Misha, Sarah & Noryn Aziz Tak Nak ‘Overshadow’ Satu Sama Lain
Menjelang beberapa minggu sahaja lagi konsert gabungan tiga diva iaitu Soul Sisters, ketiga-tiga penyanyi yang terbabit iaitu Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz berkata mereka tidak akan saling ‘membunuh’ satu sama lain dalam konsert itu nanti.
Menurut Misha, menerusi latihan yang sudah dijalankan sejak dua bulan lalu, ketiga-tiganya sudah mengetahui peranan masing-masing dalam menjayakan konsert berskala besar itu.
“Konsert ini bukan bertujuan untuk berlawan di antara satu sama lain, sebab itu ia dinamakan Soul Sisters. Ia akan gagal kalau seorang atau dua orang sahaja yang menyerlah. Jadi, kami mesti bersama dan saling bantu-membantu serta tiada istilah nak ‘overshadow’ sesiapa.
“Kami dah ada keserasian serta faham karakter suara masing-masing dan tahu tanggungjawab dalam nak menjayakan sesuatu persembahan itu. Muzik itu menyatukan kami walaupun cara nyanyian kami berbeza-beza,” kata Misha kepada KopiPlanet.com
Misha berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Soul Sisters yang berlangsung di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur.
Menerusi sidang media itu juga diumumkan beberapa buah lagu yang akan dipersembahkan mereka, antaranya lagu ‘cover’ Lady Marmalade, Listen, Bang Bang, Mulanya Di Sini, Khayalan serta rangkaian lagu hits masing-masing seperti Sampai Bila, Semakin dan Fantasi O Realiti.
Mereka juga bakal membuat segmen tribute kepada kumpulan Feminin dengan menyampaikan tiga lagu popular kumpulan tersebut iaitu Kini, Untukmu dan Rindu.
Selain itu, bagi menambah baik lagi mutu dan kawalan vokal mereka, ketiga-tiga penyanyi ini juga menjalani kelas bersama guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat.
Sementara itu, penganjur konsert, Edd Razhe berkata jualan tiket sangat menggalakkan dan kini sebanyak lebih daripada 70 peratus tiket telah dijual.
“Sambutan sangat menggalakkan. InsyaAllah saya yakin ia akan habis terjual dalam tempoh 20 hari sebelum menjelang konsert ini. Selain Feminin, konsert ini juga akan membuat tribute kepada barisan penghibur popular zaman dahulu seperti Fairuz Hussein, Famiza, Freedom, Anita Sarawak dan Black Dog Bone.
“Konsert ini akan diserikan dengan barisan lapan penyanyi latar yang disulami koreografi yang jarang diketengahkan. Saya juga terharu keraaa mendapat bantuan daripada mereka yang berpengalaman terutama Pengarah Muzik, Datuk Nasser Abu Kassim dan Pengarah Konsert iaitu Jennifer Thompson,” ujar Edd.
Soul Sisters yang dianjurkan Edd Razhe Entertainment bakal diadakan selama dua hari iaitu pada 5 dan 6 April ini bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya Kuala Lumpur.
Tiket-tiket konsert masih dijual pada harga RM755 (Meet & Greet) RM555 (Diamond), RM335 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) dan boleh didapati menerusi laman web www.airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com
The post Misha, Sarah & Noryn Aziz Tak Nak ‘Overshadow’ Satu Sama Lain appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: