Ads Top

6 Pesanan Rasulullah Mengenai Kepimpinan

Lebih 1400 tahun telah berlalu, namun pesanan Rasulullah S.A.W masih kekal dan segar sehingga ke hari ini. Pesanan dan teladan yang ditunjukkan menjadi pegangan dan panduan umat Islam hingga ke akhir zaman.

Pemimpin adalah antara yang disebut oleh Rasulullah S.A.W. Tidak kiralah pemimpin itu dari kalangan mana sekalipun. Pemimpin dari aspek ketua keluarga, pemimpin dalam negara bahkan menjadi pemimpin kepada diri sendiri.

Pesanan Rasulullah S.A.W bukan pesanan kosong tetapi ia mempunyai penuh makna dan hikmah kepada kita. Kita sebagai umat Baginda seharuslah mengikuti dan mematuhi segala yang disampaikannya. Kerana sabdanya berpandukan wahyu bukan nafsu.

Artikel kali ini akan berkongsi beberapa hadis Rasulullah yang berkisarkan tentang kepimimpinan. Semoga pesanan Baginda ini menjadi pegangan dalam kehidupan kita semua supaya selamat berlayar di dunia dan juga di akhirat.

Hadis Pertama

Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya kalian akan bersungguh-sungguh menginginkan jawatan, sedangkan jawatan itu akan menjadi sesalan pada hari Kiamat (jika tidak dijalankan dengan baik).”Riwayat Imam al-Bukhari

Hadis Kedua

Daripada Tamim ad-Dari R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“‘Agama itu adalah nasihat.’ Kami (para sahabat) bertanya, ‘Kepada siapa, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Kepada Allah (dengan mentaatiNya), kitab Allah (dengan menuruti kandungannya), RasulNya (dengan mengikuti suruhannya), para pemimpin orang-orang Islam (dengan menegur dan menasihatinya), dan orang awam dalam kalangan mereka (dengan amar makruf, nahi mungkar).’”Hadis Riwayat Imam Muslim

Hadis Ketiga

Daripada Ibnu Umar R.HUMA, beliau berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Setiap orang daripada kalangan kalian adalah penjaga yang amanah dan setiap kalian juga akan bertanggungjawab ke atas orang bawahannya. Seorang pemimpin adalah penjaga yang amanah dan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Seorang suami adalah penjaga yang amanah dalam keluarganya dan bertanggungjawab ke atas bawahannya. Seorang isteri adalah penjaga yang amanah dalam rumah tangga suaminya dan bertanggungjawab ke atas jagaannya. Seorang pelayan adalah penjaga yang amanah pada harta majikannya dan bertanggungjawab ke atas barang jagaannya. Setiap orang daripada kamu adalah penjaga yang amanah dan bertanggungjawab ke atas orang bawahannya.”Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim

Hadis Keempat

Daripada Ma’qil bin Yasar R.A., beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seorang hamba yang diamanahkan oleh Allah ke atas sekumpulan manusia, lalu dia mati sedangkan dia melakukan penipuan terhadap mereka, melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.”Hadis Riwayat Imam al-Bukhari

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Tidaklah seorang ketua yang menguruskan urusan-urusan kaum Muslimin, kemudian dia tidak bersungguh-sungguh (dalam memberi layanan) dan tidak menasihati mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama mereka.”Riwayat Muslim

Hadis Kelima

Daripada Abdullah bin Amr’ R.HUMA., beliau berkata, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil akan berada di atas tempat-tempat yang tinggi daripada cahaya di sisi Allah ialah: mereka yang berlaku adil dalam menetapkan keputusan, keluarga mereka, dan jawatan yang mereka pegang.”Riwayat Imam Muslim

Hadis Keenam

Daripada Abu Dzar R.A;

“Saya berkata, ‘Wahai Rasulullah, mengapa tuan tidak mengangkat saya sebagai penjawat?’ Baginda menepuk bahu saya, kemudian bersabda, ‘Wahai Abu Dzarr, sesungguhnya kamu adalah seorang yang lemah (dalam pengurusan), sedangkan sesungguhnya ia (jawatan) merupakan suatu amanah, dan sesungguhnya ia adalah kehinaan dan penyesalan pada hari Kiamat, kecuali bagi sesiapa yang memangkunya dengan benar dan menunaikan kewajipannya pada jawatan tersebut.
Hadis Riwayat Imam Muslim

Pengajaran

1. Setiap pemimpin akan bertanggungjawab atas segala yang dilakukannya di atas dunia.

2. Di hari kiamat, ada pemimpin yang menyesal kerana tidak melakukan tugasannya dengan baik. Oleh itu, setiap pemimpin jangan memandang ringan dengan tanggungjawab yang digalas. Jalankan tugas dengan sebaiknya.

3. Pemimpin juga tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Maka pemimpin tersebut perlu diberi nasihat dan teguran. Di samping itu, pemimpin tersebut haruslah berlapang dada menerima teguran dan janganlah merasa hina kerana statusnya sebagai seorang pemimpin.

4. Jauhilah sifat zalim kerana sifat itu akan membawa masalah dan kesusahan di dunia dan lebih-lebih lagi di hari akhirat.

5. Allah mencintai dan mengasihi pemimpin yang adil dan amanah.

6. Sifat adil akan membawa banyak kebaikan dalam sesebuah negara.

Rujukan:
Ringkasan Riyadhus Shalihin Imam an-Nawawi (Karangan: Syeikh Yusuf Bin Ismail An-Nabhani)




No comments:

Powered by Blogger.