Makna Sebenar Di Sebalik Istighfar
Istighfar dalam pengertian dalam Bahasa Arab ialah membawa maksud tindakan meminta maaf atau memohon keampunan daripada Allah atas segala dosa yang dilakukan oleh seorang hamba dengan upaya untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Tindakan ini pada umumnya dilakukan dengan mengulang-ulang perkataan ‘Astaghfirullah’, yang bermakna;
“Aku meminta keampunan Allah”
Istighfar ini banyak kelebihannya. Ini berdasarkan dari sebuah Hadis yang datang daripada Ibnu Abbas bahawa beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Barangsiapa yang melazimi beristighfar setiap masa sama ada susah dan senang, maka Allah akan memberikannya jalan keluar dari segala kegelisahan, serta Allah akan memberikan rezeki kepadanya dari jalan yang tidak disangka-sangka”.Hadis Riwayat Abu Daud
Menurut Dr. Kamilin Jamilin yang mensyarahkan hadis ini. Rasulullah S.A.W menyebut siapa yang melazimi istighfar, banyak kali beristighfar setiap hari, iaitu banyak kali tidak terhad berapa kali melakukannya dan juga lidah melazimi istighfar tidak kira waktu.
Maka orang yang melazimi istighfar ini, Allah akan menghilangkan kesukarannya. Allah akan kurniakan jalan keluar baginya, bagi setiap kesusahan, kemurungan yang dia hadapi, dan Allah akan kurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Jadi istighfar adalah sumber rezeki, yakinlah kepada Allah. Jika kita hendakkan rezeki yang melimpah daripada Allah Azza Wa Jalla maka perbanyakkanlah istighfar.
Persoalan yang mungkin timbul. Berapa banyak kalikah kita kena beristighfar? Itu terpulang pada kita. Ikut masa kelapangan yang kita ada.
Baginda Rasulullah S.A.W dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim ada menyebut bahawa baginda beristighfar dalam sehari sekurang-kurangnya 70 atau 100 kali baginda beristighfar.
Kesimpulannya. Setiap hari, setiap masa yang kita ada terluang tu, maka kita lazimilah dengan beristighfar.
Kita sebagai insan yang mudah lupa sering kali terbabas melakukan dosa, pasti dalam sehari ada sahaja dosa kecil yang dilakukan kadang tanpa sengaja, maka beristigfarlah moga penghujung nyawa kita dalam keredaan Allah S.W.T. Wallahualam.
No comments: