Bagaimana Untuk Lebih Mudah Menanam Sabar
Dalam sebuah hadis, dikatakan bahawa sabar itu adalah pada pukulan yang pertama iaitu pada saat pertama kita ditimpa musibah atau ujian. Reaksi kita pada waktu itulah penentu sama ada kita seorang yang benar-benar sabar atau tidak.
Namun, sebenarnya ada rahsia bagaimana untuk menanam sabar dengan lebih mudah.
Ustaz Nouman Ali Khan dalam salah sebuah perkongsiannya menekankan tentang ‘rasa kesedaran’ bahawa kita hanyalah hamba dan segala apa yang kita peroleh di dunia ini hanyalah pinjaman dan bersifat sementara.
Selalunya kita marah dan sedih apabila sesuatu hilang daripada kita – kereta rosak, duit kena curi, kesihatan tidak memberangsangkan. Namun apabila kita menyedari bahawa segalanya hanya pinjaman, yang datang dari Allah dan akan kembali semula kepada Allah, maka kita akan lebih bertenang dan sabar. Tindakan kita berubah, kerana worldview kita juga sudah berubah. Kita tidak menjadi seorang yang cepat melenting dan pemarah.
Selalu orang menyebut bahawa jika sesuatu itu telah ditakdirkan untuk kita, maka tidak ada sesiapa yang mampu menghalangnya. Namun jika ia bukan milik kita, sesuatu yang sudah berada di genggaman kita juga mampu hilang.
Pada saat itu, kita memahami bahawa semuanya adalah pinjaman dari Allah bagi memudahkan urusan hidup kita di dunia ini sahaja. Maka hal-hal dunia ini kelak akan ditinggalkan di dunia sahaja dan tidak berguna lagi buat kita di akhirat.
Rujukan: ILuvUAllah
No comments: