Ads Top

Keistimewaan Zaid Ditarik, Tetapi Gantiannya Jauh Lebih Hebat

Semenjak dahulu lagi ketika belajar di Sekolah Menengah Agama (Arab) Ma’ahad Muhammadi Lelaki di Kota Bharu, saya selalu tertanya-tanya mengapakah contoh yang selalu diguna dalam pengajian Bahasa Arab adalah Zaid?

Setelah menghafaz al-Quran, sekali lagi soalan itu muncul kerana di kalangan para sahabat Rasulullah S.A.W yang ramai itu, hanya Zaid yang disebut secara khusus namanya dalam al-Quran pada surah al-Ahzab. Firman Allah:

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَاهُ فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا وَكَانَ أَمْرُ اللَّهِ مَفْعُولًا
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu (Zaynab) itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahnya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. Surah al-Ahzab 33:37

Zaid memang istimewa kerana beliau adalah satu-satunya sahabat yang pernah “dibinkan atau dinasabkan” kepada Rasulullah S.A.W setelah diambil sebagai anak angkat semasa di Mekah.

Selepas pengisytiharan itu, beliau dikenal umum sebagai Zaid Bin Muhammad. Setelah turunnya ayat melarang menukar nama bapa asal, nama Zaid kemudiannya ditukar kepada Zaid Bin Harithah. Firman Allah:

ادْعُوهُمْ لِآَبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ فَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آَبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai “maula-maula” kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah al-Ahzab 33:5

Berdasarkan pendapat Abu al-Qasim Abdul Rahman al-Suhayli R.A, penukaran nama Zaid kepada nama bapa asalnya sedikit sebanyak menyedihkan Zaid kerana ia seakan kehilangan suatu penghormatan yang hebat iaitu dinasabkan kepada Rasulullah S.A.W.

Lalu bagi menggantikan kehilangan itu, Allah merekodkan namanya secara khusus dalam ayat di atas. Dengan munculnya nama beliau dalam al-Quran seakan Allah menggantikan “kehilangan kemuliaan nasab” dengan “kemuliaan nama disebut al-Quran.”

Dalam hadith Sahih al-Bukhari disebut, Rasulullah menyatakan kepada Ubayy bin Ka’ab bahawa Allah meminta baginda membacakan surah al-Bayyinah kepada Ubayy. Ubayy lantas bertanya:

“Adakah Allah menyebut namaku?”

Baginda menjawab:

“Ya!”

Ubayy lantas menangis kegembiraan dan keharuan kerana namanya disebut oleh Allah Pencipta Alam Semesta. Lalu bayangkan pula betapa hebatnya seorang sahabat yang namanya bersatu dengan patah perkataan al-Quran?

Nama Zaid yang menjadi satu perkataan al-Quran terus kekal dituturkan oleh semua makhluk (para malaikat, manusia dan jin yang beriman) yang membaca al-Quran sehingga kiamatTafsir al-Qurtubi

Saya terkesima dan kagum membaca penjelasan Imam al-Suhayli ini. Hebat dan jernih sungguh mata hati para ulama yang mampu memberi penjelasan tentang rahsia kewujudan sebutan nama Zaid dalam al-Quran secara khusus.

Subhanallah! Apa lagi yang lebih hebat dan mulia dari ini.




No comments:

Powered by Blogger.