Ads Top

Jangan Pandang Sinis Wanita Yang Datang Solat, Sekalipun Dia Tidak Menutup Aurat

Kerap kali saya terbaca luahan di media sosial tentang wanita yang tidak menutup aurat masuk ke surau awam, dipandang sinis oleh orang-orang yang berada di situ biasanya makcik-makcik yang turut singgah untuk solat.

Kadang-kadang bukan setakat pandangan sinis yang diberikan, malah kata-kata yang mampu melukakan hati turut dilontarkan.

“Huh, solat buat apa, rambut berkarat!”

“Ish, sah ke solat tu, dah lah pakai ‘skirt’ pendek”

Saya secara peribadinya menganggap itu bukanlah teguran, tetapi lebih kepada kata-kata sinis dan bukan dengan tujuan menasihati. Apa salahnya jika mendekati dan menasihat secara baik, bukan melontar kata-kata sinis sehingga didengari orang lain yang turut berada di situ. Akhirnya yang dirasa oleh wanita tersebut hanya ‘malu’, dan tidak mahu lagi datang ke surau untuk menunaikan solat.

Rentetan isu di atas, saya teringat tentang sebuah kisah yang dibaca daripada sebuah buku. Latar masanya ketika zaman lampau. Ada seorang imam yang masyhur dengan kefasihannya berkata-kata. Dikatakan apabila orang ramai mendengar dia bercakap, maka hati yang bersedih akan gembira, yang terluka akan pulih.

Maka seorang perempuan yang mendengar perkhabaran tentang orang soleh ini teringin untuk ke masjid kerana ingin mendengar kata-kata nasihat yang disampaikan. Namun apa yang menjadi masalah ialah dia seorang pelacur. Fikirnya, mana mungkin seorang pelacur dibenarkan hadir ke masjid. Orang ramai pasti akan menghalaunya keluar.

Namun kerana dia sudah berniat untuk berubah dari dosa dan kesalahan yang dilakukan, dia menguatkan tekad untuk tetap ke masjid. Lalu dia menyamar dengan memakai pakaian lelaki (mungkin kerana ingin mendengar kata-kata Imam tersebut dengan lebih dekat). Orang-orang berduyun datang malah ruang solat perempuan turut dipenuhi jemaah lelaki.

Perempuan tersebut akhirnya berjaya mendapatkan tempat di dalam masjid. Apa yang terjadi selepas itu? Penyamarannya disedari dan akhirnya dia dihalau keluar dari masjid malah dipukul oleh orang ramai. Mereka mengatakan bahawa perempuan ini tidak layak ke masjid kerana dia seorang pelacur sedangkan masjid adalah tempat suci.

Lalu seorang ahli sufi lain yang menyedari hal tersebut bertindak menyelamatkan perempuan itu lalu berkata dengan lantang;

“Bagaimana kalian boleh perasan bahawa dia seorang wanita! Kalian datang ke masjid tetapi lebih memberi perhatian kepada orang lain berbanding Tuhan!”

Saya akui kisah ini adalah kisah fiksyen yang ditulis oleh seorang penulis, namun ada pengajaran besar yang patut dipelajari melaluinya; iaitu sesiapa sahaja boleh datang ke masjid untuk menyucikan diri. Itulah peranan masjid dan surau yang sebenarnya – tempat orang mendekatkan diri kepada Tuhan.

Jika di akhirat kelak, kita ditanya oleh Allah; “Adakah engkau yang membuat hati wanita tersebut terguris dan membuatkan dia tidak lagi datang solat, malah mungkin tidak solat langsung?” Saya tidak pasti adakah kita mampu menjawab.

Bukan tugas kita untuk menghukumi orang lain. Saya tidak mahu bercakap soal hukum, sah atau tidak solat dalam artikel ini. Saya hanya ingin bercakap tentang kewajaran dan tentang fungsi dakwah yang sebenarnya.

Allah telah memudahkan hidup kita, dibesarkan dalam keluarga yang baik, dikelilingi pula oleh orang-orang baik – hingga kita mudah untuk melakukan ibadah dan belajar tentang agama.

Tetapi jangan berasa sombong dengan kemudahan yang telah Allah berikan. Kita tidak tahu situasi sebenar, apakah perkara yang menghalang dia daripada bertudung atau menutup aurat. Mungkin ada halangan-halangan yang masih belum dapat diatasi. Bersangka baiklah dan biarkanlah dia bersolat menghadap Allah dengan tenang, bukan dalam keadaan takut-takut dipandang sinis atau dihina.

Berdakwahlah dengan kasih sayang. Contohi orang seperti Ustaz Ebit Liew yang amat suka mendekati terlebih dahulu, menyebut tentang kasih sayang Allah, tentang kebaikan Allah, bahawa Allah sayang dan akan mengampunkan. Dakwah sebenar adalah mendekati, bukan menghukum dan membuatkan orang lebih jauh daripada Islam.




No comments:

Powered by Blogger.