Ads Top

Rehatlah Seketika Wahai Mata

“Saya nak tidur sekejap. Sepuluh minit pun jadilah.”

Itulah yang biasa saya ungkapkan sekiranya mahu tidur sebentar di waktu siang. Kenapa sekejap sangat adalah antara soalan yang sering saya terima berkenaan hal tidur siang ini. Apabila sudah bangun selepas cukup 10 minit itu, saya akan ditanya, cukupkah awak tidur selama 10 minit itu?

InsyaAllah, cukup.

Tidur siang bukan bermakna seseorang itu malas. Tidur siang merupakan suatu keadaan di mana Allah memberi rehat kepada hambaNya agar boleh bangun malam untuk beribadat iaitu qiyamullail.

Menurut kamus Oxford Fajar, tidur seketika di waktu siang bermaksud tidur ayam, tidur sebentar. Menurut kamus Webster New Thesaurus, tidur siang bermaksud catnap, doze, nap, rest. Dalam Islam, tidur sekejap di waktu siang yang disertai dengan niat untuk bangun solat malam, dikenali sebagai qailullah.

Tidur siang itu tidak semestinya tidur betul-betul, yang penting adalah rehat. Tinggalkan pekerjaan yang dilakukan, pergi duduk di sofa, baring seketika di tilam, dan lelapkan mata. Latih tubuh dengan sediakan jam loceng. Nanti apabila sudah biasa, mudah saja untuk bangun semula dalam waktu yang pendek itu.

Tidur siang memang disarankan dalam Islam kerana hikmah-hikmah yang terkandung padanya. Lagipun, tidur adalah anugerah Allah buat makhlukNya. Malahan, tidur juga merupakan ibadat dan boleh mendatangkan pahala kepada pelakunya jika betul caranya.

وَمِنْ آيَاتِهِ مَنَامُكُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَابْتِغَاؤُكُم مِّن فَضْلِهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَسْمَعُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya iala tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran)”
(Surah Ar-Ruum, 30:23)

Sebagaimana babak pendek pada pembukaan kisah tidur ini, tidur siang tidak perlu lama. Cukuplah sekadar 10 minit, atau hingga 30 minit. Kalau tidur siang sampai dua atau tiga jam, itu bukan catnap jadinya.

Waktu paling sesuai untuk tidur seketika ini adalah sebelum masuk waktu solat zuhur hinggalah awal waktu asar. Waktu yang paling afdal adalah setengah jam sebelum masuk waktu solat zuhur.

Apakah yang perlu dibuat agar tidur siang kita itu termasuk dalam kategori qailullah?

Hendaklah disertai dengan niat untuk bangun mengerjakan solat malam. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani:

“Lakukanlah qailullah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan qailullah.”

Ketahuilah bahawa syaitan tidak pernah tidur kerana sentiasa sibuk dalam pekerjaannya, iaitu memujuk rayu manusia agar menjauhi syariat Islam, letih dan bosan beribadat, leka dengan keseronokan duniawi dan liat untuk bangun melakukan ibadat malam.

Sejak masih muda, junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW telah menjadikan amalan qailullah untuk memudahkan Baginda SAW bangun melakukan ibadah malam (qiamullail).

Anas bin Malik RHA berkata, “Mereka (para sahabat) dulu biasa melaksanakan solat Jumaat kemudian istirehat siang (qailullah).”

Apakah faedah yang diperolehi dengan amalan tidur siang ini? Kenapa tidur siang ini penting?

#1 – Meningkatkan daya konsentrasi dan keupayaan motorik tubuh seperti bermain piano, begitulah yang dilaporkan oleh pengkaji, Sara C. Mednick, PhD dalam bukunya yang bertajuk ‘Take A Nap! Change Your Life’.

#2 – Menurunkan kadar stress. Menurut sebuah kajian di Jerman, tidur sebentar di waktu siang membuatkan kadar hormon stress kortisol berkurangan dalam kadar separuh.

#3 – Mengurangkan tanda penuaan. Kesibukan bekerja, kurang rehat menyebabkan kemunculan garis-garis halus di wajah, elastik kulit berkurangan, warna kulit menjadi kusam dan tidak rata. Sewaktu tidur siang, tubuh kita dapat memperbaiki sel-sel yang berkenaan membuatkan tanda-tanda penuaan menjadi minimal.

Apapun ingatlah, tidur siang tanpa disertai niat untuk melakukan qiyamullail tidak dinamakan qailullah. Ia sekadar, doze atau catnap. Tidur siang yang berlebih-lebihan pula menyebabkan kita sakit kepala, bingung dan lesu.

“Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailullah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum zuhur) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail.” (HR Ibnu Abbas)

Tidur Siang




No comments:

Powered by Blogger.