Ads Top

Inilah 10 Sifat Mahmudah (Siri 2)

Bertemu kembali dalam siri kedua. Masih lagi terdapat 6 sifat mahmudah yang belum sempat dihuraikan dalam artikel yang pertama. Tanpa membuang masa mari kita kenali 6 sifat mahmudah itu.

#5- Syukur

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memperingatkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), pasti azab-Ku sangat pedih.”Surah Ibrahim 14:7

Bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T adalah satu sifat yang terpuji dan dikasihi oleh Allah S.W.T. Allah memberi ganjaran pahala kepada mereka yang bersyukur. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu dan Kami pula akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.”Surah Ali-Imran 3:145

Bersyukur bukan sahaja di bibir, bahkan ia juga melalui perbuatan dan juga hati. Boleh rujuk untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sifat syukur ini melalui artikel yang telah dikupas oleh penulis iaitu ‘Bersyukurlah dengan nikmat dari Tuhanmu’. Semoga ada manfaatnya.

#6- Ikhlas

Ikhlas boleh diertikan melakukan sesuatu perkara atau amalan semata-mata kerana Allah S.W.T. Bukan kerana inginkan pujian manusia. Bukan kerana kehendak nafsu sendiri. Bukan kerana mahukan pangkat dan harta. Daripada Abu Hurairah R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kalian dan tidak pula kepada rupa bentuk kalian. Akan tetapi, Dia melihat kepada (keikhlasan) hati kalian.”Hadis Riwayat Muslim

Orang beribadah janganlah melakukan ibadah kerana manusia. Ia adalah satu perkara yang amat merugikan kita. Tetapkan hati kita dan ingatlah hanya Allah S.W.T yang mampu membalas segala perbuatan kita. Manusia pula hanyalah makhluk dan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menerima ibadah kita di akhirat kelak.

#7- Tawakal

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan hanya kepada Allah sahajalah orang-orang beriman itu perlu bertawakal.”Surah Ali Imran 3:122

Tawakal ialah meletakkan pergantungan hanya kepada Allah SWT. Bergantung kepada Allah bukan harus meninggalkan usaha. Tetapi kita juga perlu berusaha dan hanya kepada Allah tempat kita berserah segalaNya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”Surah ath-Talaq 65:3

Orang yang bertawakal kepada Allah adalah orang yang tenang. Jika usahanya tidak mendapat hasil, dia percaya pasti ada hikmah Allah tidak memberi kejayaan kepada usahanya itu. Tidak sekali-kali ada rasa kecewa kerana setiap yang terjadi pasti ada kebaikannya yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

#8- Kasih Kepada Allah

Kasih kepada Allah SWT adalah antara sifat terpuji dan mulia. Kasih kepada Allah SWT adalah bukti keimanan kita kepadaNya. Adakah kita benar-benar beriman atau sekadar berkata-kata sahaja?

Kasih kepada Allah dan RasulNya amatlah dituntut dan perlu disemai di dalam hati. Mengasihi Rasulullah bererti mengasihi Allah S.W.T. Oleh itu, mengasihi Allah SWT dan Rasulullah perlulah lebih tinggi dan mengatasi daripada mengasihi perkara-perkara yang lain. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika kalian (benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah saya. Nescaya Allah mengasihi dan mengampuni (dosa-dosa) kalian, dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun Lagi Maha Merahmati.”Surah Ali Imran 3:31

Kasih kepada Allah akan membawa kita ke syurga. Kasih kepadaNya tidak akan berakhir dengan kerugian tetapi ia membawa banyak kebaikan dan keberkatan dalam kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

#9- Reda Dengan Qadar Allah S.W.T

Reda kepada ketentuan Allah adalah satu sifat yang terpuji. Setiap yang berlaku akan diterimanya dengan hati yang terbuka.

Orang yang reda tidak akan pernah menyalahkan Tuhan jika sesuatu perkara buruk yang terjadi kepadanya. Keredaan yang tinggi kepada Allah S.W.T membuatkan jiwa mereka kuat untuk menghadapinya.

Ibaratnya mudah, seperti kita memakan ubat. Ubat rasanya pahit dan kelat. Namun, walaupun rasanya pahit, ia dapat membantu mengurangkan dan menyembuhkan penyakit kita.

Begitulah dengan setiap perkara buruk yang berlaku, pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin hadirnya untuk menghapus dosa kita dan mengangkat darjat kita.

#10- Mengingati Mati

Orang yang mengingati mati akan sentiasa bersedia dan menyiapkan bekalan sebelum kematian menghampirinya. Orang yang mengingati mati tergolong sebagai orang yang bijak kerana mereka tidak mensia-siakan waktu yang sedikit ini untuk melakukan perbuatan yang hanya merugikan mereka pada hari akhirat nanti.

Mengingati mati bukan sifat yang khusus untuk orang digelar warga emas sahaja tetapi sifat mengingati mati perlulah turut ada kepada orang muda.

Boleh mengetahui lebih lanjut mengenai sifat mengingati mati melalui artikel-artikel di tzkrh.net. Ada banyak topik mengenai kematian yang telah dikupas oleh penulis-penulis lain tzkrh.net di sini.

Kesimpulannya, bersifat mahmudah menjadi satu perhiasan yang indah bagi sesiapa yang memilikinya. Sifat yang akan membuatkan jiwa-jiwa yang memilikinya menjadi tenang dan tenteram. Dan tiada balasan yang selayaknya bagi mereka kecuali dengan balasan syurga. Waallahua’lam.

Rujukan:

1. Indahnya Hidup Bersyariat
2. Al-Quran Dan Terjemahan
3. Menyingkap Tirai Syukur (Penulis: Faizal Mohamad Twon Tawi)
4. Ringkasan Riyahdus Sholihin
5. Penawar Hati




No comments:

Powered by Blogger.