Ads Top

Aku Mahu Berubah Kerana Allah

Sebagai manusia, kita semua tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan namun kesalahan dan kesilapan itu tidak harus dijadikan alat untuk kita terus berada di dalam maksiat dan dosa.

Sebaliknya harus mencuba sedaya upaya untuk keluar dan menghindari perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan. Allah S.W.T berfirman di dalam yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri yang mengubah keadaan diri mereka sendiri”Surah ar-Ra’d : 11

Perubahan itu perlu bermula di dalam diri kita. Kitalah yang harus melakukan perubahan. Allah sentiasa memberi peluang dan ruang untuk kita bertaubat dan juga kembali kepadaNya

Lalu bagaimanakah caranya untuk kita bangkit daripada dosa dan kesilapan yang lalu?

#1- Bertaubat Kepada Allah

Setiap hamba yang melakukan kesalahan harus lah segera untuk bertaubat kepada Allah. Allah sentiasa membuka pintu taubat bagi setiap hambaNya yang ingin kembali kepadaNya.

Tidak sesekali Allah akan menolak taubat seseorang hamba ketika mana hambaNya itu ikhlas dan benar-benar ingin kembali padaNya.

Bertaubat tidak cukup hanya sekadar lisan tetapi perlu diiringi oleh tekad yang kuat untuk tidak mengulanginya serta haruslah benar-benar menyesali dan membenci perbuatan dosa yang dilakukan. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang telah mengerjakan keburukan, kemudian setelah itu mereka bertaubat dan beriman, nescaya setelah itu Tuhan Mu sungguh maha pengampun lagi maha penyayang”Surah Al A’raf : 153

Allah turut berfirman yang bermaksud:

“Tetapi barangsiapa bertaubat setelah melakukan kezaliman dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang”Surah Al Maidah : 39

#2- Mendekatkan Diri Dengan Orang-Orang Yang Baik

Sifat manusia itu sendiri sememangnya memerlukan kepada peneman dan juga seseorang yang berada di sampingnya dan sememangnya amat sukar untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan sekiranya masih lagi dikelilingi oleh suasana penuh dosa.

Oleh itu, cubalah mencari ruang untuk keluar daripada suasana tersebut dan duduklah di dalam suasana yang baik dan berkumpul lah bersama mereka yang sentiasa di dalam lingkungan kebaikan

Bersahabatlah dengan sahabat yang sentiasa memberikan motivasi dan galakan untuk kita melakukan perubahan ke dalam diri kita.

Sahabat yang baik ialah mereka yang mampu menasihati dan mengajak kita ke arah kebaikan dan mampu membimbing kita ke arah ketaqwaan kepada Allah Al Habib Salim Bin Abdullah As Syatiri berkata di dalam kalamnya iaitu :

“Perkumpulan yang baik akan menjadikan engkau baik meskipun engkau adalah orang yang buruk. Dan perkumpulan dengan yang buruk akan menjadikan engkau buruk meskipun engkau adalah orang yang baik”

#3- Sentiasa Berdoa Kepada Allah Dengan Keyakinan

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepada mu tentang Aku, maka jawablah bahawasanya aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada Ku. Maka hendaklah mereka memenuhi segala perintahku dan hendaklah mereka beriman kepada Ku agar mereka selalu berada di dalam kebenaran” Surah Al Baqarah : 186

Janganlah berputus asa di dalam berdoa. Sebaliknya sentiasalah berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala jalan untuk kita kembali kepadaNya.

Hadirkanlah hati ketika berdoa dan yakinlah bahawa Allah akan sentiasa mengabulkan doa-doa yang baik dan tulus ikhlas daripada hamba-hambaNya lebih-lebih lagi doa daripada seseorang yang ingin kembali pada Allah

#4- Sibukkan Diri Dengan Aktiviti Dan Pekerjaan

Masa yang kosong dan terluang akan menjuruskan kita ke arah melakukan perkara yang sia-sia. Oleh itu, sibukkan lah diri dengan melakukan segala aktiviti dan pekerjaan yang mendatangkan faedah dan juga manfaat untuk diri.

Carilah hobi yang disukai dan lakukanlah bersama rakan-rakan ataupun keluarga. Luangkanlah masa yang ada dengan hobi yang disukai dan bermanfaat jadi dengan itu kita akan dapat mengelakkan diri kita daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah. Kata Imam Al Syafie:

“Sibukkan dirimu (nafsumu) dengan kebaikan. Jika tidak ia akan sibukkanmu dengan Kejahatan”Qimah Az-Zaman Inda’ Al Ulama 1/25

#5- Menjauhi Perkara Menjuruskan Kepada Kisah Silam

Jauhilah perkara-perkara yang akan membawa kepada melakukan dan mengingati maksiat dan dosa yang pernah dilakukan.

Sekiranya sebelum ini anda seorang penggemar pornografi dan sentiasa menonton pornografi secara bersendirian di dalam bilik yang gelap.

Oleh itu ambil lah langkah untuk tidak membiarkan diri anda bersendirian di dalam bilik. Jika berada di dalam bilik bersendirian, maka keluarlah dari bilik tersebut dan duduklah bersama rakan-rakan dan ahli keluarga yang lain.

#6- Menghadiri Majlis Ilmu Dan Ceramah Keagamaan

Usahakan untuk sentiasa menghadiri majlis ilmu dan juga ceramah keagamaan. Kerana dengan menghadiri majlis ilmu kita akan sentiasa mendapat peringatan dan juga nasihat yang berguna yang boleh diaplikasikan di dalam kehidupan.

Majlis ilmu juga diibaratkan sebagai taman-taman syurga. Padanya ada ketenangan dan juga kebahagiaan bagi hati. Allah mengampuni dan merahmati mereka yang hadir ke majlis ilmu.

Oleh itu, carilah kebahagiaan dan ketenangan di dalam majlis ilmu. Semoga dengan manfaat yang kita dapat daripada majlis ilmu, maka kita akan merasa malu dan benci akan setiap maksiat dan dosa.

Bagaimana Kisah Silam Boleh Membantu Kita Menjadi Yang Lebih Baik?

Kisah silam yang buruk tidak akan menjadikan kita orang yang buruk selama-lamanya sekiranya kita bangkit dan berusaha meninggalkan perbuatan tersebut.

Usah diingatkan kembali perbuatan dosa yang pernah dilakukan sebaliknya teruskan berbuat kebaikan. Lakukanlah segala perkara yang disukai dan kembangkanlah bakat yang sedia ada dan fokuslah pada kejayaan masa hadapan

Pernah melakukan kesilapan tidak bermakna kita tidak mempunyai peluang untuk menjadi orang yang lebih baik. Kadang-kadang dengan kesilapan itulah kita boleh menjadi orang yang terbaik.

Contohnya kita akan menjadi orang yang lebih memahami orang lain, lebih kasih dan cintanya pada mereka yang juga pernah melakukan kesilapan kerana kita mengetahui bagaimana perasaannya ketika kita juga pernah berada pada situasi itu pada masa dulunya.

Oleh itu, belajarlah daripada kesilapan lalu dan maafkanlah diri sendiri di atas segala apa yang berlaku, pandanglah ke hadapan dan teruskan hidup serta ingatlah Allah sentiasa bersama.

Masa silam bukan hukuman tetapi pengajaran untuk menjadikan kita hamba Allah yang lebih baik.

Semoga perkongsian ini memberikan seribu satu manfaat untuk kita sama-sama mencari kebaikan dan kembali pada Allah.




No comments:

Powered by Blogger.