Ads Top

Pengarah Ayat-Ayat Cinta Bikin Filem Tentang Kisah Hidup Wak Doyok

Populariti yang diraih ikon fesyen, Wak Doyok di Indonesia akhirnya membawa tuah kepadanya apabila pengarah filem blokbuster Indonesia, Ayat-Ayat Cinta iaitu Hanung Bramantyo bakal mewujudkan sebuah filem berkisarkan biografi kehidupan selebriti itu.

Menurut Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Md Nor, 40, dia berasa terharu dengan kesudian pihak produksi dari negara seberang yang mahu memfilemkan kisah hidupnya bagi tontonan orang ramai.

“Ketika diberitahu yang pihak mereka mahu menghasilkan filem tentang kehidupan saya, saya rasa cukup terharu. Mereka beritahu kepada saya yang mereka ada buat tinjauan di kalangan peminat di sana tentang selebriti mana di Malaysia yang mereka mahu saksikan tentang kisah hidup mereka.

“Nama saya ada dalam ‘top three’ termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Amy Search. Akhirnya, selepas habis survey itu, kebanyakan dari mereka mahu melihat kisah kehidupan saya.

“Saya pun tidak sangka mungkin populariti saya tumbuh di sana disebabkan saya menjadi duta kopi Luwak di sana. Di mana-mana terpampang muka saya di billboard jalan raya besar di sana,” katanya kepada KopiPlanet.com

Wak Doyok ditemui pada majlis sidang media Karnival Bling Bling Tour 2019 yang diadakan di Embassy, The Starling Mall, Damansara semalam.

Menurut Wak lagi, pihak produksi turut memberi kebebasan kepadanya untuk memilih aktor yang bakal membawakan wataknya di layar perak.

“Saya pilih pelakon Alex Abbad bagi membawakan watak diri saya. Saya pilih dia disebabkan dia ada jambang dan mempunyai ketinggian seperti saya. Untuk watak saya ketika waktu remaja saya masih lagi mencari siapa pelakon yang sesuai untuk menggalas peranan itu,” ujarnya lagi yang akan berkongsi kisah kehidupannya dari kecil hingga sekarang sebagai intipati jalan cerita filem itu nanti.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Wak akan kembali ke set penggambaran filem Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof pada bulan hadapan. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.