Ads Top

4 Strategi Bagaimana Memanfaatkan Ramadan Yang Bakal Tiba

Tinggal seminggu sahaja lagi Ramadan akan menjelma dan auranya makin terasa. Masing-masing pasti sedang melakukan ‘countdown‘ sehari demi sehari. Di sesetengah masjid, imam mula membiasakan bacaan surah yang panjang dan mengulang-ulang bacaan bagi persediaan Solat Terawih.

Kebanyakan daripada kita pula mula mencongak-congak apakah amalan istimewa yang ingin dilakukan pada bulan Ramadan. Sebelum kita bercakap tentang target, amalan ekstra dan sebagainya, mari kita fahami dahulu empat strategi yang boleh digunakan untuk melalui Ramadan dengan penuh produktiviti.

#1- Senaraikan Perkara Yang Ingin Anda Fokuskan

Menjelang sahaja bulan Ramadan, memang banyak informasi serta saranan amalan-amalan yang boleh dilakukan. Bagi memudahkan anda menyusun aktiviti anda sendiri, apa kata senaraikan perkara yang benar-benar ingin dilakukan di bulan Ramadan contohnya; beriktikaf, mengaji, tidak meninggalkan sahur, bersedekah dan sebagainya.

#2- Bahagikan Mengikut Topik

Jika perlu pecahkan lagi senarai perkara yang ingin dilakukan, maka anda boleh menggunakan kemudahan aplikasi Notepad, Evernote atau Trello di telefon pintar. Di situ anda boleh membahagikannya kepada ‘folder‘ yang lebih spesifik seperti: Hukum berkaitan puasa, belajar mengaji sehinggalah kepada perkara yang melancarkan rutin anda pada bulan puasa seperti senarai menu untuk sahur dan berbuka.

#3- Buat Target Yang Spesifik Untuk Aktiviti Bacaan Al-Quran

Bulan Ramadan memang disebut dalam hadis Nabi SAW sebagai ‘bulan Al-Quran’. Diceritakan bahawa apabila tiba sahaja bulan Ramadan, para sahabat akan lebih menfokuskan aktiviti bacaan Al-Quran berbanding aktiviti lain.

Justeru, penulis merasakan bahawa perlunya kita meneliti apakah target kita berkaitan Al-Quran. Ada orang fokusnya ingin menghabiskan bacaan seluruh Al-Quran sepanjang sebulan berpuasa. Ada pula yang ingin belajar tentang tajwid dan memperbetulkan bacaan.

Kedua-duanya sudah pasti mempunyai rentak yang berbeza. Bagi yang ingin menghabiskan bacaan Al-Quran, mereka mungkin lebih laju membaca berbanding yang memilih untuk belajar tajwid. Pilihlah yang mana paling sesuai dan yang diingini oleh anda. Membaca Al-Quran bukannya satu perlumbaan. Bagi memudahkan anda untuk lebih memahami, disenaraikan di bawah beberapa pilihan untuk anda:

1. Mempelajari tajwid dan perbetulkan bacaan Al-Quran.
2. Menghabiskan keseluruhan bacaan Al-Quran.
3. Mendalami, tadabbur dan mempelajari surah tertentu.
4. Menghafal surah.

Tidak salah untuk anda memilih kesemua senarai ini. Yang lebih penting, sesuaikanlah dengan target, masa serta kemampuan anda.

#4- Masukkan Dalam Kalendar

Seperti mana anda sentiasa mencatat apa yang perlu dilakukan pada tarikh-tarikh tertentu dalam kalendar, maka anda juga boleh melakukan hal yang sama pada bulan Ramadan.

Contohnya jika ada ceramah, majlis iftar atau masjid yang ingin anda kunjungi untuk beriktikaf pada bulan Ramadan, anda juga boleh memasukkannya dalam kalendar supaya perancangan lebih tersusun. Hadkan tiga ke empat aktiviti dalam seminggu supaya minggu anda tidak rasa terlalu penuh.

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.” (Surah Al Baqarah 2:185)

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan kemuliaan. Disediakan segala macam kelebihan kepada seluruh umat Islam. Semoga kita menjadi orang yang bijak mengambil manfaat daripada Ramadan yang bakal tiba.




No comments:

Powered by Blogger.