Sedar Ada Najis Pada Pakaian Setelah Selesai Solat – Adakah Solat Perlu Diulang
Antara syarat sah solat adalah suci daripada hadas kecil dan besar. Pakaian yang perlu dipakai ketika solat serta tempat solat pula mestilah dalam keadaan bersih.
Bagaimana pula jika seseorang hanya menyedari bahawa pakaian dan tempat solatnya mempunyai najis setelah selesai solat? Bagaimana status solatnya dan adakah perlu mengulang semula?
Antara keadaan yang biasa dialami oleh kita berkait dengan hal ini adalah seperti berikut:
Pertama, orang yang mengetahui bahawa pada pakaiannnya ada najis, namun dia terlupa dan masih tetap memakainya ketika solat.
Kedua, orang yang syak atau was-was di dalam solatnya, adakah pada pakaiannya ada najis atau tidak.
Ketiga, orang yang tidak tahu dan hanya menyedari pakaiannya terkena najis selepas dia selesai solat.
Keempat, najis yang terkena ketika solat contohnya tahi cicak atau najis burung yang terjatuh secara tiba-tiba dan orang tersebut menyedarinya.
Bagi situasi pertama hingga tiga , solat seseorang itu tetap sah dan dia tidak perlu mengulang semula solatnya. Bagi keadaan kedua pula, seseorang itu tidak dibenarkan untuk berhenti dari solat. Hal ini disandarkan kepada pendapat Syeikh Ibn Baaz.
“Akan tetapi jika dia mempunyai keraguan atau syak wujud najis di pakaiannya, adalah tidak dibenarkan dia memberhentikan solat, sama ada dia menjadi Imam atau bersolat bersendirian, hendaklah dia menyempurnakan solatnya” (Fataawa al-Syeikh Ibn Baaz, 12/396-397)
Bagi situasi keempat pula, seseorang itu perlu membuang najis tersebut sebaik sahaja dia menyedarinya. Namun perlulah dipastikan bahawa tindakan yang dilakukan ketika solat tersebut tidak melibatkan pergerakan yang banyak sehingga membatalkan solat.
Situasi tersebut juga pernah berlaku kepada Rasulullah SAW sendiri:
Hadis dari Abu Said Al-Khudri, bahawa suatu ketika, Rasulullah SAW melepas sandalnya ketika baginda solat. Para sahabat yang bermakmum di belakang baginda pun ikut menanggalkan sandal mereka. Setelah selesai solat, Nabi SAW bersabda, “Apa yang menyebabkan kalian menanggalkan sandal kalian?” Mereka menjawab, “Kami melihat engkau menanggal sandal, sehingga kami pun mengikutinya.” Kemudian, beliau menjelaskan, “Sesungguhnya, Jibril mendatangiku dan memberitahukan padaku bahawa di kedua sandalku ada najis (sehingga beliau pun melepas kedua sandal beliau).” (HR. Abu Daud; dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dalam situasi tersebut, Rasulullah SAW mengambil tindakan menanggalkan bahagian yang terdapat najis iaitu sandal baginda lalu meneruskan solat.
Tetapi jika tidak dapat membuang najis tersebut tanpa membatalkan solat, maka perlulah dihentikan solat untuk membuangnya dahulu, seterusnya perlu mengulang kembali solat.
Situasi ini berbeza dengan orang yang terlupa mengambil wuduk lalu bersolat. Solat itu menjadi tidak sah sejak dari awal. Hal ini demikian kerana wuduk adalah suatu perintah yang wajib dilakukan sebelum memulakan solat sedangkan menghilangkan najis adalah termasuk dalam masalah meninggalkan hal-hal yang dilarang. Wallahua’lam.
Baca juga: Bagaimana Solat Orang Yang Terkena Najis
No comments: