Hati-Hati Dengan Racun Hati
Hati disifatkan sebagai raja kepada anggota badan. Melalui hati, ia dapat mencerminkan perbuatan kita. Jika baik apa yang dilakukan, maka baiklah hatinya.
Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai hati yang berbunyi;
أَلاَ وَإِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ . أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ
Mafhum: “Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati (jantung).” (Hadis Riwayat Bukhari)
Melalui hadis ini, kita boleh memahami bahawa Rasulullah SAW menyuruh agar kita menjaga hati dengan sebaik mungkin. Syaikh Sholih al-Fauzan menyebut melalui kitabnya bahawa elakkan daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan hati.
Apa itu perkara yang boleh merosakkan hati? Antara contoh perkara yang boleh merosakkan hati ialah memakan dan melakukan perkara-perkara yang syubhat, banyak berhibur dengan mendengar muzik yang melalaikan, solat di akhir waktu dan banyak lagi.
Oleh itu, berusahalah menjaga hati dengan mengurangkan diri daripada mendengar muzik yang melalaikan, makan hanya makanan yang diyakini halal dan sentiasa berusaha untuk solat di awal waktu.
Baiknya hati adalah apabila di hati itu sentiasa mengingati Allah sehingga di bibirnya sentiasa meniti nama-nama Allah. Baiknya hati adalah apabila ia sentiasa ada rasa cinta kepada-Nya sehingga ia takut untuk melakukan maksiat dan perkara yang telah ditegah oleh Allah.
Baiknya hati ialah apabila ia sentiasa merasa rindu kepada Allah sehingga tidak sabar untuk berjumpa dengan Allah. Baiknya hati sehingga ia sentiasa ikhlas dalam melakukan setiap perbuatan sehingga dapat mengelakkan diri daripada perbuatan taqarrub dan tidak mengharapkan balasan dalam melakukan sesuatu.
Racun Hati
Kalau penyakit yang paling berbahaya di dunia ini ialah penyakit kanser, maka penyakit yang paling berbahaya bagi hati ialah racun hati. Elakkan diri daripada terkena racun ini kerana ia boleh merosakkan hati dan diri sendiri. Antara penyebab kepada racun hati yang perlu dielakkan ialah:
#1 – Banyak Berkata-Kata
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ ﴿١٦﴾ إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ ﴿١٧﴾ مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Mafhum: Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya.
Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qaf, 50:16)
Kita disuruh untuk berkata-kata benda yang baik dan perlu sahaja. Elakkan diri daripada berkata-kata benda yang kurang bermanfaat dan berfaedah kepada orang lain mahupun diri sendiri.
Banyak berkata-kata boleh menyebabkan diri lalai dan akan mengakibatkan kepada penyakit hati. Berbicaralah benda yang berfaedah sahaja, elakkan bergosip, memfitnah dan mengumpat.
#2 – Banyak Makan
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ ﴿٣١﴾
Mafhum: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-A’raf, 7:31)
Pernahkah anda mendengar mengenai makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang? Mesti pernah bukan?
Pepatah ini bersesuaian dengan kalam Allah di atas yang melarang hamba-Nya daripada berlebih-lebihan dalam setiap urusan walaupun ketika makan.
Jika terlampau kenyang, dikhuatiri nanti badan akan menjadi berat untuk melakukan ibadah dan segala suruhan Allah. Makanlah seadanya. Elakkan pembaziran. Ingatlah kepada saudara kita yang kelaparan seperti di Palestin yang sedang menghadapi perang serta di Somalia yang mengalami masalah ekonomi.
#3 – Banyak Memandang
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Mafhum: katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. (Surah an-Nur, 24:30)
Allah telah berpesan melalui kalam-Nya bahawa kita hendaklah sentiasa berusaha untuk menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan.
Baik lelaki mahupun perempuan, tundukkanlah matamu dari melihat ajnabi, dari melihat hiburan yang melalaikan yang di dalamnya boleh menyebabkan zina mata dan tutuplah matamu daripada melihat perkara buruk.
Tetapi, andai melihat maksiat terjadi di depan mata, jika anda mempunyai kekuatan untuk menegur maka tegurlah. Andai tidak berani untuk menegur dengan tangan dan mulut, maka bencilah hal tersebut dengan hati kerana itu merupakan selemah-lemah iman.
#4 – Banyak Pergaulan
الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ
Mafhum: Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh). (Surah az-Zukhruf, 43:67)
Sebagai manusia, kita digalakkan untuk berkawan dan mengenali adat budaya dari seluruh dunia, namun elakkan bergaul terlalu rapat dengan manusia yang kurang elok sehingga boleh memberi kesan kepada diri kita sendiri.
Bergaullah dengan orang yang baik-baik yang boleh membawa kita ke jalan yang benar sehingga di akhirat kelak, apabila mereka melihat kita tiada di syurga, mereka akan bertanyakan kepada Allah mengenai keberadaan kita
Ubat Hati
Oleh itu, sebagai muslim yang ingin meletakkan Allah di hati, cubalah untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dengan racun hati. Ubatilah hati anda dengan sentiasa berkata-kata benda yang bermanfaat seperti berzikir dan beristighfar serta membaca al-Quran. Kosongkan perut daripada makanan yang syubhah, amalkan sujud kepada Allah di setiap awal waktu dan bangunlah di malam hari untuk meluahkan segala isi hati hanya kepada-Nya.
Amalkan membaca doa untuk melembutkan hati, iaitu:
طه ﴿١﴾ مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ ﴿٢﴾ إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ ﴿٣﴾ تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى ﴿٤﴾ الرَّحْمَـٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ ﴿٥
Mafhum: Taa’ Haa. Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi pringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. (Surah Ta-Ha, 20:1-5)
Surah ini merupakan ayat yang pertama yang telah menyentuh hati Saidina Umar al-Khattab. Di sebalik kebengisan dan kegarangannya yang sentiasa menolak Islam sebagai agama di tanah Arab, beliau telah berjaya dilembutkan oleh adiknya, iaitu Fatimah dengan ayat ini dan akhirnya hatinya telah tertarik untuk memeluk Islam.
Melalui kisah lain di dalam al-Quran, kita juga boleh mengamalkan doa yang telah diceritakan, iaitu kisah Nabi Daud as yang telah melembutkan besi degan kekuasaan Allah.
وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا ۖ يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ ۖ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ ﴿١٠﴾ أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ ۖ وَاعْمَلُوا صَالِحًا ۖ إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴿١١
Mafhum: Dan demi sesungguhnya kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya. (Serta kami wahyukan kepadanya):
“Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendakinya; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Saba, 34: 10)
Semoga hati kita sentiasa berpaut di atas talinya dan tidak akan terpesong ke jalan-jalan yang salah sehingga kaki kita telah berjaya memijak syurga-Nya.
No comments: