Ads Top

Mulianya Seorang Guru Sehingga Didoakan Makhluk Di Langit Dan Bumi

Sewaktu kecil, jika ditanya apakah cita-cita sewaktu dewasa, maka jawapan ‘guru’ adalah antara jawapan yang paling sering meniti di bibir. Saya sendiri pernah merasai pengalaman mengajar walaupun hanya bertugas sebagai guru tuisyen.

Secara peribadinya, saya memandang tinggi kepada sesiapa sahaja yang berkhidmat sebagai guru. Saya punya seorang abang dan juga rakan baik yang juga berkhidmat sebagai seorang guru. Apabila mendengar pengalaman dan cerita-cerita mereka, saya tertanya; “Bagaimana mereka dapat bertahan?”.

Jauh di lubuk hati, saya merasakan tidak semua orang mempunyai ketahanan dan upaya untuk menjadi seorang guru – terutama guru yang mempunyai pandangan jauh ke depan dan benar-benar ikhlas ingin mendidik anak bangsa.

Pada zaman sekarang, dapat kita fahami bahawa guru ialah orang yang bertugas mengajar murid-murid. Pada peringkat awal pendidikan, mereka ini dipanggil guru. Pada peringkat pengajian yang lebih tinggi, mereka dikenali pula sebagai pensyarah. Kedua-duanya sama sahaja dari sudut tugas dan peranan iaitu mengajar dan menyampaikan ilmu kepada orang lain.

Kedudukan Seorang Yang Berilmu Dalam Islam

Dalam Islam, sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu dan menyampaikan ilmu yang benar tersebut kepada orang lain, maka mereka juga boleh disebut sebagai guru.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ ذُكِرَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلَانِ أَحَدُهُمَا عَابِدٌ وَالْآخَرُ عَالِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ

Dari Abu Umamah Al Bahili ia berkata; “Dua orang disebutkan di sisi Rasulullah SAW, salah seorang adalah ahli ibadah dan seorang yang berilmu, kemudian Rasulullah SAW bersabda:

“Keutamaan seorang alim dari seorang abid seperti keutamaanku dari orang yang paling rendah di antara kalian, ” kemudian baginda melanjutkan sabdanya: “Sesungguhnya Allah, MalaikatNya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya sampai ikan paus dilautan, akan mendoakan untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (HR Tirmizi, No. 2609 – Status Hadis Hasan)

Seorang yang berilmu memiliki keupayaan berfikir dengan baik. Setiap sesuatu yang ada di atas dunia tidak dipandang dengan sia-sia. Setiap perkara dipandang dengan mata hati dan menambahkan kekaguman kepada Allah dan iman di dada, sesuai dengan firman Allah:

“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali-Imran 3:191)

Ganjaran Orang Yang Mengajarkan Ilmu Kepada Orang Lain

Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amir Al Anshari RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

“Barangsiapa yang menunjuki kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.” (HR. Muslim – no. 1893).

مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

“Barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, barangsiapa menjadi pelopor suatu amalan yang buruk lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.” (HR. Muslim – no. 1017)

Fudlail bin Iyadh juga ada berkata; “Seorang alim yang mengamalkan ilmunya dan mengajarkan ilmunya akan dipanggil dengan kebesaran oleh para Malaikat yang ada di langit.”

Bagi mereka yang sedang berkhidmat sebagai seorang guru, ambil lah peluang untuk terus memperbaiki diri dan menambah baik ilmu yang telah ada seterusnya menyebarkan kebaikannya kepada anak-anak didik anda. Beruntung kerana anda sedang mengumpul saham yang besar untuk akhirat.

Bagi yang tidak berkhidmat sebagai guru, tidak pergi ke kelas untuk mengajar dan tidak mempunyai anak murid yang ramai, tidak bermakna anda tidak dapat menyebarkan kebaikan. Masih banyak peluang yang ada yang membolehkan kita menjadi seorang ‘guru’. Syaratnya ajarkanlah ilmu yang benar, tidak bertentangan dengan agama dan mampu membawa manfaat kepada orang lain.




No comments:

Powered by Blogger.