Ads Top

Dukacita Jumaat Di New Zealand Terpahat Dalam Sejarah

“Pusat Latihan Briged Izzuddin Al-Qassam di kawasan tengah Gaza diserang Zionis. Ketika waktu Gaza menunjukkan jam 2.26 pagi, jet perang Zionis masih berlegar di ruang udara Gaza.”

Lebih kurang begitulah yang tertera di timeline Facebook rasmi Aman Palestin. Peperangan dan penindasan yang seolah tiada musim surutnya. Bunyi letupan bom dan tembakan peluru pula ibarat perkara biasa di sana.

Belum sempat reda akan kebimbangan tentang peperangan di Gaza, sensitiviti umat Islam dicuit lagi. 15 Mac 2019, dunia digemparkan dengan kejadian kejam tembakan secara rambang terhadap umat Islam di dua buah masjid di New Zealand, Bandar Christchurch iaitu Masjid Linwood dan Masjid Al Noor.

Di saat jemaah Muslim New Zealand berkumpul bagi menunaikan solat Jumaat, masjid diceroboh oleh lelaki bersenjata. Tanpa belas kasihan dan tanpa sebab, umat Islam dibunuh satu persatu.

Bukan sekali tembakan yang dituju kepada satu sosok tubuh bahkan ada yang menerima 4 das peluru bertalu-talu sebelum rebah menyembah bumi. Puluhan umat Islam mati ditembak.

Memang sangat membangkitkan kemarahan umat Islam apabila pembunuh menembak bagaikan sedang bermain permainan digital tembak menembak. Pembunuh atau lebih tepat digelar pengganas itu sengaja mencuri perhatian dunia dengan tindakan di luar kewarasan manusia.

Lebih teruk lagi, dibuat rakaman secara langsung di Facebook untuk merakam setiap tindakannya seolah-olah sedang berseronok. Jelas, tiada langsung rasa menghormati terhadap sensitiviti agama dan kemanusiaan. Biadap sungguh!

Seramai lebih kurang 50 orang muslim terkorban, 42 orang lagi tercedera termasuk mangsa dalam keadaan kritikal. Ia bukan jumlah yang sedikit. Allahuakbar, kejamnya memperlakukan nyawa manusia seolah mainan.

Pengganas kemas bersenjata beraksi bagaikan pengecut, menindas mereka yang langsung tidak bersenjata secara tiba-tiba. Malahan, mangsa yang ditembak pengganas khabarnya mesra menyapanya dengan salam sejahtera sebelum ditembak. Nilai kemanusiaan bagai dihiris-hiris. Nyawa diperkotak-katikkan.

Sebagaimana yang sedia maklum, rumah ibadah adalah satu tempat kemuliaan bagi semua agama. Bahkan dalam peperangan yang dibenarkan sekalipun, agama Islam tetap menggariskan tatacara panduan yang bersyaratkan tiada keruntuhan rumah ibadah, tidak mencederakan golongan yang lemah termasuk wanita dan kanak-kanak. Apatah lagi peperangan di dalam rumah ibadah, ia suatu yang terkutuk. Begitulah Islam, agama kebenaran yang penuh adab dan kasih sayang.

Kewujudan Islamofobia

“Pengganas cuba untuk memecahkan kita sebagai sebuah negara dengan idealogi jahatnya tetapi kita tunjukkan bahawa New Zealand tidak boleh dipecahkan.”

Itu antara kata-kata Imam Gamal, Imam Masjid Al-Noor yang dipetik daripada khutbah Jumaat di Bandar Christchurch. Khutbah Jumaat pada 22 Mac 2019 itu adalah yang khutbah Jumaat pertama disiar secara langsung di bumi New Zealand dan sungguh menyentuh hati.

Imam Gamal juga ada menyebut tentang Islamofobia. Kewujudan sentimen Islamofobia benar-benar membunuh dan memecah belahkan kesatuan. Diskriminasi yang berlaku akan menimbulkan kebencian. Contohnya yang pernah terjadi di Kanada dan Norway.

“Islamofobia tidak ketara di bumi New Zealand maka insiden ini benar-benar mengejutkan” kata rakyat Malaysia yang tinggal di sana.

Istilah Islamofobia pernah popular di New York akibat peristiwa 11 September 2001 yang lalu. Islamofobia disifatkan prasangka kepada orang muslim dan agama Islam sendiri.

Badan Amanah Runnymede pula merujuk istilah Islamofobia sebagai satu perasaan takut dan benci kepada golongan Islam. Mereka menganggap nilai Islam adalah rendah dan golongan Muslim harus dipulaukan.

Insiden serangan pengganas yang berlaku di Chrstchurch juga tidak mustahil jika dikaitkan dengan unsur Islamofobia. Pengganas itu wujud dan sangat membahayakan. Namun kejadian ini semoga boleh memberi kefahaman bahawa pengganas itu tiada agama, tiada bangsa dan kaum. Ia boleh berlaku dalam mana-mana masyarakat sekalipun.

Perkara-perkara seperti perkauman, teroris, diskriminasi dan Islamofobia adalah satu hal yang tidak berbentuk toleransi dan bersifat menindas. Perkara ini benar harus dibendung bagi menjamin kesejahteraan sesebuah negara.

Manusia Dan Kemanusiaan

Betapa kemarahan dan kebencian daripada seorang lelaki berkulit putih terhadap Islam telah menyebabkan puluhan orang Islam yang tidak berdosa dibunuh di dalam masjid. Lalu Jumaat 22 Mac menyaksikan pula perasaan belas dan ihsan ribuan rakyat New Zealand dari pelbagai agama dan bangsa. Bahkan seluruh dunia bersimpati.

Pengganas pasti mempunyai motif dan agenda yang tersendiri. Mungkin sengaja mahu melaga-lagakan masyarakat dengan elemen keagamaan. Mahu masyarakat saling berbalas serangan atau semakin membenci. Namun, segala yang Allah izinkan berlaku pasti ada terselit jua hikmahnya.

New Zealand yang merupakan antara negara paling bahagia di tangga ke lapan dalam senarai dunia, mengambil tindakan pantas, bangkit berdiri membela komuniti Islam. Mereka berjaya membuktikan bahawa New Zealand tidak membenci Islam malah menunjukkan kasih sayang dan sokongan moral.

Siapa sangka, tragedi berdarah itu membawa kesatuan hati kepada rakyat New Zealand. Masjid yang selama ini hanya dijejak oleh golongan muslim sahaja kini menerima kunjungan daripada mereka yang berlainan agama. Masyarakat Bandar Christchurch yang berbilang bangsa dan agama turun memberi penghormatan terakhir dan menunjukkan kesedihan terhadap apa yang menimpa.

Dalam keadaan masih trauma, ada segelintir umat Islam yang memberanikan diri, menunaikan solat seperti biasa di hadapan masjid Al-Noor. Sayu dan terharu dengan keharmonian jiwa rakyat New Zealand termasuk bukan muslim yang sanggup berdiri mengelilingi kawasan masjid sebagai tanda melindungi jemaah Islam yang sedang solat. Tubuh mereka sendiri menjadi benteng membentuk pagar mengelilingi masjid.

Secara tidak langsung, tragedi hitam ini meninggalkan hikmah di mana ramai rakyat New Zealand bukan muslim mula berminat untuk mengetahui tentang agama Islam. Mereka memerhatikan Muslim bersolat dan menjejak kaki ke masjid untuk mendekati, menunjuk empati, menunjukkan kesatuan dan pertolongan. Hubungan kemasyarakatan yang sebegitu rapat benar-benar menakjubkan.

