Ads Top

Dalam Rezeki Kita, Ada Rezeki Orang Lain

Apabila membaca tajuk berita yang telah dikeluarkan oleh Sinar Harian mengenai 820 juta penduduk dunia mengalami kebuluran, saya tertarik untuk berkongsi pengalaman kami ketika mengagihkan makanan kepada gelandangan di Chow Kit lewat tahun 2014 bersama dengan beberapa orang aktivis lain lagi.

Mereka yang tinggal di jalanan ini digelar sebagai gelandangan, yang hanya mempunyai kotak dan beberapa alatan lain untuk dijadikan sebagai alas dan lapik tidur. Pada kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ, hiba dan sayu, hanya itu perasaan yang mampu saya ungkapkan.

Keadaan mereka yang kurang terurus dan tidur dalam keadaan yang dingin membuatkan saya kembali menyingkap keselesaan hidup yang saya ada jika dibandingkan dengan mereka yang tiada apa-apa.

Mereka hanya mampu mengharapkan belas ihsan dan sedikit bantuan daripada insan yang serba-serbi cukup harta untuk dikongsi, baik dari segi tenaga, makanan mahupun benda.

Apabila saya menghampiri seorang pak cik yang umurnya lewat 40-an, tidak henti-henti wajahnya mengukir senyum dan mengucapkan terima kasih. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana perasaannya ketika itu, tapi saya tahu hatinya penuh dengan kesyukuran apabila munculnya rezeki yang tidak disangka.

Beliau sempat bercerita kepada saya –

“Malam tadi ada orang beri makanan pada pak cik, tapi pak cik dah beri pada orang lain sebab kesian tengok dia minta makanan. Hari ini, tuhan dah berikan pak cik makanan yang lagi sedap dan banyak. Terima kasih.”

Dari situ saya sedar dan akui satu benda, iaitu apabila kita memberi, Allah juga akan memberi.

Kadang-kadang, kita akan berkira dengan rezeki tuhan, rasa liat atau takut untuk memberi kerana bimbang jika wang pada hari tersebut tidak mencukupi. Namun, apabila mengingat semula kalam Allah atau hadis nabi berkenaan kelebihan berkongsi rezeki.

Walau bagaimanapun, sebenarnya banyak kelebihan dan ganjaran pahala yang telah Allah gambarkan melalui kalamNya dan juga perbuatan yang telah nabi tinggalkan untuk diteladani oleh kita semua.

Memberi Menjadikan Kita Tenang

Dengan memberi, kita akan merasa lebih tenang, rezeki akan menjadi lebih lapang dan hati kita akan lebih gembira tatkala melihat orang yang menerima pemberian dari kita mengukir senyuman dan mengucapkan terima kasih.

Rasulullah juga pernah berpesan, jangan takut untuk berkongsi, kerana dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.

Saya kembali mengimbau kata-kata yang pernah diucapkan oleh seorang ustaz ketika di bangku sekolah,

“Duit yang berada di dalam dompet kita, belum tentu milik kita sepenuhnya. Apabila dibelanjakan, ia akan habis dan tidak memberikan pulangan sama ada di dunia atau saham untuk akhirat. Namun, duit atau harta yang kita sedekahkan sudah pasti akan menjadi saham dan kepunyaan kita di akhirat.”

Dalam dan sarat makna.

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَيَقْدِرُ لَهُ ۚ وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi Rezeki.”(Surah Saba, 34:39)

Lalu, apabila dilihat berita-berita berkenaan kebuluran dan kesusahan yang dialami manusia di seluruh dunia, ia membuatkan nilai kemanusiaan dalam diri terusik. Lagi tersentuh apabila banyaknya bantuan dari sudut harta, benda dan makanan serta tenaga yang disalurkan bagi meringankan beban mereka.

Walau ia tidak dapat membantu secara seratus-peratus, namun sekurangnya ia mampu meringankan sedikit beban yang digalas di bahu dan hati mereka.

Mungkin kita tidak merasakan kesan daripada kesusahan mereka kerana kita sedang berada dalam zon yang selesa. Kita melihat banyak makanan yang dibuang berbanding yang tidak mencukupi. Di kedai-kedai makan, kita melihat banyak makanan yang tidak dihabiskan dan ditinggalkan begitu sahaja berbanding yang masuk ke dalam mulut.

Malah, dalam berita yang ditulis itu juga menyebut bahawa lebih 830 juta orang di dunia yang mengalami obesiti malah, statistik itu dijangka meningkat melebihi mereka yang mengalami kebuluran.

Di saat kita bermewah-mewah dengan makanan sehingga mengundang kepada pembaziran, saudara kita sebaliknya. Kita bukanlah membantu atau memberi atas dasar Islam tetapi atas nama kemanusiaan.

Jika kita tidak mampu, maka bantulah sekadar yang termampu. Jika tidak punya wang, boleh disalurkan dari sudut tenaga. Jika tidak punya masa, boleh dikirimkan doa sebagai senjata. Setiap yang kita lakukan mampu memberi impak yang besar kepada semua orang dan dipandang besar oleh Allah.

Disebabkan itu, jangan memperlekehkan usaha dan cara orang yang membantu. Ada yang misinya membantu golongan gelandangan, ada yang membantu golongan orang Asli, ada yang membantu mangsa perang dan sebagainya. Semoga dengan usaha itu, mampu menambahkan saham kita di akhirat kelak.

Kesimpulan

Dengan berkongsi, kita akan merasa lebih tenang dan mampu memberi ketenangan kepada orang lain, sekali gus ia akan menjadi saham yang banyak untuk kita di akhirat kelak. Jangan simpan perasaan bahawa rezeki kita tidak akan cukup, namun tetapkanlah di hati bahawa Allah akan ganjarkan dengan yang lebih baik. Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.