Ads Top

‘Submit Proposal’ Dengan Tuhan

Bilakah waktu terakhir sekali kita menghantar kertas kerja kepada bos besar kita? Apakah perasaan kita ketika itu? Bagaimanakah persediaan kita sebelumnya?

Sudah pasti kita akan menyiapkan dengan sepenuh tumpuan dan kualiti yang sangat baik demi mendapat pengesahan atau kelulusan dari bos besar kita betul?

Jadi, bagaimana pula saat kita mengirim doa-doa kepada Allah SWT Yang Maha Agung agar segala permohonan kita dikabulkan?

#1- List-out Your Wants

Ambil sehelai kertas dan sebatang pen. Tulislah seberapa banyak hajat kita yang ingin dicapai dengan izin Allah yang akan mengabulkan permintaan kita. Senaraikan cantik-cantik dan banyak-banyak apa sahaja yang kita berharap kepadaNya dari hal yang paling kecil sehinggalah paling besar. Percayalah! Itu satu langkah permulaan untuk Allah kabulkan permintaan kita. InsyaAllah.

#2- Baik Sangka Dengan Allah

Allah SWT pernah berpesan bahawa DIA sentiasa dalam sangkaan hamba-hambaNya. Kalau kita sangka Allah akan beri pastinya Allah akan beri. Kalau kita sangka Allah susah nak penuhi hajat kita, begitulah hasilnya nanti.

Pokoknya? Teruskan berbaik sangka dengan Allah. Bukan sekarang mungkin esok, tulat, tahun depan, akhirat nanti. Sebab Allah paling tahu apa yang terbaik buat hambaNya. Yang penting, jangan berhenti berharap. Fikir yang baik-baik pasti dapat yang baik-baik.

#3- Dating Cinta

Sentiasalah muhasabah jiwa kita agar selalu merasai keterujaan di saat ingin bermohon hajat dengan Allah SWT. Lebih-lebih lagi di saat tahajud kita. Itulah saat yang paling bermakna dalam hidup. Jika gagal untuk bangun bertahajud, ia adalah sebuah kerugian.

Tak semua orang Allah beri peluang dan nikmat untuk bermunajat kepadaNya di waktu sepertiga malam. Tetapi semua orang berpeluang untuk memulakan agar kita menjadi salah seorang yang dinantikan olehNya. Allah memberi pada yang mahu.

#4- Allah Yang Paling Utama

Didik diri kita agar merasai nikmat kebersamaan dengan Allah setiap masa. Rasa Allah dekat dengan kita, mendengar setiap luahan kita, mengetahui masalah yang kita hadapi, memahami setiap keinginan kita, sentiasa menunggu kita di saat kita bahagia dan derita.

Tiada apa yang lebih penting melainkan Allah sahajalah tempat kita bergantung dalam keadaan apapun. Jika ada masalah carilah Allah yang pertama. Jika sedang bahagia berkongsilah dengan Allah yang utama. Jangan pula bila ditimpa ujian sahaja sepenuh masa dengan Allah, tetapi bila sedang bergembira lekas sahaja hilang. Muhasabah.

#5- Allah Maha Berkuasa Atas Setiap Sesuatu

Adakalanya kita merasakan mustahil dengan sesuatu yang ingin kita capai. Mustahil sebab kita merasakan diri kita sungguh lemah dan tidak berdaya. Padahal Allah SWT telah menciptakan diri kita dengan sebaik-baik kejadian. Paling istimewa daripada makhluk ciptaanNya yang lain.

Maka berbanggalah, mesti ada rasa izzah (kemuliaan) bahawa kita ingin jadi seorang hamba Allah yang optimis, positif dan mempunyai aura yang sangat baik untuk disebarkan kepada orang lain.

Ingatlah bahawa Allah SWT berkuasa melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah boleh sahaja membolak-balikkan hati kita, Allah boleh sahaja memberi kita rezeki yang tak disangka-sangka, Allah boleh sahaja mengaturkan segala-galanya dengan sendirinya. Hebatnya Allah Tuhan kita.

Maka, mengapa mesti ada rasa keraguan dalam hati bahawa kita pasti akan terus ditenggelami dengan perasaan negatif kita sendiri? Tidak wahai sahabat pembaca sekalian. Yakinlah setiap apa yang berlaku pasti ada sebabnya. Allah juga pasti berkuasa untuk mengizinkan apa yang dikehendakiNya sesuai dengan keperluan diri kita.

Submit Proposal Dengan Tuhan

Anda sudah mula menulis satu persatu hajat kepada Allah? Alhamdulillah bagi yang sudah memulakan. Bagi yang belum, semoga tidak patah semangat dan terus menjadi orang yang positif!

Marilah kita muhasabah bersama.

Manusia ini seorang insan yang sering lupa dan lalai kerana kehidupan yang mempunyai dua tarikan. Tarikan keimanan dan tarikan kejahilan. Jika salah satunya yang menguasai pastinya akan memberi kesan kepada seluruh kehidupannya.

Betapa kita sangat memerlukan Allah SWT dalam hidup ini untuk berjaya melepaskan tarikan kejahilan yang sungguh kuat itu. Maka, terus bersangka baik kepada Allah dan teruskan berharap kepadanya sampai pada titik akhirnya.

Jangan pernah berputus asa daripada rahmat Allah. Moga Allah mengurniakan kepada kita semua kebaikan yang berpanjangan di dunia dan di akhirat sana. InsyaAllah.




No comments:

Powered by Blogger.