Ads Top

Filem Sangkar – Kemenangan Yang Hakiki Apabila Tuhan Di Hati

Sebuah filem terbaru karya Kabir Bhatia, iaitu Sangkar yang telah mula ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei mendapat sambutan yang hangat dan rata-ratanya memberi komen yang positif.

Filem Sangkar telah dibintangi oleh dua watak utama, iaitu Zul Arifin dan Remy Ishak ini tidak dapat disangkal lagi kehebatan mereka dalam menerajui karya ini.

Rata-rata yang mengikuti industri perfileman tanah air juga mengetahui bahawa karya-karya yang dihasilkan oleh Kabir Bhatia bukanlah calang-calang. Kualiti dan juga mutu yang dihasilkan amatlah berbaloi serta bermanfaat untuk ditonton kerana mesej dan pengajaran yang dibawakan mempunyai seribu satu iktibar dari setiap sudut yang cuba diketengahkan.

Filem ini mengisahkan watak utama, iaitu Adam dan Johan yang merupakan atlet Mix Martial Arts (MMA) dan bertarung di dalam sangkar pada setiap kali perlawanan.

Namun, disebabkan oleh sikap Adam yang tidak berpuas hati dan merasakan dirinya hebat, dia mencabar Johan untuk menguji kehebatan dan kekuatan masing-masing di luar sangkar.

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh kesilapan dan keegoan diri sendiri yang terlalu didorong oleh nafsu, akhirnya Johan mengalami kecederaan yang sangat parah dan peristiwa itu menimbulkan perasaan bersalah dalam diri Adam sehingga beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk menebus semula kesalahannya.

Kabir Bhatia yang pernah menyandang anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin 2018, sekali lagi mampu membawa fenomena baharu dalam unsur ketuhanan yang dibawakannya.

Filem ini sesuai untuk mereka yang merasakan diri sudah lagi tidak punya peluang untuk mengecapi keampunanNya akibat dosa yang dilakukan atau merasakan tuhan sudah mengabaikan dirinya.

Jalan cerita yang ditunjukkan membuktikan bahawa, walau jauh mana seseorang insan itu dari tuhannya, namun Allah tidak pernah melupakannya.

Malah, Allah sentiasa hadirkan asbab untuk seseorang itu kembali kepadaNya sama ada dengan menghantar orang yang baik-baik untuk mengingatkan kita kepadaNya atau memberikan ujian yang mampu mendekatkan kita kepadaNya.

Semuanya itu cukup untuk menunjukkan bahawa Allah tidak pernah lupa kepada hambaNya dan Allah tidak pernah membiarkan hambaNya terkapai-kapai mencari hidayahNya sendiri atau sesat di jalan yang tidak diredaiNya.

Namun, pada akhirnya, ia bergantung kepada diri kita sendiri sama ada untuk menerimanya dengan hati yang terbuka atau membiarkan hikmahNya terpampang luas di depan mata tanpa menghiraukannya.

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

Mafhum: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (Surah Al-Baqarah, 2:286)

Setiap Manusia Pernah Melakukan Kesalahan

Jangan pernah menganggap diri anda sempurna akan setiap perkara yang dilakukan kerana tiada manusia yang sentiasa betul dan tiada pula manusia yang sentiasa salah dalam hidupnya.

Saat anda merasakan anda sempurna, ingatlah kesalahan yang anda lakukan, ingatlah kebaikan yang orang lain berikan kepada anda, kerana semua itu adalah bukti kebaikan yang anda lakukan itu hanyalah sedikit dan ramai lagi yang lagi baik dari anda.

Dan saat anda melihat golongan yang melakukan dosa, jangan pula pandang rendah kepada mereka seolah-olah mereka tiada masa depan yang cerah, kerana kita tidak tahu mungkin suatu hari nanti mereka mampu jadi lebih baik dari diri kita.

Mungkin anda pernah mendengar kata-kata yang menyebut – Merasakan diri anda sempurna dan tanpa mempunyai apa-apa kesalahan itu suatu penyakit dan ia juga boleh mengundang kepada dosa.

Hal ini kerana, dengan perasaan yang wujud itu sebenarnya mampu menimbulkan rasa riak terhadap amalan yang dilakukan sehingga merasakan diri sendiri tiada kesalahan dan dosa.

Melalui filem ini, kita dapat lihat watak Johan yang sukar untuk memaafkan Adam di atas perbuatannya yang telah mencederakan dirinya tanpa menyedari sebab di sebalik kelakuan Adam adalah kerana dirinya sendiri.

Disebabkan itu, di sebalik persoalan yang muncul dalam minda anda, lakukanlah muhasabah dan fikir mengapa ia terjadi. Mungkin, anda akan jumpa jawapannya melalui perlakuan diri anda sendiri.

وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ

Mafhum: “Dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah ia sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).” (Surah Al-Hashr, 59:18)

Genggam Akhirat Nescaya Dunia Turut Menyusul

Penulis suka untuk menghuraikan watak Johan yang sentiasa berpegang kepada Allah dalam setiap perkara yang dilakukannya.

Jika beroleh kemenangan, dia akan berbalik kepada Allah dan jika beroleh kekalahan juga akan kembali kepadaNya.

Pendek kata, dalam setiap urusan yang dilakukannya adalah kerana Allah, baik sebelum mahupun selepas. Yang paling penting, dia cuba berusaha untuk reda dengan setiap perkara yang didapatinya.

Hal ini kerana, dia percaya bahawa yang menguasai dunia ini adalah Allah dan yang mengawalnya juga adalah Allah. Maka, pergantungan yang diletakkannya hanya kepadaNya.

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

Mafhum: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah As-Syura, 42:20)

Justeru, kemenangan yang hakiki adalah apabila anda menggenggam akhirat di hati, nescaya dunia akan menyusul.

Kesimpulan

Buat mereka yang mencari-cari erti sebenar kehidupan dan bukti Allah tetap menyayangi hambaNya walau apa jua perlakuan dan dosa yang dilakukan, maka filem ini merupakan antara yang wajar ditonton.

Tontonlah dengan mata hati supaya anda jumpa apa mesej tersirat yang disampaikan.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.