Belajar Kekuatan Kehidupan Dari Analogi Sebatang Pohon
Jika anda seorang yang sukakan alam, pasti anda dapat melihat bagaimana hidup dan berkembangnya sebatang pohon dengan baik sehingga daunnya ada yang menjalar atau tumbuh dengan lebat.
Ada pohon yang membesar dengan gah dan besarnya, ada juga yang hanya renek namun mampu menghasilkan buah yang banyak dan cukup untuk dijadikan rezeki manusia malah ada juga yang daunnya kering-kontang tetapi masih mampu berdiri teguh kerana akarnya yang kuat.
Namun, apa yang dapat kita lihat melalui pokok ialah, ia mempunyai tiga rumpun utama, iaitu dahan, akar dan juga buah.
Kita ambil sebatang pokok yang mungkin sedang bermain di minda anda sekarang yang sedang membaca entri kali ini.
#1 – Dahan
Ia mempunyai dahan yang cukup kuat dan banyak sehingga padanya terhasil daun-daun yang cukup sesuai untuk dijadikan tempat berteduh jika anda sedang berkelah. Dahan tersebut pada awalnya tumbuh sedikit demi sedikit, tidak terlalu tergesa-gesa dan apabila sampai masanya, ia tumbuh menjadi banyak sehingga membentuk dedaun.
Sama juga dengan kehidupan kita sebagai manusia. Kita akan melalui proses bermula dari bawah sehingga akhirnya kita akan mencapai satu tahap yang penting dalam hidup. Sebelum mencapai kepada tahap tersebut, kita akan melalui pelbagai proses kecil lain untuk membentuk siapa diri kita pada hari ini atau masa depan anda.
Segalanya tidak terjadi dalam sekelip mata, namun berperingkat. Oleh itu, dalam hidup ini, kita perlu bersabar untuk melalui proses pembesaran. Jika umur kita masih muda, maka gunakanlah masa muda tersebut dengan baik seperti untuk belajar dan mencari erti hidup. Apabila sudah sampai masanya, jika sudah bersedia untuk melaksanakan perkahwinan, maka lakukanlah ia.
Hal ini kerana, Allah meletakkan setiap sesuatu ke atas diri kita berdasarkan tahap kemampuan dan kesediaan yang ada dalam diri kita sendiri.
#2 – Akar
Seterusnya kita melihat akar sebagai salah satu tunjang utama dalam pertumbuhan pohon. Jika baik dan sihat akar tersebut, maka ia akan tumbuh dengan elok dan memberikan hasil dan manfaat kepada semua.
Tanpa akar yang sihat, maka pohon tersebut akan terbantut pertumbuhannya atau ia akan menjadi mati.
Begitu juga dengan manusia. Akar dan asas dalam diri kita ialah akidah dan kepercayaan yang datangnya dari hati. Jika elok akidah yang ditanam, maka ia menunjukkan hati yang baik dengan perbuatan dan adab yang elok.
Jika kepercayaannya kepada Allah itu kuat dan yakin, maka tiada apa yang dapat menggugat keimanannya malah ia akan mampu menjadi seperti salah satu pohon yang membantu mengekalkan keseimbangan bumi.
#3 – Buah
Tidak semua pohon mempunyai buah. Namun, kita tahu bahawa bagi pohon yang berbuah, ia akan jatuh dari pohon apabila bergoyang ditiup angin atau apabila ada yang mengacaunya seperti melemparkan batu dan sebagainya.
Walaupun ia dilemparkan dengan batu atau dijolok dengan galah, namun yang akan dijatuhkan ialah buah.
Begitulah perumpamaan yang perlu dijadikan iktibar oleh manusia. Walau menerima pelbagai tohmahan atau sikap negatif, namun kita harus bersabar dan cuba untuk melemparkan buah keimananan dalam diri kita, sama ada dengan senyuman atau perbuatan baik yang lain.
Seperti kata-kata yang sering kita dengar – Berbuat baik dibalas baik, berbuat jahat pun dibalas baik.
Hal ini kerana, yang layak membalas setiap perbuatan dalam dunia ini hanyalah Allah, tuhan Sekalian Alam sebagaimana pesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya yang berbunyi:
“Wahai anakku, hendaklah kamu ingat akan kebaikan orang dan lupakan kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang lain.”
Kesimpulan
Banyak lagi yang anda boleh belajar dari sebatang pohon atau alam ini kerana tuhan tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia namun bersebab dan sebagai sebaik-baik pengajaran buat kita semua.
Wallahu a’lam.
No comments: