Ads Top

Bagaimana Islam Memandang Personaliti Introvert Dan Extrovert

“Seorang yang suka menghabiskan masa sendiri, tidak suka menjadi tumpuan dan lebih menyukai persekitaran yang tenang dan sunyi”

“Seorang yang suka menghabiskan masa dengan ramai orang, terbuka dan lebih suka bekerja secara berkumpulan”

Pernyataan manakah yang lebih hampir kepada diri anda?

Jika anda mengiyakan pernyataan yang pertama, ia lebih menerangkan diri anda sebagai seorang ‘Introvert’ dan pernyataan kedua menerangkan diri anda sebagai seorang ‘Extrovert’.

Walaubagaimanapun, pendapat yang lebih tepat dalam ilmu psikologi mengatakan bahawa pengkelasan ini bukan terhad kepada dua kategori sahaja. Ia perlu dipandang daripada sudut skala atau spektrum yang lebih luas.

Kata Dr Dan McAdam, Ketua Jabatan Psikologi di Universiti Northwestern,

“Ektroversi (extroversion) dan Introversi (introversion) adalah dimensi yang berhubung, seperti persoalan ‘tinggi’ dan juga ‘berat’. Ada orang yang dinobatkan sebagai orang paling berat di dunia, atau orang yang paling tinggi, atau orang yang mendapat skor paling tinggi dari sudut ekstraversi (extraversion) – tetapi kebanyakan orang berada di tengah-tengah skala atau carta ini”

Secara mudahnya, tidak ada orang yang benar-benar ‘extrovert’ dan tidak ada orang yang benar-benar ‘introvert’. Ada masanya kita menjadi lebih terbuka dan ada kalanya kita perlukan masa bersendiri. Ia juga bergantung kepada keadaan dan dengan siapa kita berada.

Antara kefahaman lain yang salah pula tentang dua pengkelasan ini adalah – Introvert sering digambarkan sebagai orang yang tidak suka bergaul dengan ramai orang, pemalu, pendiam, suka menyendiri dan tidak suka keluar rumah.

Dan ‘extrovert’ pula digambarkan sebagai seorang yang tidak boleh duduk bersendiri, sentiasa perlu ada orang di sekeliling mereka dan susah ingin berhenti cakap apabila berbual-bual.

Ada pula yang menggunakan alasan ‘Saya Introvert’ untuk tidak berbual dan tidak mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan atau saudara mara apabila berjumpa.

Bagaimana Islam Memandang Isu Introvert Dan Extrovert

Islam tidak mengulas isu Introvert dan Extrovert secara jelas, namun Islam menyediakan panduan dan juga prinsip dalam kita berhubungan dengan sesiapa sahaja. Mari lihat hadis di bawah berkenaan isu ini untuk memahami dengan lebih lanjut:

#1- Orang Yang Suka Bergaul Dengan Orang Lain Adalah Lebih Baik Daripada Orang Yang Tidak Suka Bergaul

عَنْ يَحْيَى بْنِ وَثَّابٍ عَنْ شَيْخٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
قَالَ الْمُسْلِمُ إِذَا كَانَ مُخَالِطًا النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ خَيْرٌ مِنْ الْمُسْلِمِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ
قَالَ أَبُو عِيسَى قَالَ ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ كَانَ شُعْبَةُ يَرَى أَنَّهُ ابْنُ عُمَرَ

Daripada Yahya bin Watsab dari seorang syeikh salah seorang sahabat Rasulullah dari Nabi SAW baginda bersabda:

“Jika seorang muslim bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar atas gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar atas gangguan mereka.” Ibnu Abi Adi berkata: Syu’bah berpendapat syeikh itu adalah Ibnu Umar. (HR Tirmizi no. 2431, Status Hadis Sahih)

Hadis di atas menekankan peri pentingnya interaksi dalam Islam. Islam bukan hanya untuk kita seorang – dan kita bukan ingin jadi baik seorang diri. Orang yang lebih banyak bergaul dengan orang lain juga, pemikiran mereka pasti lebih terbuka dengan pandangan yang berbeza.

#2- Orang Yang Membantu Menyelesaikan Hutang Orang Lain

Diceritakan pula bahawa ada seorang lelaki yang dibebaskan daripada kesalahan-kesalahannya ketika hisab hanya kerana dia adalah seorang yang bergaul dengan ramai orang ketika di dunia. Pangkat dan harta tidak sekalipun menjadikan dia seorang yang sombong dan tidak mahu bergaul dengan manusia.

Hannad menceritakan kepada kami, Abu Muawiyah menceritakan kepada kami dari A’masy dari Syaqiq dari Abu Mas’ud berkata: Rasulullah SAW bersabda:

“Ada seorang lelaki dari sebelum kamu dihisab, maka tidak ditemui kebaikan sedikitpun padanya, hanya saja dia adalah orang kaya yang mahu bergaul sesama manusia dan pernah menyuruh khadamnya untuk membebaskan hutangnya orang fakir. Maka Allah Ta’ala berfirman: “Kamilah yang berhak membebaskan kepadanya, maka ampunilah (kesalahan-kesalahannya.” (Hadis ini dinilai hasan sahih)

#3- Anjuran Supaya Menunaikan Hajat Dan Keinginan Orang Lain

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Hadith riwayat al-Bukhari, no.2442, 6901, Muslim, no.2580)

Ketiga-tiga hadis di atas menerangkan bahawa umat Islam mempunyai fungsi dalam masyarakat dan tidak boleh menumpukan kepada kehidupan sendiri sahaja. Bukankah kita sentiasa diingatkan bahawa muslim yang lebih baik adalah mereka yang bermanfaat kepada orang lain?

Islam meraikan perbezaan. Allah juga mencipta setiap seorang daripada kita dengan sifat dan personaliti yang unik. Untuk menjadi seorang yang bermanfaat, kita tidak perlu menjadi orang lain. Tetapi sekali lagi ditegaskan bahawa, ‘frasa tidak menjadi orang lain’ bukanlah tiket untuk kita tidak berubah ke arah kebaikan. Kita hanya perlukan kefahaman dan juga kesedaran bahawa dunia ini akan menjadi lebih baik apabila setiap orang berfungsi dengan baik.

Sudah tentu kita akan berhadapan dengan kerenah manusia yang pelbagai apabila bergaul dengan mereka tidak kira sesama muslim atau bukan muslim, namun di sinilah kesabaran menjadi nilaiannya. Sebarkanlah kebaikan dengan sifat rahmah dan bukannya kebencian. Anggaplah ia sebagai peluang untuk memperbaiki diri sendiri dan juga masyarakat di sekeliling.

Kesimpulan

Kita perlu memahami bahawa istilah Introvert, Extrovert dan apa juga istilah pengklasifikasian yang dicipta oleh manusia ini bukan bertujuan semata-mata untuk membeza-bezakan manusia atau untuk membahagikan manusia kepada kelompok yang berlainan.

Ia hanyalah satu langkah untuk lebih mudah memahami karakter dan juga personaliti seseorang. Sebagai manusia yang dicipta dengan akal fikiran dan kudrat, kita tidak ada limitasi untuk mencuba.

Rujukan: How To Tell Difference Between An Introvert and Extrovert




No comments:

Powered by Blogger.