Penuh barisan jambangan bunga yang diletak di pagar masjid sebagai tanda solidariti. Tidak kurang ada yang menangis berdukacita dan marah terhadap tindakan pengganas. Ya, kerana ini bukan semata isu agama tetapi ia isu kemanusiaan. Suasana yang menyentuh jiwa itu sekaligus membuktikan bahawa perpaduan dan kasih sayang itu tiada limitasi agama dan bangsa.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut turun padang menunjukkan solidariti kepada kaum Muslim negara itu. Laungan Azan semasa solat Jumaat diperdengarkan di semua stesen radio dan televisyen New Zealand buat pertama kalinya. Hal ini sebagai tanda sokongan agar umat Islam kembali ke Masjid dengan rasa aman.

Walaupun berbeza pegangan, perpaduan di New Zealand benar-benar menunjukkan jutaan penduduknya penuh dengan cinta dan kasih sayang. Dalam satu perhimpunan lain di sana, bacaan Al-Baqarah dialunkan dan didengari oleh masyarakat Bandar Christchurch.

Sempena memperingati hari berkabung juga, Frank Film sempat merakam wajah-wajah netizen yang berdukacita atas kejadian ini di dalam filem berdurasi 2 minit 38 saat bertajuk Faces At The Flowers.

Sesungguhnya Allah lah yang menjentik rasa simpati dalam hati mereka. Semoga tempias kejadian gelap ini menjadi benih kesuburan Islam di bumi New Zealand dan menambah keimanan seluruh umat Islam.

Kekuatan Umat Islam

Justeru itu, umat Islam perlu sentiasa berwaspada dan cakna terhadap perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti agama. Tidak keterlaluan jika dikatakan ini adalah agenda golongan anti Islam. Musuh Islam sentiasa siap sedia dengan agenda yang tersembunyi dan menyusup senyap untuk membinasakan. Nauzubillahiminzalik.

Galaslah tugas kita sebagai umat Islam, untuk menyebarkan dan mempromosikan agama Islam sebagai sebuah agama kedamaian dan penuh berkasih sayang.

Dalam hal ini, Mufti wilayah, Sohibus Samahah DR. Zulkifli Al-Bakri menegaskan, kita tidak boleh berkompromi terhadap apa sahaja bentuk ekstrimis dan keganasan kerana natijahnya cukup dahsyat. Sebesar mana pun usaha zalim mereka, kita ada Allah Yang Maha Berkuasa di atas segala perkara. Semoga ujian-ujian yang mendatang menambahkan keimanan di hati.

Jangan pernah lupa, Islam itu agama yang mengajar tentang suatu cara hidup yang lengkap. Betapa sempurnanya Islam apabila kedatangannya mampu mengangkat maruah manusia, memberi solusi dan mengajar ummah untuk kehidupan yang lebih baik. Daripada sekecil-kecil perkara seperti hal-hal rutin seharian sehingga kepada perkara-perkara besar yang melibatkan urusan seluruh dunia.

Tatkala kita diuji dengan kecelakaan yang menimpa saudara seislam, rupanya bukan hanya tangisan dan rasa sedih sebagai tanda kita bersama mereka. Tidak dapat dinafikan, beruntungnya mereka yang mampu menyumbang tenaga dan harta untuk agama. Namun, ada satu pelaburan yang tidak perlu kepada walau satu sen modal iaitu doa.

Doa itu adalah Qunut Nazilah. Biar bergema kita lantunkan bersama, biar sepenuh jiwa raga kita menghayati maksudnya, biar menang Islam ke atas musuh-musuh yang membinasakan. Semoga seluruh umat Islam secara individu mahupun berjemaah mampu untuk istiqomah melazimi Qunut Nazilah.

Amalan doa yang diajarkan, menunjukkan solidariti dan rasa peduli kita kepada umat Islam walau di mana sahaja. Jarak bukanlah masalah kepada orang Islam kerana kita selamanya dekat dengan ikatan agama yang satu .




No comments:

Powered by Blogger.