Ads Top

5 Budaya Hidup Yang Berkat (Bahagian 1)

Idea tentang ‘budaya hidup yang berkat’ atau ‘barakah culture’ telah diperkenalkan secara khusus sebagai satu cabang teori atau gaya hidup oleh Mohammed Faris, pengasas bagi laman web TheProductiveMuslim. Ia satu cara hidup yang mementingkan keberkatan dalam pelbagai aspeks dan lapangan kehidupan yang akhirnya akan memberikan kesan dalam produktiviti hidup seorang Muslim.

Dalam artikel yang lalu, saya sudah menerangkan dengan panjang lebar apakah maksud keberkatan dan bagaimana untuk menjemput keberkatan dalam kehidupan seharian. Dalam artikel kali ini pula, saya akan menerangkan tentang beberapa gaya hidup yang boleh dipraktikkan berkait juga dengan keberkatan.

#1- Fokus Kepada Allah vs Ego Diri

Budaya hidup yang berkat menekankan tentang prioriti fokus kepada Allah berbanding ego diri dalam kehidupan seharian. Kadang-kadang, banyak perkara yang kita mahukan, ada hal yang tidak penting atau tidak perlu, malah ada juga hal-hal yang melanggar batas dan garisan yang telah ditetapkan oleh agama. Allah berfirman dalam satu ayat yang bermaksud:

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (Surah Al-Furqan 25:43)

إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِ الْأَعْلَ
Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi;

وَلَسَوْفَ يَرْضَىٰ
Dan demi sesungguhnya, ia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya). (Surah Al-Lail 92:20-21)

Mari kita periksa semula perkara yang dilakukan setiap hari. Adakah apa yang kita lakukan hanya menepati apa yang diri sendiri mahu atau yang Allah sebenarnya mahu? Berapa banyak hal yang kita buat menepati apa yang Allah sarankan? Bagaimana agaknya jika kita mula memutarkan kompas hidup dan fokus kepada Allah berbanding ego diri sendiri?

#2- Matlamat Dipandu Oleh Kesan Yang Memberi Impak vs Kepentingan Peribadi (Diri Sendiri)

Budaya hidup yang berkat juga sebenarnya mempunyai matlamat yang luas di luar kepentingan diri sendiri. Perkara yang ingin dicapai bukan hanya manfaat buat diri tetapi manfaat kepada orang lain seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat keseluruhannya.

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;

وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ
Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); (Surah An-Najm 53:40-41)

Kita sebenarnya boleh meneliti sama ada apa yang dilakukan disebabkan kepentingan perkara itu sendiri ataupun kerana kepentingan peribadi. Kepentingan peribadi di sini boleh dikaitkan dengan kemahuan kepada pangkat, nama, kemasyhuran, dan juga harta yang banyak. Sebaliknya kepentingan perkara tersebut berkait dengan manfaat yang dapat disebarkan kepada orang ramai.

#3- Fokus Akhirat vs Fokus Dunia

“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah As-Syura 42:20)

Allah sebenarnya memberi kita pilihan, sama ada kita mahu mendapatkan manfaat dunia sahaja atau akhirat atau boleh juga kedua-duanya!

Bagaimana? Iaitu dengan tawakkal. Dalam budaya hidup yang berkat, kita mementingkan kualiti dalam setiap perkara yang dilakukan. Maka usaha dan tawakkal adalah dua komponen penting dalam memperoleh hasil yang berkat, berkualiti dan terbaik.

“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya..” (Surah At-Thalaaq, 65:3)

#4- Fokus Kepada Keredaan Allah vs Fokus Kepada Hasil

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramal lah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan” (Surah At-Taubah 9:105)

Dalam rutin hidup seorang Muslim, kita mempunyai aspek spiritual yang perlu dipenuhi bagi mendapat keredaan Allah. Syaratnya ialah niat yang betul, ikhlas dan juga berusaha.

#5- Allah Yang Berkuasa Mengawal Urusan vs Diri Sendiri Yang Mengawal Urusan

Nilai kelima yang diketengahkan dalam budaya hidup yang berkat ialah dengan mempunyai mindset bahawa Allah yang berkuasa mengawal urusan. Di sebalik pelbagai usaha yang dibuat untuk mendapatkan sesuatu, kita tahu bahawa yang memegang tali takdir dan urusan hidup sebenarnya adalah Allah dan bukan diri sendiri.

Kita mempunyai kudrat untuk melakukan sesuatu. Itulah anugerah yang diberi oleh Allah kepada semua manusia, namun di akhirnya yang menetapkan sesuatu itu berlaku tetap lah Allah.

أَفَرَأَيْتُم مَّا تَحْرُثُونَ
“Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam?

أَأَنتُمْ تَزْرَعُونَهُ أَمْ نَحْنُ الزَّارِعُونَ
Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya” – (Surah Al-Waqiah 56:63-64)

*Artikel akan bersambung ke bahagian yang kedua.




No comments:

Powered by Blogger.