Ads Top

Kisah Eksklusif – Si Gadis Cina Yang Mencari Tuhannya

Ketika kecil, sebagai anak tunggal, gadis Cina ini ditumpangkan ke rumah jiran Muslim sewaktu ibu ayahnya bekerja. Setiap hari, menjelang waktu Maghrib, jirannya membaca Al-Quran dan dia pasti akan berada di sampingnya.

Fitrah kanak-kanak, ingin mencuba sesuatu yang baharu. Namun apakan daya, atas jurang agama, dia tidak mampu menyuarakan hasrat mahu mengenali huruf-huruf dalam kitab suci itu. Maka, naluri ingin mengenal Al-Quran itu terpendam dalam diri.

Dia tidak berpeluang untuk memasuki tadika. Di peringkat sekolah rendah, dia bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) yang rata-ratanya dipelopori pelajar Melayu. Sehingga menginjak ke peringkat menengah, dia masih lagi bersekolah di sekolah Melayu.

Pendek kata, jiwa Melayu dan suasana Islam itu sudah sebati dengan dirinya. Apa yang mengejutkan aku ialah, bila dia membuat satu pengakuan yang berbunyi, “Walaupun Cina, saya sendiri tidak berapa mahir membaca dan menulis Bahasa Cina”.

Bagaikan gegak gempita menghempas bumi, ibunya pergi meninggalkan dunia ketika umurnya 17 tahun. Tinggallah si anak tunggal ini dengan ayahnya untuk bermanja, berkongsi suka duka kehidupan bersama sehingga hari ini.

Dia mengambil keputusan untuk tidak sambung belajar kerana mahu terus bekerja. Sudah 11 tahun lamanya dia bekerja sejak tamat sekolah pada 2008. Dalam tempoh yang panjang ini juga, pelbagai cabaran dia lalui, termasuklah mengalami depresi kerana cinta yang tidak kesampaian.

Berkelilingkan suasana Melayu sejak kecil, aku perhatikan, laman media sosialnya banyak menggunakan Bahasa Melayu. Semasa aku menemubual dia pun, percakapan Bahasa Melayunya sempurna. Tiada pelat seperti kebanyakan Cina lain.

Sebenarnya, dia seorang penganut Buddha, namun akibat mahu mencari satu kebebasan, dia beralih haluan dan menjadi seorang Atheist sehingga kini. Ada beberapa kisah silam yang dia tidak mahu ceritakan. Mungkin ianya agak sensitif.

Pada 4 Julai lalu, genaplah umurnya 28 tahun. Masih lagi bekerja, masih lagi menjadi seorang anak, masih lagi mencari kerjaya yang baik, dan masih lagi mencari haluan hidup yang paling sempurna untuk dirinya sendiri. Ada sesuatu yang dia pendam lama selama ini.

Ingat lagi zaman kecilnya? Ingat lagi rutin hariannya apabila ditumpangkan ke rumah jiran setiap hari? Rupanya, dia menyimpan hasrat untuk belajar Al-Quran itu hingga ke hari ini. Itulah satu rahsia yang dia pendam selama 20 tahun!

Namun, bukan itu sahaja. Ketika usianya 20 tahun, dia suka beli dan baca buku-buku berkaitan Islam kerana minat untuk mengenali agama fitrah itu amat dalam, ditambah pula dengan keinginan mempelajari Al-Quran yang dipendamnya itu.

Pernah satu malam, dia didatangi mimpi pelik. Dalam mimpi itu, dia berada di satu tempat yang gelap. Tapi sebalik kegelapan itu, ada cahaya yang sangat terang. Ia bukan cahaya matahari, bukan juga cahaya lampu, tetapi cahaya yang sangat terang terpancar dari sebuah kitab Al-Quran!

Hinggalah hari ini, sudah menjadi tabiatnya bila keluar berjalan dengan kawan-kawan Melayu Islam, dia selalu ingatkan mereka untuk bersolat dan sanggup menunggu mereka hingga habis solat. Malah, dia akan memarahi kawan Islamnya jika bercakap kuat ketika azan dilaungkan!

Maha Suci Allah. Dari Buddha ke Atheist, rupanya gadis Cina ini sedang melangkah kembali mencari penciptaNya. Bukan omong kosong, dia kini amat menaruh harapan berdoa semoga hasratnya untuk berhijrah dimakbulkan.

Katanya, dia kini dalam usaha mengumpul duit untuk membeli kenderaan agar mudah bergerak ke mana-mana, termasuklah pergi menghadiri kelas agama untuk belajar. Aku percaya, Allah akan sampaikan juga dahinya untuk bersujud di atas sejadah satu hari nanti.

Marilah sama-sama kita doakan agar perjalanannya menuju fitrah dipermudahkan olehNya. Itulah kisah perkongsian si gadis Cina yang ingin menjadi seseorang yang baharu apabila berhijrah kelak dengan ama; Humaira Abdullah.




No comments:

Powered by Blogger.