Ads Top

Ibrah Surah Al-Humaza: Siapakah Orang Yang Rugi

Di dalam al-Quran, surah al-Asr terletak di antara surah Al-Takathur dan surah al-Humaza. Perkaitannya ialah, kedua-dua surah ini membawa mesej dan cerita mengenai orang-orang yang rugi. Jadi, siapa orang yang rugi itu?

Mari kita lihat surah al-Humaza pada ayat yang kedua yang bermaksud:

الَّذِي جَمَعَ مَالًا وَعَدَّدَهُ

“Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya.”(Surah Al-Humaza 104:2)

Allah menyebut melalui ayat ini bahawa, golongan yang suka akan kekayaan yang berbentuk wang ringgit dan tidak puas hati dengan kekayaannya. Bagaimana kita dapat mengetahui seseorang itu tidak puas hati dengan harta yang dimilikinya?

Perkataan عَدَّدَهُ sendiri membawa maksud tidak puas dengan harta kekayaan yang ada.

Contohnya, suka membanding-bandingkan kekayaannya dengan orang lain, selalu merasa rezekinya tidak mencukupi terutama jika dilaburkan ke jalan yang betul dan hidupnya yang selalu memikirkan mengenai hartanya sehingga melalaikan dirinya sendiri.

Itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa dia sebenarnya salah seorang yang rugi sedangkan Allah akan mencukupkan rezekinya jika dia sendiri bersyukur dengan rezeki yang dimiliki.

Allah telah berfirman melalui ayat seterusnya, iaitu ketiga dan keempat untuk menidakkan perbuatan mereka yang membawa maksud:

يَحْسَبُ أَنَّ مَالَهُ أَخْلَدَهُ
كَلَّا ۖ لَيُنبَذَنَّ فِي الْحُطَمَةِ

“Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!
“Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam ‘Al-Hutamah.’”(Surah Al-Humaza 104:3-4)

Melalui kedua-dua ayat ini, dapat disimpulkan bahawa perbuatan mereka itu merupakan kerugian semata-mata buat diri mereka sendiri dan boleh menjerumuskan diri mereka ke dalam al-Hutamah. Apa itu al-Hutamah?

Al-Hutamah merupakan api neraka Allah sebagai balasan buat golongan tersebut. Ia telah disebut melalui ayat seterusnya, iaitu ayat ke-enam sehingga akhirnya.

Perkataan نبَذَ melalui ayat ke-empat sendiri membawa maksud membuang sesuatu yang tiada nilai seperti sampah.

Itulah balasan yang akan dikenakan oleh Allah, iaitu dihumban ke neraka al-Hutamah seperti tiada nilai sedikit pun sedangkan sewaktu hayatnya di dunia, dirinya sentiasa memikirkan nilai kekayaan yang ada sehingga di akhirat, dialah orang yang paling miskin.

Harta Bukan Matlamatmu

Melalui surah ini, Allah telah menghuraikan golongan yang rugi ialah mereka yang sentiasa mengumpul harta kekayaan dan menjadikan ia sebagai matlamat sehingga cenderung dalam melakukan dosa.

Tidak salah untuk mengumpul harta kekayaan, malah digalakkan bagi membantu umat Islam yang lain. Namun, jika harta dan kekayaan dijadikan matlamat hidup sehingga melupakan akhirat, maka itu dikira sebagai dosa yang perlu dielakkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Ibnu Majah)

Jika seseorang mukmin itu mempunyai kekuatan tidak kiralah dari sudut harta kekayaan, ekonomi, akademik dan sebagainya, maka itulah yang akan membuatkan agama lain untuk tidak memandang Islam dengan hanya sebelah mata.

Kadang-kadang, kita sendiri ditindas kerana kemiskinan. Jadi, inilah peluang yang sesuai buat mukmin yang kaya untuk membantu golongan yang lebih memerlukan.

Walau bagaimanapun, kita perlu berhati-hati dengan kekayaan yang ada. Jangan sampai harta itu memakan diri sendiri sehingga menjerumuskan ke lembah maksiat dan menghasilkan harta yang haram.

Antara perkara mungkar yang selalu terjadi ialah, menghalalkan riba’, memberi dan menerima rasuah serta mencuri harta orang lain.

Perbuatan-perbuatan mungkar ini perlu dielakkan kerana ia haram di sisi Islam seperti yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Mafhum: Wahai orang-orang yang beriman! Bertawalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.

(Surah al-Baqarah, 2:278)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Mafhum: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

(Surah al-Imran, 3: 130)

Kesimpulan

Natijahnya, jadilah muslim yang sentiasa meletakkan Allah dan Islam di hati, mukmin yang kuat dan boleh memberi manfaat kepada sekeliling supaya ia boleh menjadi saham di akhirat kelak dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang ada. Muslim yang sebenar-benarnya kaya ialah muslim yang kaya di akhirat juga.
Renung-renungkan dan selamat beramal.

Ditulis berdasarkan ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Azrul Azlen bin Abdul Hamid yang merupakan seorang pensyarah di UIAM. Ceramah disampaikan pada 8 April 2019 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pagoh.

Tafsir Surah al-Humaza




No comments:

Powered by Blogger.