Ads Top

Zamani Berehat Sebulan Sambung Jalani Rawatan Tulang Belakang

Vokalis kumpulan Slam, Zamani menyatakan dia akan berehat seketika daripada sebarang aktiviti seni selama sebulan iaitu sepanjang bulan Ramadan ini.

Zamani berkata, keputusan itu dibuat kerana dia akan kembali menjalani rawatan masalah tulang belakang yang pernah dialaminya sebelum ini.

“Sejak kebelakangan ini apabila sibuk dengan jadual nyanyian, saya dah mula terasa sakit semula. Mungkin saya akan jalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Memandangkan jadual yang terlalu padat, jadi saya rasa pada bulan Ramadan inilah waktu yang paling sesuai untuk sambung jalani rawatan,” ujarnya.

Menurutnya, ketika ini dia lebih banyak bergantung dengan mengambil ubat tahan sakit, termasuklah ketika membuat persembahan nyanyian.

Dalam pada itu, mengenai perkembangan terbaharunya sekarang, Zamani memberitahu ketika ini dia baru sahaja muncul dengan single terbaharu berjudul Aduh.

Ujarnya, untuk lagu ciptaan bersama Faizal Tahir, Adib Hussin, Mike Chan, Romeo dan Karim Karam itu, ternyata ia memberi nafas baharu dengan konsep pop kontemporari yang diketengahkan.

“Lagu ini saya rekod pada bulan Januari dan dilancarkan pada 1 Mac lalu. Saya menjalani tiga kali proses rakaman sehinggalah saya betul-betul rasa puas hati.

“Mengenai penerimaan peminat pula, rata-ratanya memang ramai yang berpuas hati dengan lagu Aduh ini, biarpun ada juga yang berpendapat ia kurang sesuai buat saya,” ujarnya.

Pada masa sama, Zamani juga turut melancarkan kempen #AduhZamaniKaraoke, di mana para peminat yang menyanyi lagu Aduh sama ada di lokasi Red Box, Green Box atau Red Box PLUS Karaoke di seluruh Malaysia berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM1,000, RM500 dan RM300.

Caranya adalah dengan merakamkan nyanyian tersebut dan memuat naiknya menerusi laman sosial Instagram dengan menggunakan tanda pagar #AduhZamaniKaraoke dan #RedBoxKaraokeMalaysia. – KopiPlanet.com

The post Zamani Berehat Sebulan Sambung Jalani Rawatan Tulang Belakang appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.