Ads Top

Mengembaralah Dengan Mata Hati

‘Travel’ dan manusia, satu gaya hidup yang tidak asing lagi di kalangan kita. Tidak kiralah sama ada melancong di dalam mahupun di luar negara.

Sudah menjadi ‘trend’ bagi manusia yang sentiasa mencari peluang untuk mengembara. Malah, ada yang tidak pernah lokek dengan ilmu dan sudi untuk berkongsi mengenai tips dan pengalaman mereka mengembara sama ada melalui Twitter, Facebook dan juga Instagram.

Maksud yang paling tepat untuk istilah ‘travel’ ialah mengembara. Mengapa demikian, sedangkan melancong juga merupakan antara makna yang dilafazkan.

Kita semua adalah pengembara di muka bumi Allah ini. Mengembara untuk mencari hikmahNya. Mengembara untuk melihat keindahan dan mengembara untuk kembali kepadaNya.

Istilah melancong hanya sekadar membawa maksud bersuka-ria untuk melihat keindahan alam ini di samping melepaskan lelah dengan kehidupan kita. Namun, dengan mengembara, kita bukan sekadar dapat melepaskan tekanan, namun di samping dapat mendekatkan diri kita denganNya.

Islam amat menggalakkan umatNya untuk mengembara melihat alam ini. Mengembara tidak perlu tunggu banyak wang atau dilakukan apabila kaya sahaja.

Namun, jika punya masa dan tiada kekangan, ia boleh dilakukan pada tempat-tempat yang bersesuaian dengan bajet, asalkan tidak menimbulkan kesusahan kepada diri sendiri.

Kerana, setiap yang berada di sekeliling kita merupakan suatu pengembaraan.

Mengembaralah setiap kali anda merasakan diri anda sudah terlalu jauh denganNya. Setiap kali anda merasa penat dengan tekanan hidup dan setiap kali anda merasakan bahawa anda sedang memerlukan semangat dan motivasi baru dalam hidup.

#1 – Untuk Menghargai NikmatNya

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Mafhum: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka, hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).” (Surah Al-Mulk, 67:15)

#2 – Sebagai Tanda KemurahanNya

أَلَمْ تَرَ أَنَّ الْفُلْكَ تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِنِعْمَتِ اللَّـهِ لِيُرِيَكُم مِّنْ آيَاتِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

Mafhum: “Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.” (Surah Luqman, 31:31)

#3 – Untuk Peringatan

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِم مِّنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ ۗ أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۗ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ اتَّقَوْا ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Mafhum: “Dan tiadalah Kami mengutus Rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang Kami wahyukan kepada mereka. Maka, mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah), sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?” (Surah Yusuf, 12:109)

#4 – Untuk Melihat Sejarah Terdahulu

قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلُ ۚ كَانَ أَكْثَرُهُم مُّشْرِكِينَ

Mafhum: “Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan): kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik.” (Surah Ar-Rum, 30:42)

Kesimpulan

Jika anda punya waktu, mengembaralah dan ambil iktibar di atas setiap perkara yang telah diciptakan. Mengembara itu bukan setakat memerlukan masa dan wang yang stabil, malah juga memerlukan mata hati untuk melihat apa yang tersirat.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.