Ads Top

Sarah Suhairi Tetap Cari Ikan Patin Tempoyak Di Pagi Raya

Penyanyi yang mula mencipta nama menerusi program realiti Big Stage, Sarah Suhairi, 19, berkata pada pagi raya dia tetap mencari juadah popular negeri Pahang, patin masak tempoyak bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitrinya.

Beraya di ibu kota pada hari raya pertama dan kedua, Sarah dan keluarga kemudiannya akan bertolak ke kampung halaman bapanya di Temerloh, Pahang pada hari raya ketiga bagi meraikannya bersama-sama sanak saudara daripada sebelah bapanya.

“Seperti kebiasaan pada setiap tahun, raya pertama dan kedua kami sekeluarga akan beraya dengan saudara sebelah ibu di Selayang dan pada hari raya ketiga baru saya dan keluarga ke Temerloh bagi merayakan bersama keluarga sebelah bapa pula.

“Yang bestnya raya di kampung ini suasana raya itu lagi meriah daripada di bandar dan pastinya saya suka semua juadah raya dan saya tetap juga cari ikan patin masak tempoyak ketika beraya di Temerloh.

“Di Pahang kami satu keluarga besar akan beramai-ramai tidur di homestay yang diusahakan Pak Long. Saya rasa seronok apabila berkumpul beramai-ramai dan tahun ini juga merupakan tahun pertama saya bagi duit raya kepada sepupu yang masih kecil dan anak-anak sepupu yang sudah berumah tangga,” katanya kepada KopiPlanet.com

Bercakap mengenai tugasnya menjelang hari raya, Sarah berkata dia akan menolong di dapur bagi menyiapkan juadah raya seperti nasi impit dan rendang.

“Saya akan turun ke dapur membantu ibu menyediakan juadah raya dan bila cakap pasal ini saya selalu teringat satu insiden masa saya kecil dulu. Dapur rumah kami ada langsir dan ketika sedang masak rendang tak semena-mena api dapur menyambar langsir hingga terbakar. Sejak itu, mak memang dah tak pasang langsir kat dapur, bila teringat rasa lucu pula,” seloroh Sarah.

Bersempena lebaran, Sarah tampil dengan satu single raya berjudul Selamat Berhari Raya duet bersama Arif Bahran. Penyanyi kecil molek ini mengharapkan lagu raya mereka akan kekal menjadi lagu raya malar segar seperti mana lagu-lagu raya tradisional yang masih lagi relevan dimainkan sehingga ke hari ini. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.