Ads Top

Betul Ke Tak Boleh Tidur Selepas Subuh?

Tidur selepas Subuh sering dikaitkan dengan sikap negatif seperti malas dan tidak bersemangat untuk memulakan hari yang baru. Dalam masyarakat Melayu pula, orang-orang tua dahulu sangat pantang dengan tindakan anak-anak dara dan teruna yang tidur selepas Subuh dan bangun setelah matahari naik. Kata mereka, “rezeki tak masuk!”.

Namun sebenarnya tidur selepas Subuh bukanlah sampai jatuh hukum haram. Malah menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, tidak ada dalil nas yang jelas menghalang tidur selepas Subuh, namun terdapat banyak galakan untuk menghidupkan amalan selepas Subuh. Nabi SAW pernah bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ.

‏‏

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar angkatan tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan) Riwayat Abu Daud (2606) – Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih

Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah menghidupkan pagi selepas subuh dengan duduk berzikir sehingga terbitnya matahari. Daripada Jabirah bin Samurah RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الفَجْرَ قَعَدَ فِي مُصَلَّاهُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

Maksudnya: Adalah Nabi SAW apabila selesai solat Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit.
– Hadis riwayat Al-Tirmizi (585) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan sahih.

Manakala sebahagian ulama salaf (ulama pada zaman lampau) pula memandang perbuatan ini sebagai perbuatan yang makruh. Mereka tidak menyukai tidur selepas solat Subuh.

Ibnul Qayyim ada berkata bahawa, “Empat hal yang menghambat datangnya rezeki adalah : tidur di waktu pagi, sedikit solat, bermalas-malasan dan berkhianat.” (Kitab Zaadul Ma’ad, 4/378)

Namun, jika pekerjaan seseorang itu memerlukannya berjaga pada waktu malam, dan merasakan bahawa tidur sekejap selepas Subuh diperlukan supaya boleh melakukan aktiviti selepas itu dengan lebih berkualiti, maka tidak mengapa.

Kesimpulannya, memanfaatkan waktu pagi adalah sangat digalakkan. Rasulullah SAW sendiri mendoakan bagi umatnya keberkatan pada waktu pagi. Malah orang yang awal memulakan perniagaan serta berusaha memajukan hidup pada permulaan hari pastinya akan lebih berjaya.




No comments:

Powered by Blogger.