Fieya, Kucaimars Percaya Rezeki Lebih Luas Lepas Tersingkir Big Stage
Biarpun impian mereka untuk berada di pentas final Big Stage 2019 tidak kesampaian, namun Fieya Julia dan Kucaimars tetap positif dan menganggap rezeki selepas ini lebih terbuka luas di luar sana.
Fieya atau nama lengkapnya, Nur Syafiyah Sejali, 20, sebelum ini hampir tersingkir pada minggu keempat, sebelum diselamatkan oleh juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang telah menggunakan kelebihan imuniti yang dimilikinya.
Mengakui agak ralat kerana tidak dapat memberikan persembahan terbaik sehingga final, bakat muda dari Sarawak itu berkata, dia turut dibelenggu masalah kesihatan sejak beberapa minggu lalu, sekali gus menyebabkan keadaan suaranya kurang baik.
“Saya pun tak tahu kenapa kerap tak sihat. Bila jumpa doktor, mereka maklumkan saya tidak mendapat rehat yang cukup. Mungkin ada benarnya sebab dari Isnin hingga Khamis, saya banyak buat latihan vokal.
“Mungkin ada juga silap saya di situ dan berada di minggu separuh akhir ini pun sudah cukup bermakna buat saya kerana saya tidak pernah menyangka akan sampai ke tahap ini.
“Apa pun saya ambil positif komen setiap juri dan pastinya saya akan merindu nasihat dari TokTi (Siti) dan kawan-kawan yang lain selepas ini,” katanya yang ditemui KopiPlanet.com selepas berakhir program berkenaan di Shah Alam, semalam.
Sementara itu bagi Kucaimars atau nama sebenar, Amirul Husyairi, 22, dia seakan sudah menjangkakan akan tersingkir pada minggu separuh akhir. Malah sempat meninggalkan nota ringkas di Instagram agar peminatnya dapat menerima dengan hati yang terbuka andai dia tersingkir, beberapa jam sebelum konsert separuh akhir berlangsung.
Malah penyingkiran itu mengakhiri dilema yang dihadapinya apabila sudah terikat dengan sebuah persembahan yang telah dipersetujui sebelum dia menyertai program Big Stage 2019.
“Sejak beberapa minggu lalu, saya agak bimbang memikirkan bagaimana saya mahu menghadiri sebuah show yang berlangsung di Perak, di mana saya sudah bersetuju menyertai sebelum menyertai Big Stage.
“Jadi bila dah tersingkir, saya rasa lega kerana boleh membuat persembahan dengan tenang dan seperti yang saya katakan, mungkin rezeki kami sudah tertulis di luar sana,” katanya.
Ditanya perancangan mereka selepas ini, baik Fieya mahupun Kucaimars, sama-sama mahu mempromosikan single terbaharu mereka yang sudah dilancarkan dan sepatutnya dipersembahkan di pentas akhir Ahad depan.
Fieya tampil dengan lagu Jangan Gila, lirik oleh Kelinci dan Apit selaku komposer. Manakala Kucaimars mempertaruhkan Khayalan, lagu dan lirik ciptaan Romeo bersama Ezra Kong.
Konsert final Big Stage 2019 akan diwarnai dengan persembahan lima finalis iaitu Neeta, Adzrin, Irfan Haris serta bintang dari Korea Selatan dan Indonesia, Han Byul dan Dinda Permata.
Program yang menggunakan tagline ‘Dominasi BBNU’ itu dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad. Big Stage 2019 disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam. – KopiPlanet.com
The post Fieya, Kucaimars Percaya Rezeki Lebih Luas Lepas Tersingkir Big Stage appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: