Antara Kepercayaan Khurafat Orang Arab Jahiliah Terhadap Bulan Safar
Safar yang berasal daripada Bahasa Arab membawa maksud kosong. Namun, dalam Islam terdapat sebuah bulan yang dinamakan sebagai Safar, iaitu bulan kedua selepas Muharram.
Safar bermaksud bulan yang diharamkan untuk berperang pada pandangan masyarakat Arab Jahiliah terdahulu. Menurut kepercayaan mereka, bulan ini mampu memberi nasib yang tidak baik kepada diri sendiri. Oleh sebab itu, mereka tidak akan melakukan perkara yang besar pada bulan ini seperti peperangan mahupun pernikahan.
Dalam Islam, ia termasuk perbuatan tathayur, iaitu syirik terhadap Allah. Mempercayai sesuatu yang boleh mengakibatkan keburukan atau kebaikan adalah kepercayaan terhadap nasib, sedangkan Islam hanya menyuruh umatnya percaya hanya kepadaNya.
Antara kepercayaan karut yang telah diamalkan oleh mereka ialah, sebelum bermusafir, mereka akan meminta petunjuk dengan melepaskan burung di angkasa.
Jika burung tersebut terbang ke kanan, maka mereka akan memulakan perjalanan dengan hati yang gembira kerana menganggap akan munculnya tuah sepanjang perjalanan tersebut.
Walau bagaimanapun, jika burung tersebut terbang ke kiri atau belakang, maka mereka akan melupakan hasrat untuk bermusafir kerana menganggap akan munculnya perkara buruk jika ia diteruskan.
Sama ada bulan, hari atau benda – mereka tiada kuasa untuk memberi kebaikan atau keburukan, sebaliknya hanya Allah yang Maha Berkuasa terhadap sesuatu.
Apabila datangnya Baginda yang membawa ajaran Islam, kepercayaan karut ini ditolak mentah-mentah kerana ia merupakan salah satu perbuatan syirik dan dosa besar terhadap Allah.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
Maksud: “Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda; “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu?” Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan; Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan melainkan yang telah Engkau takdirkan dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 6748)
Bagaimana Melayu Mempercayai Safar
Walau bagaimanapun, kita melihat bukan hanya di negara Arab Jahiliah yang mengamalkan kepercayaan ini, namun juga dalam masyarakat Melayu kita sendiri.
Walaupun perkara ini sudah agak lama dan jarang diamalkan oleh masyarakat Melayu moden, namun masih ada segelintir kumpulan kecil yang masih mengamalkannya.
Antaranya ialah mandi pada bulan safar dengan kepercayaan bahawa ia boleh menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu sekali gus menolak perkara buruk daripada tertimpa ke atas diri sendiri.
Selalunya, mereka akan berarak menuju ke destinasi terpilih seperti sungai sambil membaca alunan jampi serapah atau nyanyian. Amalan ini asalnya daripada budaya kaum Hindu dan diikuti oleh masyarakat terdahulu.
Bagi kepercayaan masyarakat Sabah pula, kepercayaan mereka ialah terhadap bayi yang baru lahir pada bulan tersebut akan membawa nasib malang yang sentiasa melekat padanya. Mereka akan melakukan upacara tersendiri untuk membuang nasib buruk itu pada waktu-waktu tertentu.
Maksud: “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” (Hadis Riwayat Bukhari, no.2697)
Kesimpulan
Walaupun amalan khurafat ini telah dilupakan dek arus kemodenan masing-masing, namun masih terdapat lagi segelintir kumpulan atau kelompok yang mengamalkannya.
Ia adalah perbuatan yang tercela dan menjadi tugas semua untuk membasminya sehingga ke akar umbi. Perihal kebaikan atau keburukan yang datang menempel bukanlah berdasarkan bulan atau hari mahupun haiwan itu sendiri, namun adalah kekuasaan Allah sendiri.
Wallahu a’lam.
No comments: