Ads Top

Pahala Di Secangkir Kopi

Selalu kan kalau tiba hari minggu, keluar lepak dengan kawan-kawan sambil minum secawan kopi?

Atau mungkin tidak perlu menunggu sehingga hari minggu, bancuh sahaja kopi di waktu pagi sebagai permulaan hari anda untuk membantu memberi kesegaran.

Juga sebagai rutin harian buat insan yang bergelar mahasiswa, tiap-tiap malam akan membancuh kopi untuk menahan mata daripada terlelap demi menyiapkan tugasan yang diberikan.

Kopi itu penghubung kepada sesebuah perhubungan jika ingin keluar menghabiskan waktu untuk melepaskan tekanan. Dengan bau aroma kopi sebenarnya boleh membantu seseorang itu melepaskan tekanan yang ada walaupun masalah itu belum selesai lagi.

Pernahkah anda mendengar mengenai satu pepatah Indonesia yang mengatakan bahawa, ‘selalu ada solusi dari setiap masalah hati, mungkin dengan minum kopi seorang diri.’

Bagi para penggemar kopi, mereka beranggapan bahawa kopi merupakan sahabat mesra mereka di saat tiada yang sudi untuk mendengar luahan hati mereka.

Pahala Dengan Kopi

Wahai pembaca, tahukah anda dengan secangkir kopi juga boleh membantu anda mendapatkan pahala yang melimpah ruah daripada Allah yang Maha Pengasih?

Betapa penyayangnya Allah sehingga begitu mudah untuk memberikan pahala kepada hamba-Nya. Namun, bagaimanakah caranya untuk meraih nikmat itu daripada Allah? Haa, mudah sahaja. Ikuti empat langkah mudah ini.

#1 – Jangan Tiup Kopi Yang Panas

إِذَا شَرِبَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ، وَإِذَا أَتَى الخَلاَءَ فَلاَ يَمَسَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ
Mafhum: Apabila kalian minum, janganlah bernafas di dalam gelas, dan ketika buang hajat, janganlah menyentuh kemaluan dengan tangan kanan … (Hadis Riwayat Bukhari)

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُتَنَفَّسَ فِي الإِنَاءِ أَوْ يُنْفَخَ فِيهِ

Mafhum: Nabi SAW melarang bernafas di dalam gelas atau meniup isi gelas. (Hadis Riwayat Ahmad)
Melalui dua buah hadis yang telah dinyatakan di atas, jelas sekali Rasulullah SAW telah melarang untuk kita meniup air yang panas itu. Biarkan ia sejuk atau suam sedikit sehingga boleh diminum, jangan pula minum ketika masih panas, takut nanti melecur bibir.

Kenapa tidak boleh meniup air yang panas itu? Hal ini kerana, takut kotoran yang keluar daripada mulut atau hidung masuk ke dalam air tersebut. Bimbang juga jika ada debu-debu atau kotoran yang keluar sehingga kita minumnya tanpa menyedarinya.

#2 – Baca Basmallah

يَا غُلَامُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

Mafhum: Wahai anakku, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang berada di dekatmu. (Hadis Riwayat Bukhari)

Di antara sunnah Nabi adalah memulakan sesuatu perkara dengan menyebut nama Allah dan mengakhirinya dengan memuji terhadap Allah termasuklah sebelum dan selepas makan.

Bagaimana pula jika kita terlupa untuk membaca basmallah sebelum minum kopi? Jangan risau, ucaplah ‘bismillahi awalahu wa akhirahu’

Hal ini bersesuaian dengan sebuah hadis nabi yang telah diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud:
“Jika salah satu kalian hendak makan, maka hendaklah menyebut nama Allah. Jika dia lupa untuk menyebut nama Allah di awal makan, maka hendaklah mengucapkan bismillahi awalahu wa akhirahu.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

#3 – Gunalah Tangan Kanan

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Mafhum: Sesungguhya Rasulullah SAW membiasakan diri mendahulukan yang kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehiduan sehariannya. (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, sunnah Rasulullah SAW adalah menggunakan tangan kanan dalam setiap urusan baginda. Baginda akan mendahulukan tangan kanan mahupun kaki kanan untuk setiap perkara yang baginda lakukan. Oleh itu, angkatlah kopi anda dengan menggunakan tangan kanan.

Berdasarkan hadis lain yang telah disebut oleh Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika salah seorang di antara kalian hendak makan, maka hendaknya makan dengan menggunakan tangan kanan dan apabila hendak minum maka hendaknya minum juga dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan itu makan dengan tangan kiri dan juga minum dengan menggunakan tangan kirinya.” (Hadis Riwayat Muslim)

#4 – Duduklah

Jika kita minum sambal duduk bukan sahaja mendapat pahala mengikut sunnah, namun akan mendapat pahala kerana kita menjaga kesihatan. Tahukah anda, minum sambil duduk boleh membantu ginjal kita bekerja dengan baik?

Hal ini kerana, air yang diminum akan melalui ginjal kita dan ditapis terlebih dahulu oleh sfringer. Sfringer ini bertindak sebagai penapis air seperti penapis Coway di rumah kita. Maka, air yang ditapis akan lalu dengan selamat.

Jika kita minum sambil berdiri, maka penapis dalam badan kita yang dikenali sebagai sfringer itu tidak dapat bekerja dengan baik.

Oleh itu, bantulah ginjal dan organ dalam badan kita untuk menyediakan sumber yang sihat kepada tubuh bdan kita.

Kesimpulan

Begitu mudah bukan untuk mendapat pahala dari-Nya? Hanya dengan secangkir kopi sahaja, namun pahala yang anda akan dapat berkali ganda. Kajian mendapati bahawa kopi merupakan antara minuman kedua yang paling digemari oleh manusia selepas air kosong (plain water).

Minumlah kopi untuk membantu kehidupan anda sehari-hari, namun jangan ambil secara berlebihan, bimbang pula akan mendapat kesan yang tidak diingini.




No comments:

Powered by Blogger.