Ego Dan Sombong : Iblis Diusir Dari Syurga
Allah S.W.T telah menciptakan Adam A.S dari tanah dan lumpur. Setelah selesai bentuknya, Allah meniupkan roh ke dalamnya dan terciptalah ia menjadi manusia yang sempurna.
Kemudian Allah S.W.T memerintahkan kepada para malaikat untuk bersujud kepada adam sebagai tanda penghormatan kepadanya. Namun iblis membangkang dan enggan untuk bersujud kepada nabi adam.
Iblis mengingkari perintah Allah untuk bersujud kepada nabi adam kerana dia merasa bahawa dialah yang paling mulia dan lebih tinggi darjatnya daripada adam.
Iblis mengatakan dia lebih mulia kerana dia telah diciptakan daripada api sedangkan adam daripada tanah dan lumpur.
Kebanggaannya dengan dirinya telah mengakibatkan dia merendah-rendahkan makhluk Allah yang lain. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
“Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat “tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam, lalu mereka sekaliannya tunduk dan memberi hormat melainkan Iblis, ia enggan dan takabbur dan menjadilah ia termasuk golongan yang kafir “Surah al Baqarah : 34
Allah turut berfirman yang bermaksud :
“Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada para malaikat “sujudlah kamu kepada adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis, dia adalah dari golongan jin, maka ia mendurhakai perintah rabbnya”Surah al kahfi : 50
Kerana ego dan sombong, iblis tidak mahu mematuhi perintah Allah dan menderhakainya, Allah S.W.T telah menghukum iblis dengan mengusirnya daripada syurga.
Allah telah melaknat iblis dan tempat kembali iblis tidak lain tidak bukan adalah neraka jahanam. Jadi bagaimana mahu mendidik diri kita untuk sentiasa merendah diri?
Mengenal Allah Dan Ciptaannya
Lihat diri kita, siapa yang menciptakan kita? Allahlah yang menciptakan segalanya dan menciptakan walau diri kita sendiri sekalipun.
Lihatlah keagungan Allah yang Maha Besar. Di dalam setiap satu, Allah jua yang memberikan kudrat dan mentadbir alam ini. Lihat bagaimana Allah menciptakan langit, bulan, bintang, matahari dan planet-planet yang indah dan penuh dengan keajaiban.
Bagaimana Allah menciptakan diri kita ini sebagai manusia dan setiap satu anggota badan berfungsi mengikut aturannya. Tidakkah kita dapat merasakan bahawa diri kita ini amat kerdil?
Selain itu ingatlah bahawa tiada satu pun di dunia ini adalah milik kita. Cuba cari pada diri kita dan sekeliling kita apa yang sebenarnya sememangnya milik kita sendiri? Tiada kan?
Ya tiada. Tiada yang menjadi milik dan kepunyaan diri kita. Justeru untuk apa terus ego dan sombong sedangkan tiada suatupun adalah milik kita kerana semuanya hak hakikinya adalah daripada Allah S.W.T.
Harta, kekayaan dan pangkat yang kita punya sekarang semuanya adalah pinjaman daripada Allah dan bila-bila masa sahaja Allah S.W.T boleh menarik nikmat yang diberikannya kepada kita.
Menelusuri Sikap Kerendahan Hati Rasulullah S.A.W
Sekarang mari telusuri peribadi insan ini. Insan teragung di dalam sejarah peradaban manusia, dia pemimpin, dia punya segalanya namun akhlak dan peribadinya sungguh luar biasa.
Di hatinya penuh dengan kasih sayang dan kecintaan. Insan yang punya segalanya namun dirinya tetap tunduk, tidak pernah bermegah-megah malah cukup rendah diri dan halus budi pekertinya.
Insan ini tidak lain tidak bukan adalah baginda Nabi Muhammad S.A.W. Baginda adalah kekasih Allah. Namun bagindalah insan yang merasai kesakitan yang luar biasa, menanggung keperitan melebihi sesiapa pun di dunia ini.
Rasulullah S.A.W adalah orang yang mulia di sisi Allah namun baginda lah yang sering berlapar sehinggakan mengikat perut dengan batu bagi mengurangkan rasa lapar.
Baginda pemimpin teragung, namun tidurnya bukan di atas tilam yang empuk, bukanlah hidupnya di dalam serba kemewahan, jarang sekali dapurnya berasap kerana tiadanya makanan untuk dimasak. Sedangkan kita? Tiada apa-apa namun lagaknya seperti punya segalanya.
Rasulullah S.A.W kekasihNya yang sememangnya mendapat tempat di syurga. Namun bicaranya lembut dan sopan, kata-katanya tidak kasar apatah lagi menyakiti orang di sekeliling baginda.
Lihat pula cara kita melantunkan ucapan kepada masyarakat di sekeliling. Gaji baru menginjak angka satu ribu namun sering bercakap sinis kepada orang lain.
Rasulullah adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya, kanak-kanak dan perempuan-perempuan serta masyarakat yang berada di sekeliling baginda.
Contohilah akhlak baginda di dalam segala hal dan perbuatan yang kita lakukan. Kerana tiadalah baginda ini melainkan sebaik-baik contoh dan teladan yang dapat dijadikan panduan. Allah berfirman yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang”Surah al Ahzab : 21
Ego dan sombong adalah pilihan kita sendiri. Iblis punya sedikit kelebihan namun dipilihnya jalan untuk menderhakai Allah, manakala Rasulullah S.A.W memiliki segala kelebihan namun pada diri baginda terletaknya segala kerendahan hati dan budi.
Kita sendirilah yang akan mencorakkan diri kita ke arah jalan yang kita ingin tuju. Usahlah ego dan sombong di atas sesuatu yang kita punya kerana apa sahaja yang kita punya sebenarnya bukanlah milik kita yang abadi. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung”Surah Al Isra’ : 37
Orang yang sombong akan mendapat kehinaan dan balasan yang buruk. Allah berfiman yang bermaksud:
“Aku akan memalingkan hati orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari memahami ayat-ayatku yang menunjukkan kekuasaanKU dan mereka yang bersifat demikian, jika mereka melihat sebarang keterangan, mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui”Surah al A’raf : 146
No comments: