Ads Top

Aliff Syukri & Isteri Ikhlas Ambil Pekerja Orang Kurang Upaya

Usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri menyatakan dia tidak pernah mendiskriminasi mana-mana golongan termasuk orang kurang upaya (OKU) yang ingin bekerja dengannya.

Aliff sebelum ini mendedahkan seorang pemuda OKU berusia 22 tahun dari Segamat, Johor bernama Syukri datang ke kediamannya untuk mencari pekerjaan sehingga kisah itu menjadi tular di media sosial.

“Saya sebenarnya simpati dengan nasib dia dan kami sekeluarga memang ikhlas nak jaga dia. Saya tak anggap dia macam orang luar, sebaliknya dah macam ahli keluarga saya sendiri.

“Selepas beberapa minggu saya ambil dia bekerja, saya tengok dia seorang yang rajin dan sentiasa ceria walaupun dia tidak boleh bercakap. Kehadiran dia dalam hidup saya sekeluarga juga menyedarkan saya orang yang ada kekurangan pun tidak pernah mengeluh, kita yang cukup dari segi fizikal kadang-kala ada sahaja benda yang nak dikeluhkan.

“Sebelum ini saya tidak pernah ambil pekerja OKU tapi melihatkan dia cukup rajin, apa salahnya saya beri dia peluang itu. Kerja dia banyak dihabiskan dengan membungkus produk-produk perniagaan saya, tolong tengok-tengokkan anak saya selain boleh jadi pemandu saya jika saya nak ke mana-mana.

“Dia tinggal bersama kami sekeluarga dan anak-anak pun nampaknya suka dan menerima baik kehadiran Syukri. Pada mulanya dia hanya minta gaji RM500 sebulan, tapi saya bagi lebih kepada dia. Abang dia pun pernah bagi DM berterima kasih kepada saya dan isteri kerana menyantuni adiknya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Aliff Syukri ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu keluarannya, ASL Cosmetics yang berlangsung di Glam Hall, Damansara Perdana semalam.

ASL Cosmetics merupakan taruhan terkini menampilkan Erra Fazira dan Wany Hasrita sebagai duta telah berada di pasaran sejak sebulan lalu. Merangkumi 15 jenis produk kosmetik yang direka dan diformulasikan sendiri oleh Aliff Syukri dan isteri, Datin Seri Nur Shahida.

“Saya memang mahukan Erra Fazira dan Wany Hasrita untuk mewakili produk kosmetik yang dikeluarkan kami. Pada mulanya agak sukar untuk memujuk Erra, namun selepas dia mencuba sendiri produk-produk tersebut, baharulah dia yakin dengan jenama ini.

“Memang sengaja kami ambil dua selebriti wanita daripada dua generasi berbeza bagi mewakili wanita-wanita pelbagai golongan usia. Seperti Wany, kami sasarkan kepada golongan remaja dan belia manakala Erra untuk wanita lebih dewasa,” ujar Aliff lagi.

Berpegang pada moto, Beauty Without Borders, ASL Cosmetics diyakini bakal menjadi antara salah satu jenama kosmetik terbaik tempatan yang pernah ada dalam pasaran Malaysia. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.