Ads Top

Kita Semua Adalah Duta Agama

Ada manusia lebih mementingkan pembangunan pada aspek infrastruktur. Dengannya mampu memberi keselesaan kepada pengguna.

Ada pula yang mementingkan pembangunan modal insan. Seperti mana harapan Amirul Mukminin, Umar al-Khattab sedang duduk bersama-sama para sahabat.

Lalu, dia bertanya,

“Apa yang kalian mahu dipenuhkan dalam rumah ini?”

Ada yang mengatakan,

“Aku mahu memenuhkan rumah ini dengan wang dirham supaya dapat digunakan pada jalan Allah SWT.”

Saidina Umar berkata, “sebutkan lagi harapan kalian.”

Sahabat lain mengatakan, “aku mahu rumah ini dipenuhi dengan emas untuk digunakan ke jalan Allah.”

Sahabat lain pula ada menyatakan, “aku berharap dapat memiliki permata yang memenuhi ruang rumah untuk aku belanjakan di jalan Allah SWT.”

Saidina Umar masih lagi berkata, “Sebutkanlah harapan kalian.” Sepertinya ada harapan yang lebih tinggi daripada harapan mereka sekalian.

Mereka bertanya, “Harapan apa lagi yang lebih tinggi daripada yang kami telah sebutkan?”

Saidina Umar menjawab, “Aku berharap rumah ini dipenuhi orang-orang seperti Abu Ubaidah, Muaz bin Jabal, dan Huzaifah bin al-Yaman. Lalu aku mempergunakan mereka di jalan Allah SWT.”

Nama-nama yang disebutkan Saidina Umar itu bukan manusia biasa-biasa tapi sangat luar biasa. Seperti Abu Ubaidah, seorang pemuda yang sebelum Islam tidak dikenali di Makkah. Setelah beriman kepada Allah SWT, dunia mengenali beliau sebagai panglima islam yang mengalahkan pasukan Rom.

Pembangunan modal insan memang memerlukan masa yang panjang bukan seperti merancang untuk mencantikkan struktur bangunan atau masjid. Itupun makan masa lama jika terdapat AJK masjid tidak memahami fungsi utama penggunaan duit yang disumbangkan oleh orang ramai ke tabung masjid.

Dengan berjayanya membina manusia yang tahu erti penggabungan mereka dengan adama Islam, pasti dakwah makin tersebar luas dan gerak kerja memartabatkan agama ini akan lebih berkesan.

Saya pernah menonton satu video yang mana ketika itu seorang ulama ditanya oleh seorang orang bukan Islam yang mahu masuk Islam, “bagaimana cara untuk saya kenal Islam ini?”

Ulama tersebut menjawab, “Kenali Islam dengan membaca Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Jangan kenal melalui orang Islam, kerana kamu akan melihat ciri-ciri yang boleh menyebabkan kamu kembali jauh dengan Islam semula.”

Saya merasai ya, ada benar apa yang diutarakan oleh ulama tersebut. Ia perlu diambil sebagai teguran, kerana kita adalah duta agama Islam.

Saya sendiri pernah ditanya,

“Apakah kita perlu berdakwah kepada orang bukan Islam terlebih dahulu atau mereka yang sudah Islam?”

Dan jawapan di bawah adalah jawapan peribadi saya,

“Berdakwahlah kepada mereka yang sudah Islam, kerana kelak dakwah kepada orang bukan Islam akan menjadi lebih mudah. Hal ini kerana, mereka akan lebih percaya apabila melihat seorang Muslim yang mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar-benarnya. Ketika itu, pasti lebih mudah untuk mereka rasa tertarik dengan keindahan agama Islam.”

Sebagai duta agama Islam, kita perlu tunjukkan cara hidup seorang Muslim yang baik kepada orang lain. Supaya mereka akan tertarik. Seperti orang ahli agama yang dikira membawa nama Islam tapi apabila melakukan satu keburukan, ramai orang akan mula bercakap dan mencemuh, “Harap sahaja ustaz tapi buat dosa yang tak disangka-sangka.”

Hakikatnya, kita semua adalah duta agama yang sentiasa perlu memelihara agama di dalam diri walau di mana sahaja berada. Saya sendiri berharap agar semakin ramai pemuda-pemuda yang memenuhi masjid-masjid yang ada, seterusnya memberi contoh yang baik kepada masyarakat setempat dan menjadi tonggak utama dalam melakukan pelbagai kebajikan yang ada.




No comments:

Powered by Blogger.