Ads Top

Ummi Nazeera Tunggu 3 Tahun Lagi Untuk Timang Anak Kedua

Selepas rumah tangganya diserikan dengan kehadiran anak sulung, Ayra Aneesah pada Ogos lalu, pelakon Ummi Nazeera dan suami, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khan telah membuat perancangan untuk ‘berehat’ seketika daripada menimang cahaya mata baharu dalam tempoh tiga tahun ini.

Menurut aktres bernama penuh Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin ini, dia dan suami mempunyai sebab tersendiri kenapa mahu menangguhkan perancangan untuk membesarkan keluarga iaitu kerana komitmen kerjaya masing-masing.

“Kali ini saya dan suami kami dah rancang untuk tidak memiliki anak kedua dalam tempoh tiga tahun ini. Ini kerana dia mahu menyambung pengajian dalam bidang sarjana pengkhususan dalam kesihatan awam, tempoh pembelajarannya mungkin akan berakhir dalam tempoh tiga tahun.

“Manakala saya pula ingin kembali aktif dalam bidang lakonan dan kerja bersungguh-sungguh sebelum dapat baby baru. Saya juga akui yang saya belum lagi boleh menjadi seorang ibu yang terbaik sebab saya masih lagi belajar selain kami ingin memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada Ayra sebelum dia dapat adik. Tapi kalau Allah berikan rezeki awal, kami terima sahaja,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media khas Rocketfuel Entertainment yang diadakan di The Bee, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ummi kini bernaung di bawah syarikat pengurusan tersebut yang turut menguruskan kerjaya selebriti lain seperti Zizan Razak dan Lisa Surihani.

Berkongsi lagi cerita, Ummi, 29, berkata dia kini dalam misi untuk menurunkan tiga kilogram berat badan bagi mendapatkan tubuh ideal dan sesuai dengan ketinggian dirinya.

Berat badan Ummi bertambah ketika dia melahirkan Ayra dan sehingga kini dia masih lagi meneruskan rutin senaman bagi merealisasikan impiannya itu.

“Sekarang berat saya 52 kg dan saya perlu turunkan lagi 3 kg bagi mendapatkan berat ideal iaitu 49 kg. Saya masih lagi teruskan rutin senaman seperti selalu selain menjaga pemakanan. Kalau nak capai target itu, saya perlu kena push diri untuk terus konsisten dalam penjagaan badan,” ujar pelakon filem Gol & Gincu 2 ini. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.