling, hargailah masa, bukan hanya masa kita, namun masa orang lain juga.

Jika berjanji, maka ia adalah amanah yang wajib ditunaikan. Jika diberi tempoh masa untuk melakukan tugasan, maka ia adalah disiplin yang perlu ditepati. Kerana kita tidak tahu rutin dan jadual yang setiap orang punya sebagai tanggungjawab dalam kehidupannya.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.