Filem Parasite – Mengapa Hidup Anda Tidak Bergerak Seperti Yang Dirancang
Kemiskinan dan sosioekonomi merupakan antara aspek dan tema yang dimainkan oleh sebuah filem terbaharu Korea yang berjudul Parasite selain daripada nilai hidup berkeluarga yang saling menyokong antara satu sama lain.
Filem yang telah diarahkan oleh Bong Joon-Ho ini telah mula ditayangkan di Malaysia sejak 15 Ogos lalu dan telah meninggalkan impak yang sangat besar kepada rata-rata penonton.
Filem ini mengisahkan mengenai sebuah keluarga yang kurang berkemampuan, terdiri daripada si ayah, ibu, anak lelaki dan juga anak perempuan yang menanggung kehidupan dengan mengambil upah membuat kerja-kerja ringan seperti melipat kotak pizza.
Anak lelaki tersebut telah mendapat tawaran kerja yang sangat lumayan dengan sebuah keluarga orang kaya sebagai tutor dan ceritanya menjadi semakin menarik apabila mereka menjalankan strategi yang cukup hebat dan unik bagi membolehkan semua ahli keluarganya mempunyai pekerjaan yang stabil seiring dengan konflik yang berlaku.
Walau bagaimanapun, jalan ceritanya mampu menarik perhatian penonton kerana helah dan cara yang digunakan untuk berjaya adalah sangat unik dan berbeza sehingga rata-rata penonton mengatakan bahawa ia adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka.
Kebanyakan yang menyaksikan filem ini memberi komen yang positif dan mengatakan bahawa ia filem yang wajar ditonton walaupun ia telah lama ditayangkan di Korea dan juga beberapa negara sejak Mei lalu.
Untuk entri kali ini, kami tidak ingin menghurai atau mengulas mengenai taraf ekonomi atau peranan sesiapa sahaja dalam membantu golongan ini, namun kami melihatnya dari sudut realiti kehidupan yang berjalan seiring dengan usaha yang ditonjolkan oleh manusia itu sendiri.
Setiap yang berlaku di dalam dunia ini merupakan aturan daripada Allah. Namun, sebagai manusia, kita diberi tugas untuk merancang bagi menjalani kehidupan ini dengan baik.
Sama ada perancangan itu berjalan atau tidak seiring dengan apa yang dirancang, itu merupakan persoalan yang kedua, yang paling utama ialah tanggungjawab untuk merancang kehidupan.
Mungkin anda pernah mendengar takrif kehidupan berdasarkan sebuah kata-kata hikmat, iaitu – “Kita hanya mampu merancang, namun hanya Allah yang menentukan.”
Maksud di sebaliknya adalah sangat mendalam dan perlu diambil kira sebagai salah satu aspek untuk mencapai kejayaan.
Para ahli mengatakan bahawa maksud di sebalik perkataan tersebut ialah, hidup ini merupakan tanggungjawab anda sendiri. Setiap usaha perlu diletakkan untuk menjalaninya dengan penuh hemah, sama ada berjaya atau tidak, itu merupakan persoalan yang kedua.
Allah meletakkan kita di muka bumi adalah sebagai khalifahNya dengan sebaik-baik penciptaan akal untuk kita berfikir supaya kita boleh menjalani ujian hidup ini dengan kuat.
Oleh itu, setiap sesuatu mempunyai perancangan yang kukuh. Walau bagaimanapun, jika ia tidak terjadi sesuai dengan apa yang dirancang, jangan bersedih mahupun berputus asa kerana ia adalah ujian yang perlu diterima oleh diri anda.
Allah Maha Mengetahui setiap apa yang terbaik untuk anda. Kadang-kadang, kita merasakan apa yang kita mahukan itu adalah yang terbaik, namun Allah tahu ia bukan.
Sebagai contoh, anda telah berusaha keras untuk memohon kerja di sebuah syarikat terkemuka di Malaysia, namun rezeki tidak menyebelahi anda.
Siapa sahaja yang tidak kecewa dengan kegagalan tersebut, tetapi Allah lebih tahu mengapa anda tidak ditempatkan di situ.
Mungkin Allah ‘menyimpan’ anda untuk syarikat yang lebih baik berdasarkan kelulusan yang anda dapat dengan kerja dan gaji yang setimpal. Perancangan Tuhan, tiada siapa yang tahu.
Namun, para ulama’ mengingatkan kita untuk tidak berburuk sangka dengan perancanganNya kerana ia adalah yang terbaik untuk menguatkan mental dan fizikal anda.
Melalui babak akhir filem ini, kami dapat melihat bahawa, sehebat mana pun perancangan yang anda lakukan, namun untuk menarik dan meletakkan anda ke jalan yang lebih baik, Allah menukar sedikit jalan hidup anda kepada perancanganNya.
Mungkin pada awal kehidupan, kita merasakan Allah meredai jalan hidup yang kita pilih kerana ia berjalan dengan lancar. Disebabkan itu juga, mungkin kita sedikit jauh denganNya dan akhirnya sebelum kita betul-betul terbang lebih tinggi mencakar langit, Tuhan menarik semula sebelah sayap anda agar anda sedar bahawa anda masih punya kaki yang perlu berpijak pada bumi.
Itulah perumpamaan kehidupan, merancang itu sesuatu yang penting, namun berpijak di bumi yang nyata dengan perancangan yang mampu mendekatkan diri kita kepadaNya adalah sesuatu yang lebih utama.
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Mafhum: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan): dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah Al-Ankabut, 29:69)
Wallahu a’lam.
No comments: