Tular Video Dakwaan Gadis Pijak Kitab Suci Al-Quran, Polis Tahan 4 Remaja
Tular di media sosial mengenai video seorang remaja perempuan bertindak memijak Al-Quran berwana hijau dan dirakam oleh sekumpuan remaja lagi dipercayai rakan kepada salah seorang yang memijak Al-Quran itu. Rakaman video dilihat telah tular di Twitter dan dikongsikan oleh warganet yang amat kesal dengan tindakan mereka tersebut.
Semua orang tahu, naskah Al-Quran adalah satu kitab suci yang sangat dimuliakan di seluruh dunia yang beragama Islam. Kitab suci ini menjadi panduan hidup masyarakat Islam dimuka bumi ini. Tindakan yang memalukan itu sangat tidak menghormati Al-Quran. Ia merupakan perbuatan yang terkutuk yang perlu dielakkan khususnya untuk umat Islam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata kesemua remaja berumur antara 17 dan 18 tahun itu ditahan di rumah masing-masing antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam tadi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dikatakan berlaku di tepi jalan dekat jambatan Kusial Lama, Tanah Merah, kira-kira pukul 2.30 petang, 13 Julai lepas.
Kejadian tersebut berlaku apabila remaja perempuan berumur 17 tahun yang memijak al-Quran itu telah diugut oleh dua lagi remaja berusia 18 tahun untuk mengetahui adakah dia pernah melakukan hubungan seks dengan teman lelaki seorang daripada remaja berkenaan.
“Remaja itu menafikan telah melakukan hubungan seks sebaliknya dipaksa melakukan sumpah dengan cara memijak al-Quran bagi mengukuhkan penafian tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Wan Khairuddin berkata bagaimanapun perbuatan itu telah diketahui oleh kakak kepada suspek yang memijak al-Quran itu selepas melihat rakaman di dalam telefon sebelum bertindak membuat laporan polis kira-kira pukul 9 malam tadi.
Beliau berkata kesemua suspek termasuk yang membuat rakaman video berkenaan telah ditangkap dan direman bermula hari ini hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama.
No comments: