Fazura Nampak Kelibat Pontianak Sebenar Ketika Jalani Penggambaran Filem
Memegang watak utama sebagai pontianak menerusi filem Dendam Pontianak, pelakon Nur Fazura Sharifuddin, 36, berkongsikan pengalaman mistik yang dilaluinya ketika menjalani penggambaran filem itu dua tahun lalu.
Menurut Fazura, dia dan beberapa orang krew produksi ternampak kelibat wanita berambut panjang ketika mereka berada di set lakonan pada jam 3 pagi.
“Saya ingat lagi kejadian itu di mana kami sedang berehat sebentar daripada penggambaran dan pada ketika itu jam 3 pagi, saya dan krew di situ nampak kelibat seorang wanita berpakaian menyerupai saya yang pada ketika itu pakai kebaya putih.
“Cuma yang lainnya rambutnya mengurai ke hadapan dan tak nampak muka. Kami semua buat tak tahu sahaja. Mungkinlah dia saja datang ‘melawat’ tengok saya berlakon jadi dirinya,” kata Fazura berseloroh ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis sidang media Dendam Pontianak yang diadakan di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Fazura, dia bersyukur tidak mengalami sebarang insiden menakutkan selepas berhadapan situasi sebegitu malah suaminya, Fattah Amin turut berpesan agar dirinya sentiasa mengamalkan bacaan ayat Kursi sebagai pelindung diri.
“Mujurlah ketika balik rumah tak ada perkara aneh yang berlaku malah suami turut pesan supaya baca ayat Kursi sebelum masuk rumah.
“Alhamdulilah semuanya okay sahaja dan perasaan seram itu tidak terbawa-bawa ke rumah,” katanya lagi.
Dendam Pontianak merupakan arahan Glen Goei dan Gavin Yap yang menjalani penggambaran dua tahun lalu. Filem terbitan Tiger Tiger Pictures itu turut dibintangi Remy Ishak, Shenty Feliziana, Hisyam Hamid, Namron dan Nadia Aqilah.
Ia diedarkan Primeworks Studios dan bakal memulakan tayangan pada 12 September ini. – KopiPlanet.com
The post Fazura Nampak Kelibat Pontianak Sebenar Ketika Jalani Penggambaran Filem appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: