Ads Top

Cinta Itu Fitrah Yang Perlu Dipandu Dengan Ilmu

‘Cinta itu fitrah.’

Mungkin anda pernah dimomokkan dengan perkataan dan ayat ini. Ia adalah salah satu bukti dan tanda kebesaranNya yang telah diletakkan ke dalam setiap hati dan jiwa yang bernyawa.

Cinta dan kasih sayang itu boleh berada dalam hati setiap makhluk, sama ada manusia mahupun haiwan.

Malah, cinta juga boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, sama ada cinta antara manusia dan manusia, antara manusia kepada haiwan, antara manusia kepada tanah air dan sebagainya.

Soal cinta ini cukup luas dan umum serta pasti semua manusia percaya dan menyedari akan hakikatnya.

Jika tiada perasaan kasih sayang dan cinta dalam diri, masakan kita boleh hidup aman damai kerana hakikat utama cita itu adalah menenangkan.

Namun, kadang-kadang ia akan berada di luar kawalan apabila didasari oleh nafsu dan tidak dikawal dengan ilmu.

Nafsu itu fitrah, sama juga dengan cinta. Keduanya adalah saling berkait kerana di tengahnya adalah ilmu.

Ilmu yang akan memandu jiwa-jiwa setiap insan ke arah yang lebih baik dan mencintai seadanya.

“Boleh jadi apa yang kamu suka itu adalah tidak baik buat kamu dan boleh jadi apa yang kamu benci itu adalah yang terbaik buat kamu.”

Disebabkan itu, kita sering dengar; mencintai itu biar berpada-pada dan membenci itu jangan melebih-lebih, kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui rahsia alam ini.

Tidak salah untuk mencinta dan dicintai. Si ibu yang menyayangi anaknya, si suami yang mencintai isterinya, si askar yang mengasihi negaranya dan banyak lagi perkara cinta yang merupakan bukti bahawa ia bukan hanya untuk lelaki dan perempuan yang saling berkasih, namun ia bersifat umum.

Malah, kita hidup hari ini juga adalah berdasarkan cinta dan kasihNya kepada kita dan suatu hari nanti kita akan meninggalkan dunia ini juga kerana bukti cintaNya.

Itu semua merupakan tanda kebesaranNya kepada makhluk untuk kita sentiasa mengingati bahawa Allah itu Maha Esa dan Maha Mengasihi.

#1 – Untuk Manusia Bertaqwa

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Mafhum: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisa, 4:1)

#2 – Sebagai Nikmat Kepada HambaNya

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذَٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَاللَّـهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

Mafhum: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Al-Imran, 3:14)

#3 – Sebagai Hak Kepada Manusia

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّـهُ مِن فَضْلِهِ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Mafhum: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nur, 24:32)

#4 – Fitrah yang DianugerahkanNya

عَسَى اللَّـهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً ۚ وَاللَّـهُ قَدِيرٌ ۚ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Mafhum: “Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Pengasihani.” (Surah Al-Mumtahina, 60:7)

#5 – Sebagai Rahmat Kepada Yang Soleh

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَـٰنُ وُدًّا

Mafhum: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatNya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.” (Surah Maryam, 19:96)

#6 – Untuk Manusia Berfikir KebesaranNya

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Mafhum: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang dengan hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Rum, 30: 21)

Kesimpulan

Tidak salah dan tidak berdosa untuk bercinta kerana ia bukti hati dan jiwa kita masih hidup. Dengan cinta yang berpandukan keimanan dan ilmu yang betul, ia tidak akan diusik oleh nafsu.

Cintailah dengan sepenuh hati tetapi jangan sehingga memakan diri. Cintailah untuk melembutkan hati-hati yang lupa kepadaNya kerana cinta merupakan salah satu bukti dan kuasaNya yang sangat ajaib.




No comments:

Powered by Blogger.